Bab 4

760 21 0
                                    

"Alhamdulillah, kita dah sampai," ucap Syed Hilal sebaik sahaja pesawat selamat mendarat di Lapangan Terbang Atatürk.

"Awak menginap di mana?"

"Di Hotel Sura Hagia Sofya di area Fatih. Saya tempah secara online," beritahu Ruby.

"Really? Saya pun buat booking di hotel tu via Internet. Apa kata kita ke sana sekali? Tak perlu berebut teksi." Terangkat kening Syed Hilal.

"Boleh." Ruby mengangguk.

Lebih baik bertiga daripada berdua dengan pemandu teksi negara asing.

"Tapi saya book bilik sejak semalam. Kalau mulai hari ni, teruk nak tunggu. Kita sampai awal pagi. Masa check in tengah hari."

"Saya pun."

Mereka tertawa atas kebetulan itu.

Hotel itu menjadi pilihan Ruby yang mahu berada di kawasan bersejarah yang menempatkan Hagia Sophia, Masjid Biru, Muzium Topkapı dan dua bazar terkenal, Grand Bazaar dan Spice Bazaar a.k.a. Egyptian Bazaar. Bukan selalu dia berjoli dengan wang peninggalan orang tuanya. Itu kali pertama selepas menggenggam segulung ijazah dan bagi menghilangkan stres daripada Sara dan Normah. Setelah berkerjaya, dia berazam untuk hidup dengan hasil titik peluhnya sendiri.

"Kalau saya lama di imigresen, tunggu ya? Selalunya tak ada masalah tapi manalah tahu." Syed Hilal berdiri menghadap ruang penyimpanan barang atas kepala.

"Mana satu beg awak?" soalnya selepas membantu mengambilkan beg wanita berambut perang.

"Yang ruby red," sahut Ruby.

Ah, ruby red! Merah delima. Tersungging senyuman Syed Hilal.

Ruby - Permata delima. Buah delima - pomegranate. Pandangan Syed Hilal tertancap ke arah beg Ruby. Sebuah lagi beg bimbit di dalam ruang berkenaan mungkin milik lelaki tua yang gatal itu.

"Stay here. Saya pergi ambil beg saya," pesan Syed Hilal semasa menyerahkan beg Ruby.

Ruby mengangguk. Dalam hati, dia tertanya-tanya, mengapa dia akur?

"Ladies first." Syed Hilal mempersilakan Ruby mendahului semasa mereka menghampiri kaunter resepsi.

"You pun duduk sini? Seorang aje? Tunang you mana?" Suara yang menyapa gadis itu bagaimanapun menyebabkan darah Syed Hilal berderau. Individu itu memintas Syed Hilal kemudian menempel di sebelah Ruby.

"I am right here!"

Syed Hilal mencuit bahu individu berkenaan. Tegang wajahnya. Boleh pula lelaki itu tidak perasankan orang setingginya.

Dasar mata keranjang, perempuan sahaja yang dipandang.

"I ingat you dah tinggalkan tunang you yang cantik molek ni. Boleh I ambil alih." Lelaki gempal separuh umur itu tersengih seraya mengenyit mata ke arah Ruby yang masih terkesima.

Take over? Dia fikir Ruby siapa?

Syed Hilal mengetap rahang. Dalam penerbangan beberapa kali dia perasan lelaki itu mengayat pramugari.

"Here is your key card. Your room number and password for free Wi-Fi are written here." Petugas hotel menyerahkan key card dan beberapa maklumat kepada Ruby.

"Sayang, you berehat di sana sementara I check in."

Syed Hilal memandang tepat mata Ruby.

Huh? Ruby terkelip-kelip.

"Kenapa duduk asing-asing? Sebilik kan lebih senang. Jimat belanja, masa dan tenaga. Kalau I ada tunang yang irresistible macam ni, I bertapa aje dalam bilik sampai dia bunting," ujar si tua gatal.

Neredesin? Awak Di Mana?Where stories live. Discover now