BAB 17

278 4 0
                                    

Nek Zizah mengurut dada yang terasa sempit. Sekejap-sekejap dia termengah-mengah menahan nafas. Tak dinafikan lagi, keadaan kesihatannya semakin menyusut. Dia sudah tidak kuat lagi. Bukan saja fizikalnya, jiwanya juga keletihan. Dia mahu berehat.

Melihat Isabelle yang termenung di tangga, Nek Zizah mendekat setelah dia pasti keadaannya sudah kembali normal. Tiada lagi batuk-batuk. Jika ada pun, dengan sepenuh kudrat dia akan menahannya. Dia tidak mahu Isabelle tahu tentang keadaannya yang begitu.

Baru saja dia mahu membuka langkah ke arah Isabelle, telefon berbunyi nyaring. Isabelle yang turut terkejut dengan bunyi telefon itu bingkas menuju ke biliknya apabila Nek Zizah menjawab panggilan itu.

Mendengar suara pemanggil, Nek Zizah tahu tujuan panggilan itu. Dia menghela nafas lega. Akhirnya, berita yang dinantikan tiba juga. Kini Nek Zizah pasti dia boleh meninggalkan Isabelle dengan hati yang lapang. Setelah meninggalkan beberapa lagi pesanan kepada Rashid yang berada di hujung talian, Nek Zizah meletakkan gagang dengan senyum senang.

Malam itu seperti biasa, Isabelle dan Nek Zizah solat isyak berjemaah. Entah kenapa, Nek Zizah kelihatan sangat lapang dan tenang malam itu. Lebih tenang dari selalu sedangkan jiwa Isabelle bergolak. Dia tidak tenang.

"Nek, kenapa Isabelle tengok nenek happy je ni?" tegur Isabelle dengan wajah yang agak suram.

"Kenapa Isabelle muram je ni? Nenek tengok sejak balik dari kenduri tadi, Isabelle macam susah hati je. Tak nak cerita dengan nenek?" Nek Zizah cekap menukar topik.

Isabelle menghela nafas dalam.

"Tak ada apa-apalah..." Isabelle bingkas bangun. Dia melipat telekung dengan kemas sebelum digantungkan pada penyidai.

"Betul? Isabelle tak nak cerita dengan nenek?" Nek Zizah mencuba lagi.

Isabelle menggeleng pasti.

"Tak apalah. Isabelle letih. Tidur dulu nek. Esok je Isabelle cerita, okey?"

Nek Zizah mengangguk dengan berat hati. Dia mahu berlama lagi dengan Isabelle.

Esok mungkin tiada lagi, Isabelle...

Isabelle menghulurkan tangan, kebiasaannya bersalam dengan Nek Zizah dan arwah Tuk Khalid sebelum tidur. Nek Zizah memeluk Isabelle lama, begitu lama sehingga menimbulkan tanda tanya di fikiran Isabelle.

"Nek, esokkan masih ada. Isabelle tak marahkan nenek. Nek jangan risau ya. Isabelle masuk bilik dulu..." Isabelle meminta diri.

Nek Zizah memerhatikan dengan hati yang rawan.

Ya Allah, selamatkan anakku walau di mana jua dia berada.

Malam menjelang, kala Isabelle nyenyak diulit mimpi, Nek Zizah membasahkan bibir dengan zikrullah sebelum beralih kepada ayat-ayat suci al-Quran pula. Mungkin kali terakhir rumah itu bergema dengan suara itu. Menjelang subuh, suara itu semakin sayup dan tidak kedengaran lagi.

Pagi itu, Chan dikejutkan dengan riuh-rendah suara ibu dan bapanya. Tidak jadi dia pulang ke KL semalam kerana dia benar-benar terganggu dengan pertemuan enam mata mereka bertiga semalam. Terpisat-pisat dia bangun dan mendapatkan ibunya yang sedang bersiap-siap.

"Ni yao qu nali? (Mama nak ke mana?)"

"Nek Zizah de jia. Ta...(Rumah Nek Zizah. Dia...)" Wajah ibunya cemas dan matanya kemerahan juga.

"Ta wei shenme? (Kenapa dengan dia?)" Chan bertanya lagi.

"Nek Zizah meninggal Chan. Subuh tadi..." beritahu Ah Tong yang muncul entah dari mana. Lantaran terlalu lama hidup dalam kalangan orang Melayu, kata-katanya juga sudah banyak terikut perbualan orang Melayu.

Chan terkedu. Nek Zizah... dah meninggal?

"Innalillahiwaiinna ilaihirajiuun..." ucapnya tanpa disedari.

"Deng wo. Wo ye yao qu... (Tunggu Chan. Chan nak pergi juga...)" beritahu Chan seraya berlalu untuk bersiap.

Dia perlu pergi namun dapatkah dia menyempurnakan tanggungjawab terakhirnya kepada Nek Zizah sebagai seorang Muslim tanpa mendedahkan identitinya sekarang kepada umum?

SETIBANYA di sana, sudah ramai penduduk kampung membanjiri kawasan rumah Nek Zizah. Isabelle tidak kelihatan di mana-mana. Chan keresahan. Dia pasti kala ini Isabelle pasti dirundung pilu. Ayah dan ibu yang menjaganya selama ini kini kedua-duanya telah tiada. Jika dia dapat berfikir dengan baik di saat itu, pastinya suasana dan keadaan tak kan menjadi seteruk ini. Tuk Khalid pasti masih ada walau seuzur mana pun keadaannya.

Chan menahan nafas sambil matanya meliar ke tangga rumah. Sudah pasti dia tidak boleh naik. Simpatinya semakin menebal. Kesalnya semakin beraja.

Maafkan aku, aku bukan sahabatmu Isabelle...

Chan menoleh pantas apabila bahunya ditepuk perlahan. Aman tersenyum kelat.

"Dah lama sampai?"

Chan geleng.

"Tak juga..."

"Kesian Isabelle. Sekarang dia tinggal sorang-sorang. Siapa akan jaga dia sekarang?" Aman bertanya, lebih kepada bertanya diri sendiri.

Chan terdiam. Garis-garis sesalan semakin bertambah. Isabelle, bagaimana nasibmu kini?

Keranda sudah siap. Dengan muafakat penduduk kampung, sebuah keranda yang agak sederhana sudah tersedia dalam waktu yang agak singkat. Jenazah sudah dimandikan dan akan disolatkan di surau yang bersebelahan dengan tanah perkuburan kampung itu di mana Tuk Khalid bersemadi.

Chan terpaku di situ. Kakinya bagai dipaku ke tanah apabila tok imam memanggil semua penduduk kampung Muslim untuk ke surau. Jenazah juga akan dibawa ke sana.

"Kau tak nak pergi?" soal Aman.

Chan terdiam lagi. Matanya masih melekat di pintu rumah itu apabila jenazah dibawa turun dengan berhati-hati. Kala itu, wajah Isabelle muncul di layar matanya. Isabelle berdiri di muka pintu dengan wajah yang kemerah-merahan. Jelas air matanya sudah banyak tumpah namun kala itu, wajahnya kering. Pasti sudah tiada lagi air mata yang mahu dititiskan.

Chan tertunduk. Dia tidak betah lagi menanggung kekesalan itu. Chan memusingkan badannya. Aman setia mengekorinya.

Biarlah tanggungjawab terakhir itu terlaksana. Sekurang-kurangnya, ada baktinya sebagai seorang Muslim kepada keluarga itu, kepada Nek Zizah dan Isabelle.

USAI menunaikan solat isyak, Isabelle duduk bersendirian. Tadi, ada beberapa orang kampung yang rapat dengan Nek Zizah menawarkan diri untuk menemaninya malam itu namun ditolaknya secara baik. Dia mahu bersendirian.

Dia menadah tangan. Untaian doa dilayangkan buat Tuk Khalid dan Nek Zizah. Kini dia sendiri, untuk kesekian kalinya. Jika mahu dihitung kesakitan dan keperitan kehilangan orang yang tersayang sejak dia bernafas dengan roh kurniaan Allah, tak terhitung lagi pilunya. Isabelle reda. Tanpa ujian, seseorang Muslim itu tak kan lengkap.

Jika selama ini, dia tidak pernah membayangkan masa depannya, kini Isabelle dapat melihat dengan jelas masa depannya. Kabur, kelam, gelap, tanpa sesiapa di sisinya. Tanpa Nek Zizah, tiada Chan, Aman, mahupun Paan. Pastinya Isabelle tidak tahu manusia merancang, namun rancangan Allah pastinya yang teragung. Kerana itu manusia bergelar manusia. Kerana mereka lupa, Allah itu ada pada yang mencari-Nya.

e

Istilah Cinta Untuk DiaWhere stories live. Discover now