BAB 11

279 5 0
                                    

AZAN maghrib sudah berkumandang selepas beduk dibunyikan. Nek Zizah keresahan di tangga rumahnya. Mengingatkan perbualannya dengan suaminya dua hari yang lepas, Nek Zizah tidak boleh membuang rasa risau yang mula memagut perasaannya.

Tuk Khalid belum pulang. Isabelle yang baru selesai mandi sudah bersedia dengan telekungnya namun dia pelik melihat Nek Zizah masih belum bersiap.

"Nek..." Isabelle menghampiri.

Nek Zizah menoleh sekilas namun dia tidak berkata apa-apa. Isabelle turut duduk di sisi Nek Zizah. Kain telekungnya ditanggalkan kembali. Dipegang di pangkuan.

"Tuk belum balik lagi?"

Nek Zizah melepaskan keluhan perlahan.

"Belum. Nek risaulah..."

Isabelle turut memandang ke luar rumah yang semakin gelap. Baru dia mengerti mengapa neneknya begitu. Tak pernah Tuk Khalid pulang selepas maghrib. Jika dia ke surau pun, dia akan pulang ke rumah dahulu.

Lama mereka di muka pintu. Nyamuk-nyamuk yang mula kelaparan sudah mula menghurung mereka namun tidak mereka hiraukan. Setakat nyamuk begitu, sudah biasa sangat pada penduduk kampung seperti mereka.

Akhirnya, Nek Zizah bingkas bangun.

"Isabelle, kita solat. Lepas tu, kalau tuk tak balik juga, kita pergi kebun cari dia," arah Nek Zizah.

Isabelle angguk faham. Ke mana Tuk Khalid?

"BANG!" jerit Nek Zizah.

"Tuk!" Isabelle turut melaung.

Mereka sudah sampai ke kebun yang agak luas itu. Pemandangan mereka terbatas kerana ubi kayu yang sudah membesar begitu tinggi dan menghalang pandangan mereka. Jadi mereka terpaksa melihat setiap lorong.

"Tuk!"

"Abang!"

Sepi. Cuma kedengaran bunyi derapan kaki mereka dan juga irama cengkerik.

Nek Zizah bercekak pinggang. Hatinya bertambah keruan. Pinggan pecah tadi membawa petanda burukkah? Nek Zizah tidak mahu terlalu percayakan perkara seperti itu tapi jika benar, bagaimana?

Langkah Isabelle turut mati. Diperhatikan Nek Zizah sebelum matanya dilarikan ke sekeliling.

"Nek, kat sana tak tengok lagi..."

Ditunjukkan ke satu arah yang hampir dengan hutan. Di situ, tidak kelihatan apa-apa, cuma pokok-pokok ubi kayu dan busut anai-anai yang agak besar.

Nek Zizah membuka langkah. Isabelle menurut. Diredah beberapa batang ubi kayu begitu sahaja. Nek Zizah sudah tidak peduli. Isabelle juga begitu. Mereka semakin hampir. Busut itu semakin jelas.

"Abang!" jeritan Nek Zizah memecah hening.

Di situ, betul-betul di sebalik busut dan batang-batang ubi kayu, Tuk Khalid terbaring berlumuran darah.

Isabelle tergamam apabila Nek Zizah menerpa ke arah Tuk Khalid dan memangku kepalanya. Kawasan itu semak dan ada batang ubi kayu yang patah di sana sini. Busut itu juga ada kesan pecah. Pagar kebun itu juga roboh menyembah bumi. Tahulah Isabelle, Tuk Khalid bergelut dengan musuhnya dan dia kalah.

Isabelle masih kaku. Raungan dan lolongan Nek Zizah tidak memberi kesan padanya. Cuma sebujur tubuh itu yang wujud di depannya saat itu.

Tuk dah mati?

Mata Tuk Khalid terpejam erat. Dadanya turun naik. Betisnya berdarah banyak. Tuk masih hidup. Isabelle melepaskan nafas lega tanpa disedarinya.

Entah sudah berapa lama Tuk Khalid terbaring di situ, tidak siapa yang tahu.

Istilah Cinta Untuk DiaWhere stories live. Discover now