"Gel gör beni aşk neyledi. Apa maksudnya?" Ruby membelek penanda buku yang tergantung di luar kedai barangan kaligrafi Turki di Jalan Divan. Siang tadi mereka melalui jalan itu tetapi tidak singgah di situ.
"Mari lihat apa cinta buat kepada saya," bisik Syed Hilal.
"Apa?" Ruby menoleh dengan dada yang berdebar.
Syed Hilal tersenyum. Ada kesilapan dalam sebutan Ruby tadi. Ruby tidak bacakah nota yang diberi?
"Itu maknanya. Kata-kata seorang pujangga sufi Turki yang masyhur pada kurun ke-13 dan ke-14."
"Wow! Yunus Emry?" Ruby membaca nama yang tercoret di hujung ungkapan pada penanda buku.
"Bukan. Yunus Emre. Huruf E di hujung," maklum Syed Hilal.
"Emry dan Emre... Lebih kuranglah." Ruby melambai pekedai yang terpacak tidak jauh dari mereka. Penanda buku itu dibeli.
Perjalanan diteruskan. Tiba di persimpangan jalan berhampiran Çemberlitaş, monumen yang dilakar oleh Ruby pagi tadi, mereka membelok.
"Awak nak bergunting?" tegur Ruby. Dia perasan Syed Hilal beberapa kali mengerling ke arah kedai gunting rambut.
"Mungkin sehari sebelum balik."
Syed Hilal meraba kepala dan rahangnya.
Dari rambut, pandangan Ruby beralih ke muka Syed Hilal. Pipi, bahagian atas bibir, dagu dan sebahagian leher juruterbang itu sudah berbayang dengan rerambut yang berebut mahu menjengah dunia.
Ergh! Ruby segera mengalih pandangan.
Di dalam kedai, seorang pemuda sedang bergunting. Dua orang warga emas yang sedang menunggu giliran sedang berbual. Masing-masing memegang gelas tulip lut sinar berisi Turkish tea.
Seperti Jalan Divan, jalan kecil yang merupakan salah satu jalan pintas ke Grand Bazaar itu meriah dengan kedai cenderahati, kedai kebab dan falafel dan kedai menjual rempah ratus, teh dan manisan.
Ruby tertarik kepada fridge magnet dan beberapa barangan cenderahati kecil yang dipamer di para luar sebuah kedai tetapi teragak-agak untuk mendekati. Seekor kucing yang besar bak penunggu, tidur di situ.
Dihulur tangannya, kemudian ditarik. Dihulur lagi, kemudian ditarik semula.
"Could you please remove the kitty?" Akhirnya Ruby meminta bantuan pekedai.
"Can't you see, miss? It is sleeping," balas pekedai.
Kucing lebih penting daripada pelanggan? Ruby tergamam.
Syed Hilal tersenyum-senyum.
"Ruby, orang Turki sayangkan kucing. Awak nak tengok apa? Saya ambilkan."
"Tak payah, mood dah hilang." Ruby meneruskan perjalanan.
Hipokrit. Kalau nak tolong, boleh aje tolong awal-awal, gumam Ruby.
"Grand Bazaar dipanggil Kapalıçarşı dalam bahasa Turki, yang bermaksud bazar berbumbung. Selain itu, ia juga dikenali dengan nama Buyuk Çarşı atau bazar besar. Boleh dikatakan semua yang dijual di Spice Bazaar ada di sini, tapi tak semua yang ada di sini ada di Spice Bazaar," cerita Syed Hilal sebaik sahaja mereka memasuki kawasan Grand Bazaar.
Terdapat ukiran 1455 Masehi pada pintu gerbang masuk. Khabarnya bazar itu satu daripada bazar tertutup yang tertua dan terbesar di dunia.
Grand Bazaar sesak dengan pengunjung yang rata-ratanya pelancong. Untuk berjalan pun sukar. Di sana dan sini, penjual melambai dan memanggil. Namun hal itu tidak menghalang Ruby daripada beraksi dengan kamera. Daripada siling bazar yang melengkung dan berhiaskan jubin iznik, lantai hingga ke barangan jualan, semua dirakam. Permaidani, lampu hiasan, wangian, rempah-ratus dan teh daripada pelbagai daun, bunga dan buah-buahan memberikan imej ceria yang berwarna-warni.
YOU ARE READING
Neredesin? Awak Di Mana?
General FictionTajuk: Neredesin? Awak Di Mana? Penulis: Puteri Nor Muka Surat : 1024 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-026-7 Harga: RM36.00 (Semenanjung) // RM39.00 (Sabah & Sarawak)