Bas persiaran mini ke Bursa itu hanya separuh penuh. Ruby dan Syed Hilal duduk sederet tetapi dipisahkan oleh laluan tengah. Kerusi di sebelah masing-masing kosong.
Ahli rombongan terdiri daripada pelancong Eropah dan Asia Barat. Ada yang bersendirian, ada yang bersama keluarga dan kawan.
Bursa yang terletak di Turki sebelah Asia merupakan ibu negara pertama kerajaan Turki Uthmaniyah dan kini merupakan bandar keempat terbesar di negara itu. Ada tiga cara untuk ke Bursa dari Istanbul, dengan jalan udara, jalan darat sepenuhnya, ataupun dengan jalan darat dan air.
Selepas lebih sejam meninggalkan Istanbul, mereka tiba di sebuah pelabuhan di utara Laut Marmara yang menyediakan perkhidmatan feri bagi penumpang dengan kenderaan.
Perjalanan menyeberangi Laut Marmara memakan masa kira-kira 45 minit. Hampir sepanjang masa pelayaran dihabiskan oleh Ruby dengan menjamu burung camar yang mengiring feri dengan simit yang dibeli dari kafe atas dek.
Squak! Squak!
Semakin riuh burung-burung itu berebutkan simit, semakin lebar senyuman Ruby.
Syed Hilal tidak menyertai sebaliknya sekadar memerhati.
Selepas berlabuh di Yelova, perjalanan disambung dengan bas. Di Osmangazi, mereka singgah di sebuah pusat pengedar sutera dan manisan. Turut dijual di situ, pelbagai rempah dan produk organik tempatan.
"Two kilograms of Ottoman spice." Di seksyen rempah, Syed Hilal membuat pesanan.
Ruby memandang dengan wajah hairan.
"Beli lagi? Itu hari awak dah beli di Spice Bazaar. Dua kilo juga."
"Umi saya suka. Lagipun bukannya ke sini selalu." Syed Hilal tersenyum.
Sayang betul dia kepada umi dia. Ruby mengemam bibir.
Dia pula tidak pernah mengenal ibunya. Melihat gambar Eviana pun tidak pernah.
Perasankan wajah suram Ruby, Syed Hilal teringat kepada apa yang diceritakan oleh gadis itu semalam.
"Maaf, Ruby. Saya tak berniat untuk buat awak sedih."
"Tak apa."
Dengan senyum tawar, Ruby beredar ke seksyen menjual baklava dan lokum, manisan tempatan yang dikenali di barat sebagai Turkish Delight.
"Awak main mata dengan salesman baklava? Saya nampak awak senyum kepada dia." Di kaunter pembayaran, Syed Hilal menyoal siasat Ruby.
"Saya cuma balas senyuman hormat seorang jurujual kepada pelanggan. Nabi pun kata senyuman itu sedekah," nafi Ruby. Memang itu yang berlaku.
"Mana awak tahu si janggut tu tak menggoda awak?" bahas Syed Hilal.
"Selepas ni jangan ketawa atau senyum kepada mana-mana lelaki lagi."
"Hilal, awak ni mengarut."
"Tak guna kalau datangkan padah. Buat orang terpikat kepada awak, ganggu awak, cetuskan keinginan yang berlandaskan nafsu macam Dato Bakar. Jangan pandang mata juga. Sebab dari matalah turun ke hati dan pergi ke minda."
"Kalau macam tu saya tak nak pandang mata awak." Ruby berpeluk tubuh.
"Altogether, 483 lira."
Juruwang menyerahkan beg berisi lokum dan baklava kepada Ruby. Lokum berperisa delima dengan kelopak ros dan zafaran menjadi pilihan.
"Saya belanja."
Syed Hilal pantas menyua bayaran.
Kaunter pembayaran ditinggalkan. Ruby membiarkan sahaja apabila Syed Hilal menyauk beg manisan di tangannya.
YOU ARE READING
Neredesin? Awak Di Mana?
General FictionTajuk: Neredesin? Awak Di Mana? Penulis: Puteri Nor Muka Surat : 1024 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-026-7 Harga: RM36.00 (Semenanjung) // RM39.00 (Sabah & Sarawak)