Bab 3

834 21 0
                                    

Syed Hilal mengeluh. Beberapa panggilan dibuat ke telefon bimbit Ruby usai urusan pendaftaran tetapi peti pesanan suara yang menjawab. Bagaimanapun semasa sedang menelusuri ruang legar utama KLIA, sesuatu telah berlaku menyebabkan jantungnya berdetak laju.

"Mustahil." Syed Hilal meraup muka.

Kali kedua memandang ke arah ruang hadapan monitor yang memaparkan maklumat penerbangan, sekumpulan jemaah umrah pula melintas.

"Semoga dipermudahkan urusan kalian di dua Tanah Haram, wahai tetamu Allah," doa Syed Hilal.

Perasaan teruja bercampur gementar tergambar pada wajah insan-insan yang telah siap berpakaian ihram itu.

Kecewa melanda selepas kumpulan itu melepasinya. Rupa-rupanya apa yang dilihat tadi sekadar bayangan Ruby.

"Hilal, kau bermimpi di siang hari."

Pelipisnya diurut.

"Boleh, dik? Biar abang tolong."

Tangan Ruby dipegang semasa dia sedang terkial-kial memasukkan hand luggage ke dalam ruang penyimpanan atas tempat duduk.

"Encik buat apa?" soal Ruby, garang. Terasa lengannya diramas.

Lelaki berbadan gempal itu menyeringai. Tubuhnya pula digesel pada belakang Ruby, mendorong Ruby menyenget ke arah tempat duduk.

"Boleh beri laluan? Saya nak bercakap dengan tunang saya." Kedengaran satu suara lain.

Satu tangan maskulin mencelah di antara tubuh Ruby dan lelaki gempal tetapi muka pemiliknya terlindung.

"Dia tunang awak?"

Lelaki berbadan gempal memusingkan badan.

Kesempatan itu diambil oleh Ruby untuk meloloskan diri ke tempat duduk. Pandangannya dihala ke arah tingkap tetapi dia terus memasang telinga.

"Ya, kami terpisah tempat duduk. Kata staf di check in counter, saya boleh tukar secara suka sama suka dengan penumpang lain dalam flight. Encik tak kesah kan kalau kita exchange seats? Saya di barisan tengah." Pemuda itu menunjuk arah.

Mendapati pergerakan penumpang lain tersekat, seorang kru kabin menghampiri.

"Boleh saya bantu?" sapa pramugari penerbangan Malaysia Airlines itu. Pandangannya bertukar ganti antara dua orang lelaki.

"Kalau boleh saya nak duduk dengan tunang saya," jelas lelaki bertubuh tegap tinggi kepada pramugari. Tangannya mengunjuk ke arah Ruby yang terus-terusan memandang ke luar.

"Tak ada masalah."

Tersempar, lelaki separuh umur berbadan gempal itu mengangguk.

Dada Ruby masih debak-debuk semasa dia mengerling ke arah penyelamatnya yang masih berdiri.

"Encik, terima kasih," ucapnya yang terhutang budi.

"Sama-sama. Dunia dihuni pelbagai jenis manusia. Cik kena berwaspada." Syed Hilal tersenyum.

Ruby mengalih pandangan. Semakin laju degupan jantungnya. Dikerlingnya lelaki itu sekali lagi.

Tingginya menjulang!

But everything seems to be in the right proportion.

Sesetengah orang tinggi, tubuhnya melengkung ataupun memapan. Tetapi fizikal penyelamatnya itu dalam kadar yang bersesuaian.

"Seratus sembilan puluh sentimeter, cik," ujar Syed Hilal, sopan.

"Apa yang seratus sembilan puluh sentimeter?" Ruby membesarkan matanya.

Neredesin? Awak Di Mana?Where stories live. Discover now