Istanbul, kota dua benua yang unik, kosmopolitan, pada masa yang sama eksotik. Bahagian utaranya terletak di benua Eropah manakala bahagian selatan di benua Asia.
Kota yang pernah dikenali dengan nama Constantinople itu dipisahkan kepada dua bahagian oleh Selat Bosphorus. Di hujung selat yang membiru itu adalah Laut Hitam yang bertemu dengan Bulgaria, Romania, Ukraine, Rusia dan Georgia. Di satu hujung yang lain, Laut Marmara, yang bersambung dengan Laut Aegean pada sebelah barat dan seterusnya Lautan Mediterranean.
Berbanding Istanbul sebelah Eropah, Istanbul sebelah Asia lebih kepada kawasan penempatan. Kos sara hidupnya yang lebih murah menjadikannya pilihan golongan pelajar.
Istanbul Eropah pula terbahagi kepada dua bahagian oleh kawasan Perairan Tanjung Emas atau Golden Horn yang berbentuk seperti tanduk. Di kirinya kawasan Fatih atau Istanbul Lama yang bersejarah dan terkenal sebagai lokasi pelancongan. Manakala kawasan Taksim di sebelah kanan menjadi tumpuan aktiviti komersial dan kewangan.
"Awak rasa saya patut ke mana dulu?"
Ruby menyerahkan beberapa brosur yang dibawa dari bilik kepada Syed Hilal apabila mereka bertemu di lobi.
"Yang terdekat, Masjid Biru dan Hagia Sophia. Hagia Sophia tu muzium. Dulu pernah diguna sebagai gereja dan masjid," beritahu Syed Hilal.
"I know that. Semasa era pemerintahan Rom dan Byzantine, Hagia Sophia diguna sebagai gereja. Sultan Muhammad Al-Fatih yang menakluk Istanbul yang jadikannya masjid. Nama Constantinople pula diubah kepada Islambol." Ruby menjeling.
"Bukan saya merendahkan pengetahuan am awak, tapi sesetengah orang tak tahu. Bila mereka tengok ada lukisan yang tak Islamik di dalam Hagia Sophia, mereka mencerca." Syed Hilal menjelaskan rasionalnya.
"Insya-Allah saya tak macam tu. Pokok pangkalnya hati. Lagipun saya nak tengok seni bina."
"Seni binanya cantik dan unik. Air tangan orang Rom," akui Syed Hilal.
"Awak nak temankan saya?"
"Kan saya kata saya takkan biarkan awak sendirian!"
Tersentak Ruby dengan jawapan tegas Syed Hilal. Bahkan air muka Syed Hilal berubah kepada serius.
Syed Hilal sendiri tergamam dengan reaksinya.
"Kita ke Masjid Biru sebelum Hagia Sophia. Selepas tu kita ke Muzium Topkapı. Selain barangan tinggalan Empayar Turki Uthmaniyah, di sana tersimpan barangan Nabi Muhammad s.a.w. termasuk janggut dan jubah baginda. Jubah puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a, pun ada. Mekah dan Madinah kan di bawah empayar Islam Uthmaniyah dulu," atur Syed Hilal.
"Ada banyak lagi muzium di Istanbul ni. In fact, the city itself is a living museum."
"Wah, selain pilot awak boleh jadi pemandu pelancong!" usik Ruby, melawan hati nan gundah.
"If you say so, miss."
Masih diselubungi rasa bersalah, Syed Hilal mengukir senyuman terindah.
Jalan kecil di hadapan Hotel Sura Hagia Sophia bercantum dengan Jalan Divan atau Divan Yolu, jalan besar yang menganjur ke kawasan Taman Sultanahmet yang terletak di antara Masjid Biru dan Hagia Sophia. Sebaik sahaja melintasi jalan yang berkembar dengan laluan trem itu, Ruby terpandang beberapa ekor kucing. Biarpun tertarik dengan saiz dan kegebuan haiwan itu, apabila dihampiri, dia panik.
"Awak felinophobia?"
Syed Hilal tercuit hati dengan aksi Ruby yang menyorok di belakangnya sampai menarik-narik jaketnya.
Ruby mengangguk. Memang dia anti dengan kucing. Ternampak okey, tetapi jangan datang dekat. Merenungnya pun usah.
I love her way. Naif sangat. Syed Hilal ketawa.
YOU ARE READING
Neredesin? Awak Di Mana?
General FictionTajuk: Neredesin? Awak Di Mana? Penulis: Puteri Nor Muka Surat : 1024 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-026-7 Harga: RM36.00 (Semenanjung) // RM39.00 (Sabah & Sarawak)