Bab 2

11.2K 277 2
                                    

"SERIUS?" Kak Olin tanya dengan terkejut. Aku dah agak, mesti terkejut punya.

"Serius. Semalam dengan rasminya saya putus tunang." Memang aku rasa betul-betul lega. Tak tergambar dengan kata-kata. Kalau boleh, aku tak mahu terlibat langsung dengan saudara-mara. Menyusahkan saja. Nanti kalau jadi apa-apa, macam-macam mereka ungkit.

"Alhamdulillah..." Kak Olin dan Kak Yan panjatkan doa. Aku tahu memang itu doa mereka siang dan malam. Bukan aku saja yang tak sukakan Hafiz, Kak Olin dan Kak Yan pun sama. Dulu masa nak bertunang, merekalah yang galak jadi tukang hasut supaya aku tak terima.

"Dahsyat tu..." Aku tergelak. Lucu tengok Kak Olin dan Kak Yan begitu. Macam suka sangat.

"Jenis lelaki yang tak layak buat laki!" Bersungguh Kak Olin bagi pendapatnya dan aku rasa dah hampir 12 kali dia ulang ayat yang sama. Cuma aku sesungguhnya tak ada sebarang pilihan masa tu. Kehendak kaum keluarga. Ikut sajalah. Mujurlah putus. Kalau tidak, memang menderita hidupku.

"Memang pun." Aku balas.

"Kenapa lanun tu tiba-tiba putuskan tunang?" Kak Yan selaku big boss tanya dengan wajah serius. Cara dia tanya seperti betul-betul aku bertunang dengan geng Jack Sparrow.

"Dia dah ada pilihan hati sendiri."

"Bagus. Elok sangat tu. Errr, Rissa sedih ke?" Kak Olin tanya lagi. Kak Olin ni pun satu. Tanya soalan tak logik langsung. Haruslah aku tak sedih.

"Sikit pun tidak. Saya rasa nak buat pulut kuning saja..."

"Kalau Rissa dah sebut, maknanya Rissa kena buat. Kak Olin pun dah lama tak pekena pulut kuning dengan rendang." Kak Olin ketawa-ketawa. Muka memang lapar pulut kuning pun.

"Mengambil kesempatan sungguh!" Aku juga tumpang ketawa sama.

"Tapi memang Kak Yan harap sangat Rissa tak kahwin dengan sepupu Rissa tu. Nanti memang bertambah lagi masalah." Kak Yan cakap lagi. Dia memang nampak serius, tetapi dialah bos paling baik hati.

"Ni, maknanya tak ada masalah la kalau Kak Yan transfer Rissa kerja kat homestay semula? Memang Kak Yan merayu sangat. Pekerja memang tak ada. Kak Yan kalau boleh tak nak ambil pekerja asing."

Pucuk dicita ulam yang datang.

"Sebenarnya kalau Kak Yan tak transfer pun, saya memang nak minta balik kerja kat sana. Saya rindulah rumah saya." Aku tunduk. Aku sangat rindukan rumah arwah ayah aku. Lagipun aku memang tidak serasi tinggal di sini. Rasa sesak saja nafasku dengan udara kota yang tak pernah segar.

"Kak Yan faham. Rissa baliklah Cameron Highlands semula." Kak Yan tepuk bahuku perlahan.

"Terima kasih, Kak Yan..." Aku peluk Kak Yan dengan erat. Tak tahu kenapa tiba-tiba saja mata jadi pedih. Mungkin kerana kasih sayang Kak Yan tak ubah seperti kasih sayang seorang ibu. Aku dapat merasakannya. Terasa diri disayangi.

"Alah, hujanlah pula..." usik Kak Olin.

Cepat-cepat aku lepaskan pelukan dan sibukkan diri dengan melihat kuntuman bunga.

AKU sampai rumah hampir pukul 9.30 malam. Kedai bunga Kak Yan tutup pukul 9.00 malam. Lepas maghrib tadi Kak Olin dah suruh aku balik.

"Baru balik?!" Mak ngah tengking sebaik sahaja aku sampai. Mak ngah pamer wajah bengis. Tapi serius, aku tak takut pun. Dah biasa sangat tengok muka mak ngah macam tu. Jadi, apalah sangat bengis mak ngah tu. Sejak setahun lebih aku menumpang di rumah mereka, mak ngah memang begitu. Tunjuk perangai pelik-pelik dengan harapan aku akan keluar dari rumahnya.

"Susah nak dapat bas tadi." Aku menjawab. Memang pun. Susah sangat nak dapatkan bas.

"Kau jangan nak menipu. Aku tahulah kau tu. Mesti 'menjongket' dengan jantan saja kerjanya. Tu pasal Hafiz dulu putuskan tunang, sebab dia tahu kau tu bukannya perempuan baik!" Yani turut masuk campur. Dia yang berseluar pendek bawah punggung dan berbaju tali halus warna kelabu asap pandang aku dengan tajam. Pun, serius aku cakap. Aku tak takut juga.

"Aku pun tak paksa kau nak percaya ke tidak. Suka hatilah kau nak cakap apa. Bukan faedah pun. Kalau aku 'menjongket' sekalipun, apa masalah kau? Aku tak ajak kau, kan?" Aku menjawab lagi. Suara sama tinggi dengan suara mak ngah tadi. Aku tengah penat, balik-balik orang sambut dengan marah-marah, memang nak kenalah dengan aku.

"Tengok mak, kurang ajar perempuan ni." Yani yang bertubuh langsing, memiliki kulit seperti mak ngah, kulit sawo matang bercekak pinggang. Rambutnya yang panjang lurus melepasi bahu nampak masih basah. Baru lepas mandi gamaknya perempuan ni. Alasan kenapa dia layan aku macam tu sama saja alasan dengan mak ngah. Nak aku keluar segera.

"Dah tahu aku kurang ajar, yang kau cari pasal dengan aku kenapa?" Aku lawan balik.

"Dasar tak sedar diri menumpang rumah orang!" balas Yani.

"Aku bukan duduk menumpang, okey. Aku pun bayar sewa." Aku menjawab lagi. Selepas itu, aku terus ke bilikku yang terletak berhampiran dapur. Selama ini mak ngah dan Yani sebenarnya bising mulut saja. Kalau aku lawan balik, masing-masing mati kutu. Mereka tahu aku lagi garang.

"Eh, kau jangan nak tidur. Aku ni lapar. Masak dulu." Mak ngah yang berbadan gempal, ikut aku dari belakang.

"Saya penat. Saya nak rehat." Aku terus masuk bilik dan tutup pintu rapat. Malas nak layan. Kedua-duanya bukan bekerja pun. Duduk rumah goyang kaki. Tapi malasnya hanya Tuhan yang tahu.

Aku malas nak beritahu tentang aku nak balik Cameron Highlands semula sebab nak pergi macam tu saja. Biar mereka terkejut. Jadi untuk itu aku takkan cakap apa-apa pasal ni.

Pintu bilik diketuk.

"Kau masak juga. Aku lapar!" jerit mak ngah.

Aku buat tak dengar. Lantak kau oranglah. Nak kebulur ke, nak apa ke, kau orang punya pasal. Aku sudah tak larat nak layan kerenah dua beranak yang masih tak sedar-sedar diri. Memang aku menumpang rumah mereka, tapi aku bukan percuma saja tinggal di sini.

Ah! Tak sabarnya nak balik Cameron Highlands.

Tak sampai setengah jam, aku dengar suara pak ngah pula marah-marah. Selalunya jarang pak ngah marah. Tapi tak tahulah apa yang tidak kena kali ini.

Aku pun keluar bilik nak tengok apa yang jadi.

"Duduk di rumah, tak buat satu apa pun kerja. Masak pun tidak!" Pak ngah membebel. Masa tu aku nampak mak ngah tengah kelam-kabut di dapur. Aku tahulah sebab apa pak ngah mengamuk. Pak ngah mengamuk sebab mak ngah tak masak.

"Kenapa pak ngah?" Aku pura-pura bertanya.

"Rissa tengoklah perempuan dalam rumah ni. Pak ngah dahlah baru balik kerja. Tengah lapar. Tapi apa makanan pun tak ada," jawab pak ngah sambil cekak pinggang.

"Salah pak ngah juga. Cuba pak ngah cari mak ngah baru." Aku jadi batu api.

"Kalau macam ini gayanya memang pak ngah kena cari mak ngah baru," balas pak ngah.

Aku pandang mak ngah. Mak ngah jeling aku tajam. Kemudian aku ketawa-ketawa. Nak tambah lagi panas hati mak ngah. Sesekali, mak ngah ni kena ajar juga tapi percayalah, mak ngah takkan berubah punya.

Aku masuk bilik semula. Nak tunggu keadaan reda baru aku mandi. Untuk sementara waktu, biarlah mereka berdua bertekak suami isteri. 

Cik Sederhana Dan Encik SegakWhere stories live. Discover now