"Awak tak sihat?" tegur Ruby semasa mereka bersarapan pada keesokan hari. Syed Hilal tampak berbeza. Pandangannya tidak tetap bahkan lelaki itu seperti mengelak terus daripada bertentang mata dengannya.
Syed Hilal menggeleng.
Wira angkasa ini takutkan apa? Diakah yang menyebabkan juruterbang itu tidak selesa? Ruby berkerut.
Disebabkan dia, program percutian lelaki itu rosak. Angkara Dato Bakar gatal, Syed Hilal terpaksa menemaninya atas faktor keselamatan.
"Ruby, apa awak rasa bila berada dengan saya?" Syed Hilal tiba-tiba menyoal.
"Selesa kut."
Ruby terkebil-kebil memandang siling. Sekejap kemudian, terpejam sebelah matanya.
That is not quite right. Mana boleh seorang wanita Muslimah berasa selesa bertemankan lelaki bukan mahram!
"Lebih tepat, saya rasa selamat," Ruby membetulkan kenyataan.
"Itu saja?"
Syed Hilal gelisah.
Ruby menggigit bibir. Ada perasaan lain tetapi dia tidak berani memikirkannya secara mendalam.
"Itu untuk ya atau tak?"
Pandangan Syed Hilal naik sekerat dan terhenti pada bibir Ruby.
"Ya." Ruby menetapkan hati.
Kenapa dengan fighter pilot ni?
Syed Hilal menekurkan kepala. Girl, are you playing game with my heart? Wajahnya keruh semula.
Usai bersarapan, hotel ditinggalkan. Seperti tadi, Syed Hilal banyak berdiam.
"Ada yang boleh saya tolong?"
Risau, Ruby tercari-cari anak mata juruterbang itu.
"Saya pun tak tahu," keluh Syed Hilal. Tidak mudah meluah sesuatu yang amat peribadi dan suci.
"Kalau awak tak tahu, saya lagilah."
"Jadi biarkan."
"Tak boleh," geleng Ruby. Perubahan sikap 'bodyguardnya' itu merunsingkannya.
Syed Hilal mengerling sekilas, mengintai reaksi Ruby. Kemudian dia kembali memandang jalan. Mereka telah tiba di kaki lima Jalan Divan.
"Kalau awak kecil hati dengan komen saya pasal anggota tentera, saya minta maaf." Lembut nada Ruby. Terdongak dia memandang Syed Hilal.
"Bukan itu. Just forget it, okay? Kalau saya beritahu pun awak tak dapat tolong." Kali ini Syed Hilal menggeleng bahkan terhenti daripada berjalan.
"Macam mana nak tolong kalau awak tak beritahu pun masalah awak?"
Ruby melangkah apabila Syed Hilal melangkah semula. Sampai bila juruterbang macho itu mahu bermain angguk-geleng dengannya?
"Nampaknya tentera pun berpandangan serong terhadap orang awam. Kami tak layak diberi kepercayaan. Nak join pasukan simpanan pula, dihalang," ungkit Ruby sambil mendepangkan tangan apabila Syed Hilal terus bungkam.
"Watch out, miss!"
Pelancong yang mengelak berkerut memandang Ruby.
"Sorry." Ruby tersenyum seraya mengangkat tangan.
Entah mengapa, Syed Hilal yang sentiasa berwaspada seperti tidak perasan akan insiden itu.
"Ruby, jangan kaitkan dengan PSSTLDM."
"That is an impression."
"Seriously you want to know?"
"Saya nampak macam bergurau?"
YOU ARE READING
Neredesin? Awak Di Mana?
General FictionTajuk: Neredesin? Awak Di Mana? Penulis: Puteri Nor Muka Surat : 1024 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-026-7 Harga: RM36.00 (Semenanjung) // RM39.00 (Sabah & Sarawak)