BAB 12

280 3 0
                                    

Sunyi suasana kampung di pagi hari memang merupakan satu perkara biasa. Di rumah yang kini cuma diduduki Isabelle dan Nek Zizah, sunyinya lebih terasa. Mereka kini tinggal berdua sejak Tuk Khalid pergi dua minggu yang lalu.

Tiada lagi Tuk Khalid, tiada lagi bebelan suara garau di pagi hari memarahi musuh tanaman dan tiada lagi suaranya menyuruh Isabelle bangun dan mandi untuk ke sekolah.

Bagi Isabelle, dia kini yatim piatu. Dia sudah tidak berayah lagi. Tuk Khalid, satu-satunya lelaki yang dikenalinya sebagai ayah sudah tiada.

"Isabelle! Isabelle!" suara itu amat dikenalinya.

Isabelle menjenguk ke luar.

"Hmm, aku dah agak mesti kau orang berdua..." ujar Isabelle seraya pandangannya disapa wajah Chan dan Aman di atas anak tangga.

Isabelle melabuhkan punggungnya di muka pintu, kakinya diletakkan di anak tangga teratas.

"Kau tak nak keluar ke? Dah dua minggu kau duduk rumah je. Balik sekolah, kau dah tak keluar," rungut Aman.

Chan diam di duduknya. Sejak pemergian Tuk Khalid, Chan lebih senyap. Isabelle menyedari perkara itu kerana tiap kali mereka berkunjung ke rumah, Aman saja yang bising-bising kerana Isabelle menolak ajakan mereka untuk keluar.

Isabelle melepaskan keluhan perlahan. Dia menoleh ke dalam rumah sekilas.

"Aku tak nak tinggal nenek sorang-sorang. Aku takut apa-apa jadi kat nenek bila aku tak ada..."

Aman turut mengeluh.

"Alah, nak jadi apa? Nenek kau boleh jaga diri dia lah..." bidas Aman.

Isabelle menunduk seketika.

"Memanglah tapi sejak tuk pergi, nenek makin kurang sihat aku tengok. Sebab tu aku tak boleh tinggalkan nenek. Aku harap kau orang faham. Kalau kau orang kawan aku, kau orang akan faham masalah aku kan, Chan?"

Chan angguk tanpa sepatah kata pun keluar dari mulutnya. Isabelle teringat wajah Chan bila dia berkunjung ke rumah semasa Tuk Khalid mahu dikebumikan. Wajah Chan sangat sugul dan mereka juga tidak bertegur sapa. Chan pulang terus sebaik saja majlis selesai.

Aman saja yang bertemu dengannya sebelum pulang. Aman yang menyedari reaksi Chan begitu, merengus perlahan.

"Hish, kau pun sama Chan. Macam kau pulak yang hilang ahli keluarga. Dari hari tu, senyap je. Pelik aku. Bosanlah aku macam ni. Isabelle dah tak nak main, kau pulak tak nak cakap, argh! Kalau ada Paan, kan best," akhirnya itu yang terkeluar dari mulut Aman.

Aman memuncung. Saat ini dia teringatkan Paan. Ke mana Paan? Di mana dia? Dah lupakah dia pada kawannya?

Chan mengeluh perlahan.

"Man, sorrylah. Aku balik dulu. Baru aku teringat, papa aku mintak aku tolong dia hari ni..." Chan bingkas bangun. Dia melihat Isabelle sekilas sebelum membuka langkah pergi meninggalkan Aman dan Isabelle yang terkebil-kebil di situ.

"Hah, kau tengok tu Isabelle! Kena sampuk agaknya! Ish..." marah Aman, lebih kepada rungutan.

Isabelle tidak membalas. Sebaliknya dia melihat saja kelibat Chan pergi sehingga dia hilang dari pandangan. Tidak siapa pun antara mereka tahu dan sedar bahawa itu adalah kali terakhir mereka bertiga.

"UNCLE, Chan ada?"

Ah Tong yang sedang menghisap rokoknya menghampiri Isabelle dengan riak wajah yang Isabelle sendiri tidak mengerti.

"Chan? Dia dah lama tak balik rumah. Dia sudah duduk di bandar, rumah abang uncle. Dia pindah sekolah sana. Lagi bagus," beritahu Ah Tong.

Isabelle melopong tidak percaya. Chan dah pergi? Melihat wajah terkejut Isabelle, Ah Tong tahu ada yang tidak kena.

Istilah Cinta Untuk DiaWhere stories live. Discover now