BAB 18

277 3 0
                                    

PAAN menggaru kepala. Kebelakangan ini, kerjanya sentiasa tidak menjadi. Pelik. Hatinya juga resah. Mahu marah juga dia kerana dia tidak pernah cemerkap begini dalam kerjayanya mahupun bidang glamor yang diceburinya. Namun kali ini ada saja teguran yang diterima dari jurukamera dan pereka pakaian. Hampir mengamuk juga dia namun mengenangkan dirinya juga yang salah, malas dia mahu memanjang-manjangkan cerita.

Mungkin dia tidak tahu, nenek yang selama ini disanjung dan disayanginya sudah pergi, bersama janji Paan untuk kembali ke kampung yang tak pernah ditepati.

HALIZA membetulkan sanggulnya yang berharga hampir RM200 itu. Di mana cantiknya, tiada yang tahu. Mungkin orang seni atau orang yang faham erti gaya dan penampilan saja yang tahu. Mungkin.

Jika dahulu dia cuma seorang suri rumah yang tidak reti menjaga penampilan, kini dia sudah bergaya. Setiap perhiasan di badan harganya bukan calang-calang. Tidak kurang juga tas tangannya yang berjenama itu.

Sudah lama dia menanti di pejabat peguam bernama Rashid itu. Haliza semakin resah. Sejak dia menerima panggilan mengatakan Peguam Rashid mahu bertemunya, dia sudah dapat meneka tujuan pertemuan itu diatur. Pasti ibunya juga sudah meninggal dunia dan harta sebanyak itu pasti menjadi miliknya.

Dia satu-satunya anak mereka. Siapa lagi yang akan mewarisinya kalau bukan dia? Itu saja dalam fikirannya. Tiada sekelumit rasa kesal kerana tidak sempat meminta maaf dari ibunya untuk kali terakhir. Tiada langsung rasa marah kerana tidak dimaklumkan awal. Semasa kematian ayahnya pun, dia tidak kisah mahu pulang walaupun sudah dimaklumkan oleh setiausaha Nazri. Marahnya masih beraja. Kerana Isabelle, keluarganya menjadi taruhan.

"Puan Haliza?" Seorang lelaki segak berkot bersama beg bimbit berwarna hitam terpacak di depannya.

Haliza tersenyum manis. Dia sudah membayangkan harta sebanyak itu menjadi miliknya, terutamanya tanah di kampung.

"Ya, saya..."

"Lama puan tunggu?"

"Eh tak... tak apa, sekejap je. Tak apa..." manis mulutnya.

Rashid mengangguk.

"Jom, masuk ke bilik saya..." pelawa Rashid.

Haliza akur. Kehadirannya ke sini tidak diketahui suaminya. Sengaja dia merahsiakan dari suaminya. Lagipun, ini cuma hal kecil. Banyak lagi hal lain yang suaminya tidak tahu tentangnya. Jika dia tahu, bertalaklah mereka.

Lima belas minit kemudian, Haliza terpaku di kerusi berhadapan Rashid. Di hadapannya terletak elok wasiat Nek Zizah. Dia tidak terkata apa-apa.

"Impossible..." hanya itu yang terluah.

Rashid tersenyum tawar.

"It's possible. Ini permintaan terakhirnya," ujar Rashid tenang.

Hakikatnya, dia kesal kerana Haliza tidak bertanya sedikit pun keadaan Nek Zizah. Masuk saja terus dia bertanya tentang harta peninggalan arwah. Memang mengecewakan. Jauh di sudut hati, Rashid kerisauan mengenangkan nasib Isabelle kelak.

"No, I can't have her in my house! Saya tak kan jaga dia!"

"Yes, you can, melainkan puan nak lepaskan semua harta tu. It's your decision."

Haliza mengetap bibir. Sampai ke sudah orang tua tu nak menyusahkan aku! Dah mampus pun nak kacau hidup aku lagi!

"So?" Rashid menyoal lagi.

Haliza terhenyak ke belakang. Dia menggeleng-geleng tak percaya. Rashid turut menyandar, setia menanti jawapan wanita yang lebih layak bergelar anak derhaka itu pada hematnya.

Istilah Cinta Untuk DiaWhere stories live. Discover now