Bab 1

20.5K 367 4
                                    

Prolog

"Weh, kau kat mana?" Kelam-kabut saja Adibah tanya.

"Aku turun KL? Kenapa?"

"Habislah!"

"Apanya yang habis?" Nak tahu juga.

"Hari tu kau cuci baju guest bilik mamat bajet bagus tu, kan?"

"Haah. Kenapa?" Pelik bila Adibah tanya soalan macam tu.

"Sehelai baju dia hilang. Dia nak saman homestay. Dia dah telefon Kak Yan."

Habis! 


Bab 1

KALAU begitu sudah tertulis, nak diapakan lagi. Reda sajalah. Mustahil mahu meraung-raung seperti orang gila. Kalau putus, putus terus. Habis cerita. Jangan dikenang-kenang lagi. Jangan diungkit apa-apa. Aku tak kesah punya! Bukan masalah besar pun. Baru putus tunang, bukan putus nyawa. Tak jadi masalah buatku. Tak hairan sangat benda-benda macam ni.

Dulu pun bukan aku yang nak Hafiz tu. Nenek dengan mak ngah yang pandai-pandai tukang kenen. Bila putus, aku rasa cukup lega.

Yeah! Putus tunang! Macam seronok pula. Seperti terlepas satu beban yang aku rasa macam tak sanggup saja untuk tanggung. Tapi aku tak boleh tunjuk sangat aku suka hati. Nanti mak ngah fikir apa pula. Baik duduk diam, senyap-senyap dan buat muka sedih. Aku nak sedih? Memang lawaklah kalau aku sedih.

Tak dapat gambarkan dengan kata-kata betapa sukanya aku.

"Padan muka. Itulah pasal. Siapa suruh tak pandai nak jaga tunang sendiri. Kan dah putus!" Puan Zubaidah, isteri Pak Ngah Kassim sambung membebel.

Sebaik sahaja mak lang dan pak lang balik, terus mak ngah bebelkan aku. Macam biasa, aku dengar sajalah. Masuk kanan, keluar kiri. Tak berbekas. Nanti kalau mak ngah penat, tahulah dia senyap.

Nak saja aku tanya, nak jaga Hafiz macam dia? Kendong dia? Bila dia minta duit, aku kena bagi? Nampak sangat bodohnya aku kalau mahu ikutkan saja apa kehendak lelaki tak guna tu.

"Aku dah cakap kau ni memang keturunan pembawa malang, tapi orang lain tak percaya. Tengok, bertunang dengan sepupu sendiri pun boleh putus!" sambung mak ngah.

Aku diam juga. Bukan aku tak berani jawab, cuma aku tak nak menjawab saja. Penat nak layan kerenah mak ngah. Lawan pun bukannya aku boleh menang.

"Apa awak ni. Malang apa bendanya. Dah tak ada jodoh, nak buat macam mana. Itulah pasal saya suruh awak belajar agama. Biar kenal sikit dosa pahala. Ini tidak. Main sesuka hati awak bercakap!" Seperti biasa, pak ngah akan masuk belah aku. Yalah, aku kan anak saudara dia. Kalau dia yang tak bela nasib aku siapa lagi? Harap mak ngah? Memang taklah.

Dengan sikap pak ngah yang lebihkan aku, lagilah buat mak ngah anti aku teramat sangat. Dan satu lagi punca kenapa mak ngah tak suka aku ialah, sejak ayah aku meninggal dunia, pak ngah banyak kirim duit pada aku. Itu yang buat mak ngah bengang. Kata mak ngah, duit yang pak ngah selalu bagi pada aku tu kalau dikumpul boleh beli gelang emas seberat tiga kilo. Tu sebabnya bila tahun lepas aku datang KL, sebolehnya mak ngah tak mahu aku menumpang di rumah mereka. Walhal, aku bukan nak sangat menumpang di sini. Aku hanya mahu membalas jasa-jasa pak ngah semata. Bantu dia sikit-sikit dari segi kewangan.

"Memang saya jahil agama, tapi saya tahu dosa pahala. Tak payahlah awak ajar saya pula." Mak ngah menjawab. Bela diri kononnya.

"Kalau awak tahu dosa pahala, awak tak jadi macam ni. Bercakap seperti orang tak ada pegangan agama."

"Habis, abang ingat abang tu bagus sangat ke?" marah mak ngah. Bila pak ngah menangkan aku, mesti mak ngah tak keruan rasa. Angin taufan segera melanda tubuh badan mak ngah.

Aku angkat punggung bila mak ngah dan pak ngah mula buka acara perang mulut. Nanti aku juga yang tersepit di tengah-tengah. Baik aku blah. Silap hari bulan aku yang kena balik. Mereka berdua ni bukan boleh percaya sangat. Suka saling menuduh dan masing-masing tak mahu mengaku kalah.

Aku masuk bilik. Suara mak ngah sampai juga dalam bilik. Masih lagi nak cakap aku ini memang tak berguna dan membawa malapetaka. Sabarlah hati. Nak diapakan lagi? Dah mulut mak ngah memang macam tu.

Aku terbaring di atas katil bujang. Pandang siling yang dah banyak sawang. Sibuk di kedai bunga membuatkan aku tak ada masa untuk fikirkan hal sawang.

Waktu ini aku teringatkan Hafiz. Enam bulan saja kami bertunang. Akhirnya putus juga dengan alasan Hafiz dah jumpa gadis idaman dia. Nenek yang bersungguh nak jodohkan aku dengan Hafiz, mak lang pun sebenarnya macam nak tak nak saja. Tapi disebabkan takut dengan nenek, mak lang pun ikut saja. Bagus juga putus, kalau tidak entah apa lagi masalah yang terpaksa aku hadapi nanti.

Pintu bilik ditolak secara mengejut selepas itu. Yani, anak tunggal mak ngah dan pak ngah muncul. Nama sebenar dia Nurul Maryani, tua setahun dari aku. Baru habis belajar. Sebenarnya sudah dua hari dia tak balik rumah. Peliknya, baik mak ngah atau pak ngah tak kesah pun. Langsung tak tanya anak pergi mana.

"Aku dengar kau dah putus tunang." Dia datang dengan muka serupa minta penampar. Kalau dia banyak cakap memang aku tak teragak layang penampar.

"Haah..." jawabku selamba. Bukan selamba sebenarnya, tapi memang tak suka. Mesti Yani cakap macam-macam nanti.

"Kau tak rasa apa-apa?" Yani tanya dengan soalan yang aku rasa sangat pelik.

"Biasa aje..."

"Hoi bodoh, putus tunang tu. Takkanlah kau tak rasa apa-apa? Tak payahlah nak menipu sangat!"

Sepatutnya aku yang marah. Ini terbalik pula. Aku tengok Yani yang terlebih marah. Kalau orang tak tahu, sah ingat Yani yang putus tunang.

"Bukan aku nak pun bertunang hari tu. Nenek yang paksa. Jadi kalau putus, aku rasa elok juga. Yang kau terlebih marah kenapa? Macam kau pula yang putus tunang." Tak faham betul dengan perangai Yani. Ada saja benda nak jadi bahan bergaduh.

"Betullah semua orang cakap yang kau ni memang pembawa nasib malang. Bertunang dengan sepupu sendiri pun boleh putus."

Ini memang betul-betul anak mak ngah. Perangai sama. Mulut pun lebih kurang.

"Salah tu, Tuhan nak bagi aku yang lebih baik, yang ada pegangan agama sikit. Dan mana kita tahu Tuhan nak bagi aku yang handsome, yang banyak duit, kan? Aminnn..." Itulah doaku kecuali yang handsome dan banyak duit. Tapi kalau dapat pakej lengkap, alhamdulillah. Bagi aku, dapat yang lebih baik daripada Hafiz pun sudah cukup baik. Bukan Hafiz tak cukup baik, tapi memang tak baik pun. Tak ada ciri-ciri seorang suami langsung.

"Eh, kau jangan nak perasan sangatlah. Kau tu yang tak sedar diri sebenarnya. Ada hati nak yang handsome dan banyak duit. Cuba cermin sikit muka kau tu!"

"Tak salah berdoa, kan? Orang kata doa anak yatim piatu selalu makbul. Kau pula selalu sangat aniaya aku. Kalau aku doakan kau yang tak baik macam mana?"

Yani nampaknya mati kutu. Memang aku tahu dia akan mati kutu bila aku cakap macam tu. Hanya itu saja caranya untuk aku tutup mulut dia.

"Huh! Dasar perempuan tak sedar diri!" Yani nampaknya tidak ada modal lagi.

"Sebenarnya siapa yang tak sedar diri? Aku tahulah kau lepak mana dua hari ni." Sebab bosan tengok muka Yani, aku serkap dia dengan cakap macam tu. Sebenarnya aku pun tak tau Yani lepak mana. Muka Yani serta-merta berubah. Makanya serkap aku bukan sebarang serkap. Serkap yang mengena.

"Mana kau tahu aku lepak mana?" Tergagap Yani bertanya. Gagap orang buat salah.

Aku gelak jahat. Saja bagi Yani lagi cemas.

"Kau jangan nak tuduh sembarangan."

"Tak tuduh. Kalau aku nak sahihkan apa yang aku cakap, aku boleh telefon Bob." Aku angkat kening.

Yani tambah gelisah. Tanpa bercakap, dia terus tinggalkan bilik. Pintu bilik pun dia hempas sekuatnya. Ah! Aman dunia.

Selepas ni aku tahulah caranya nak tutup mulut Yani. Anak-beranak sama saja. Kalau tak cari pasal dengan aku, tak meriah gamaknya hidup mereka. 

Cik Sederhana Dan Encik SegakWhere stories live. Discover now