"NENEK dah meninggal!" beritahu pak ngah dengan nada sayu ketika aku baru selesai solat subuh. Nampak muka pak ngah pun benar-benar sedih. Siapa yang tidak sedih kalau dikhabarkan dengan berita kematian ibu kandung sendiri.
"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un..." Sayu perasaan tiba-tiba. Akhirnya nenek pergi juga. Walaupun semua ahli keluarga sedia maklum akan keuzurannya, namun berita itu tetap aku terima dengan perasaan hiba. Nenek yang tinggal bersama pak long ketika ini khabarnya hampir sebulan tidak boleh bergerak. Hanya terbaring sepanjang waktu sehinggalah nafas terakhirnya.
Mak ngah bukan main kelam-kabut sebaik sahaja berita duka dikhabarkan kepada kami. Bising mulutnya mengarahkan aku bersiap lekas.
Aduhai, primadona sungguh. Nak muntah aku tengok lakonan mak ngah. Begitu juga dengan Yani. Kelam-kabut tak tentu arah. Seperti sayang benarlah nenek tu. Tapi masa hidup buat nenek macam tunggul kayu. Dimaki hamun sesuka hati. Menyampahnya aku dengan manusia yang pandai bermuka-muka ni.
Aku sedar juga inilah peluang untuk mak ngah dan Yani bermuka-muka lagi. Berpura-pura mengambil hati sanak saudara yang lain. Seperti selalu dan sudah menjadi keinginan kedua beranak itu untuk menguasai semua keadaan. Mahu tunjuk betapa hebatnya mereka.
Tak tahan betul aku tengok. Kalaulah bukan nenek yang meninggal, memang tak ingin aku ikut. Tak sanggup nak tengok mak ngah main drama.
Tiba di kediaman pak long, aku lihat sudah berkumpul semua saudara-maraku yang kebanyakkan tinggal di sekitar Kuala Lumpur dan kawasan berhampiran. Hafiz juga ada bersama dengan bakal tunangnya.
Aku buat tak pandang. Bukan marah dengan apa yang berlaku, tapi aku menyampah nak tengok muka dia. Apatah lagi dengan bakal tunang dia yang ala-ala perempuan Melayu terakhir tu. Perempuan yang mak ngah cakap cantik gila. Memang cantik pun. Memang jauh berbeza dari aku. Tak apalah, memang aku tak kecil hati langsung. Aku sedar siapa diri aku.
"Cantiknya bakal tunang Hafiz tu. Putih melepak. Kalau nak bandingkan dengan kau, serupa aku bandingkan berlian dengan batu akek," bisik Yani. Acara menyakitkan hatiku pun bermula. Nampaknya sedih Yani atas kematian nenek benar-benar sandiwara. Kalau tak, pasti Yani pun tak tergamak nak sakitkan hati aku dalam keadaan kami semua bersedih.
"Tapi batu akek yang ramai orang mampu beli, kan? Lagipun aku tak hairan dengan bakal tunang Hafiz tu, sebaliknya aku rasa terhutang budi sangat dengan dia. Kalau tak disebabkan dia, mesti aku yang terpaksa jadi isteri Hafiz. Macamlah kau tak kenal dengan sepupu kita tu." Aku juga bisik perlahan. Dengan Yani mana boleh diamkan saja, nanti dia lagi pijak kepala aku. Jawab tetap jawab.
Yani tak balas, muka dia masam, bermakna dia kalah. Sebenarnya masing-masing dah tahu perangai Hafiz macam mana. Buruk sangat perangai lelaki tu.
"Aku rasa kau pun tak sanggup nak jadi bini Hafiz, kan?" Aku bisik lagi. Yani terus angkat kaki. Tahu pula marah.
Tengah aku duduk sendirian, Hafiz datang dekat.
"Aku nak cakap sikit ni," kata Hafiz.
"Cakaplah..." balasku nak tak nak. Malas sebenarnya nak bercakap dengan Hafiz.
"Aku tak nak kau buat perangai."
Aku pandang juga muka Hafiz walau aku memang tak nak pandang. Aku pandang sebab soalan Hafiz tu terasa pelik sangat. Buat perangai? Buat perangai apa?
"Kau cakap apa, ya. Aku tak faham."
"Aku tak nak kau kacau bakal isteri aku. Tak payah kut buat perangai bodoh nak rebut aku."
Ini dah melebih.
"Kenapa aku rasa nak muntah ni?" Aku pegang leher. Serius, aku rasa nak muntah.
YOU ARE READING
Cik Sederhana Dan Encik Segak
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Cik Sederhana & Encik Segak Penulis: Airisz Muka Surat : 496 Penerbit: Penulisan2u Terbitan : November ISBN: 978-967-0992-44-0 Harga: RM21.00(Semenanjung) // RM24.00 (Sabah/Sarawak)