Prolog
Sayang Sarawak sungainya sempit,
Sayangkan nyawa, darah daging disisih...
Serian, Sarawak.
"Ilek, indai (Sabar, mak)."
Suasana di ruai, koridor perkongsian penghuni sebuah rumah panjang di Kampung Remun tegang. Seorang warga emas ditenangkan oleh ahli keluarganya.
"Dia bawa suwey! Aku sik mauk lihat dia agik (Aku tak nak tengok dia lagi)!" Magdalena menggeleng kasar. Anting-anting peraknya bak pendulum jam yang kecelaruan rentak ayunan. Pandangannya ditala ke arah dinding yang memisahkan ruai dari bilik.
"Tapi, puan..."
"Kau dengar apa kata indai? Bawa dia pergi. Jangan sesekali kembali." Percubaan Sheikh Umar untuk merayu dihalang oleh lelaki di sisi Magdalena.
"Stephen, pujuklah mak kau. Inikan cucu dia."
"Bagi kami dia bukan sesiapa!" dengus lelaki berkulit cerah dan bermata sepet itu.
Terpandang parang ilang dan terabai, perisai kayu tebelian berukiran antu gerasi yang tergantung pada dinding ruai, hati Sheikh Umar tidak keruan. Datangnya dengan diplomasi tetapi disambut dengan rasa benci.
Anak kecil yang menjadi pertikaian leka memerhatikan anak kucing bergumpal dengan anak anjing di suatu sudut ruai. Rakan sepermainan itu sekali-sekala menjilat, membersihkan di antara satu sama lain, tidak terkesan dengan perbezaan mereka.
"Mari, sayang. Kita balik." Sheikh Umar mengambil keputusan untuk beredar. Anak itu dipimpin.
Pintu belakang teksi menunggu dibuka. Kanak-kanak yang masih tertoleh-toleh ke arah rumah panjang, mencari kelibat anak anjing dan anak kucing dibantu memasuki kenderaan.
Seorang wanita muda berlari-lari anak ke arah mereka. Sheikh Umar yang baru menutup pintu teksi menurunkan cermin tingkap.
"Pua kumbu Eviana."
Gadis berwajah iras Stephen yang tercungap-cungap itu menyua sebuah bakul sintong bersaiz sederhana.
"Terima kasih."
Kedua-duanya saling mengangguk.
"Mauk (Nak) pusing-pusing Serian dolok (dulu)? Cari durian Serian ka? Durian Serian nyaman (sedap), terbaik di Sarawak. Atau kita ke Taman Buaya Jong? Ada zoo dan muzium. Boleh tengok Bujang Senang. Kalau nak tengok tempat proses lada hitam, kapal batu Bugis dan batu naga di Kampung Mongkos pun boleh." Pemandu teksi menoleh sekilas ke belakang selepas menghidupkan enjin.
Batu naga? Sheikh Umar terpinga-pinga seketika sebelum menggeleng. Selepas apa yang dilalui, dia tiada angin untuk bersiar-siar.
"Tak apa, bang. Terus ke Kuching, tapi lalu di Jalan Airport. Saya nak singgah di Sekolah Kebangsaan Mejar Jeneral Dato Ibrahim," beritahu Sheikh Umar.
Rakan sekampung yang mengajar di situ yang membantu urusannya di Bumi Kenyalang akan berangkat ke Miri untuk menghadiri kursus selepas sesi mengajar. Sheikh Umar mahu menyampaikan penghargaan.
"Oh, sekolah di Kem Semenggo sinun (sana)? Boleh jak (saja). Tapi kena ambil pas daripada pengawal." Pemandu teksi memaklumkan.
"Bismillah..."
Isyarat lampu diberi. Pemandu teksi menunggu sekumpulan kanak-kanak yang berjalan di bahu jalan lepas agak jauh ke hadapan sebelum membuat pusingan U.
Sheikh Umar melemparkan pandangan terakhir ke arah rumah tradisional masyarakat Iban itu. Gadis tadi tidak kelihatan lagi. Jelas tiada yang menghantar mereka pulang. Sebagai tetamu yang tidak diundang, dia tidak mengharapkan lambaian perpisahan.
YOU ARE READING
Neredesin? Awak Di Mana?
Ficción GeneralTajuk: Neredesin? Awak Di Mana? Penulis: Puteri Nor Muka Surat : 1024 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-026-7 Harga: RM36.00 (Semenanjung) // RM39.00 (Sabah & Sarawak)