Ruby tersentak. Terputus bicaranya kepada Pencipta. Sekejap, dia kehilangan punca.
Terganggu oleh bunyi deringan, doa dan pengaduan dipendekkan. Dicapainya alat komunikasi yang terletak di tepi katil.
Nombor siapa? Pemanggil tiada dalam senarai orang hubungan. Dibiarkannya deringan itu terhenti sendiri.
Namun, deringan itu datang lagi.
Sekali. Dua kali. Tiga kali.
"Hoi, babu, jawab telefon tu! Memekakkan telinga! Aku nak membuta pun tak senang. Besok aku kerja. Kau lainlah, menganggur!" Pintu bilik Ruby digendang dari luar.
Sara.
Ruby menggeleng. Sepupunya itu tidak pernah merendahkan nada apabila bercakap dengannya.
Barangkali ada kecemasan. Ruby menjeling ke arah telefon bimbitnya. Mungkin yang menghubunginya kenalan kepada kenalan.
"Assalamualaikum." Salam diberi sebaik sahaja panggilan disambut.
"Cik Ruby?" Kedengaran suara seorang lelaki.
Ruby berkerut. Suara itu memang asing.
"Cik yang bernama Ruby Haya binti Sheikh Fahd Husam?" tanya individu itu.
"Ya, saya. Boleh saya tahu ini siapa?" soal Ruby.
"Saya Hilal."
"Saya tak kenal sesiapa dengan nama tu. Awak salah nombor." Tegak nada Ruby.
"Cik, tolong jangan hang up. Saya Mejar Syed Hilal dari Pangkalan Udara Gong Kedak." Ruby hampir mematikan talian apabila lelaki itu memperkenalkan dirinya dengan lebih lanjut.
"Gong Kedak?" Sekali lagi Ruby berkerut.
"Bukankah pangkalan tu di..."
"Besut," sambung Syed Hilal.
"Cik ada berkunjung ke Kem KD Sri Medini bertanyakan tentang Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia, PSSTLDM?"
"Betul." Ruby mengiakan. Tangan kirinya meraba belakang kepala, menjangkau simpulan tali telekung.
Jadi, ia berkenaan permohonannya untuk menyertai pasukan simpanan. Cepat respons mereka.
Tapi kenapa pegawai yang menghubunginya dari pangkalan udara? Kuota PSSTLDM dah penuh ke jadi dia dihalakan ke PSSTUDM pula? Kolonel Aslam ada memaklumkan bahawa penempatan bergantung kepada keperluan dan kekosongan.
Kenapa pula dia dihubungi pada lewat malam? Tentera tak boleh tunggu siang? Dia belum jadi sebahagian daripada keluarga military. Lainlah dengan anggota keselamatan, mereka boleh dikerah bila-bila sahaja diperlukan.
"Cik Ruby Haya..." Nama Ruby diseru.
"Ya, tuan. Saya mendengar."
Khayal, Ruby tidak perasan dia masih di talian. Telefon bimbitnya ditekap rapat pada telinga. Perhatian diberi, teruja untuk mengetahui berita selanjutnya.
"Boleh kita berjumpa?"
"Di Gong Kedak?" soal Ruby. Jauhnya! Jarinya bermain dengan tali pengikat telekung yang telah dirungkai.
"Di JB, cik."
Untuk apa? Rasa curiga menyusupi dada.
"Maaf, saya tak dapat. Bahaya seorang gadis menemui orang yang tak dikenali terutamanya lelaki." Jawapan Ruby lurus.
"Tapi saya kenal cik. Maksud saya, pernah nampak." Syed Hilal mengetap bibir.
"Bila? Di mana?"
YOU ARE READING
Neredesin? Awak Di Mana?
General FictionTajuk: Neredesin? Awak Di Mana? Penulis: Puteri Nor Muka Surat : 1024 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-026-7 Harga: RM36.00 (Semenanjung) // RM39.00 (Sabah & Sarawak)