HARI baru bermula lagi. Indahnya. Damainya. Udara yang sedar dan dingin membuat perasaan terbuai-buai.
Aku melangkah dengan girang. Aku sudah kembali. Tak perlu fikir apa-apa. Hal-hal yang tak ada kena-mengena dengan aku baik aku lupakan saja.
"Rissa..." Adibah melaung namaku. Teman lama. Sebelum ke Kuala Lumpur, memang aku bekerja di homestay milik Kak Yan sejak lepas sekolah lagi.
"Kak Yan cakap kau balik kerja kat homestay. Betul ke?" soal Adibah. Adibah ni sebaya aku, tapi badan dia lebih kecil dari aku. Ramai tetamu yang menginap di homestay ingat dia ni baru tingkatan satu, tapi dia tua tahun daripada aku. Dia juga orang sini dan tidak pernah ke mana-mana.
"Haah. Kak Yan cakap homestay tak ada orang. Kau orang bertiga saja." Bertiga tu termasuklah Adibah, Kak Ema dan Roza.
"Memanglah. Kami bertiga saja. Mana larat nak buat semua kerja. Kemas bilik, cuci cadar bagai."
"Yalah, tu pasal Kak Yan minta aku tolong kerja kat homestay."
Sebenarnya homestay Kak Yan ni merupakan sebuah bangunan seperti banglo yang memiliki 8 buah bilik. 5 buah bilik di tingkat bawah dan 3 buah di tingkat atas yang merupakan bilik bertaraf eksklusif. Hampir setiap minggu homestay Kak Yan menjadi tumpuan kerana kedudukannya yang sangat cantik. Terletak berhampiran kebun bunga milik Kak Yan. Satu lagi homestay Kak Yan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk sarapan pagi. Dan kalau pelanggan mahukan hidangan tengah hari atau malam, turut juga disediakan. Mereka bertiga jugalah yang akan jadi tukang masak. Sebab itulah mereka tidak cukup tangan nak buat semuanya.
Sedang seronok berbual dengan Adibah, Kak Ema muncul. Wanita berusia 32 tahun ini sebenarnya memiliki sikap yang kurang menyenangkan hatiku.
"Dah elok-elok kerja KL kenapa balik sini? Ini mesti ada buat salah." Kak Ema mula perli. Dia ni memang musuh aku sejak dulu lagi. Tak tahulah pasal apa. Mungkin aku cantik sikit daripada dia kut. Tu hati tak sedap saja bila tengok aku.
"Eh, Kak Ema ni. Kak Yan sendiri yang minta Rissa kerja kat homestay. Banyak bunyi pula. Bukan ke Kak Ema yang merungut setiap hari kerja kat homestay berlambak?" Adibah menjawab. Kalau aku menjawab nanti, jadi gaduh. Baik aku jangan cakap apa-apa.
"Errr, manalah tahu. Teka saja."
"Kalau tak tahu apa-apa, jangan nak cakap yang bukan-bukan. Diam lebih baik. Bercakap pun nak menyakitkan hati orang saja."
Terus Kak Ema angkat kaki. Dengan Adibah jangan main-main. Dia bukan kira.
"Setiap hari merungut. Bila dah ada yang nak tolong, bising pula. Tak faham betul manusia perangai macam ni!" bebel Adibah. Aku rasa Kak Ema mesti dengar. Adibah ni badan saja kecil tapi suara dia seperti pakai pembesar suara saja kalau bercakap.
"Dia tak suka aku kerja kat sini tu."
"Kenapa? Harap Kak Yan ambil pekerja asing? Nak-nak lelaki. Boleh dia tumpang merenyam."
Ah, Adibah ni, ke situ pula. Kalau Kak Ema dengar, tambah kecik hatilah kawan tu. Yalah, mana tak kecik hati. Kawan tu tahun ni dah masuk 32 tahun tapi masih keseorangan.
Kak Ema toleh pandang kami. Maknanya Kak Ema dengarlah apa yang Adibah cakap tu. Aduhailah Adibah. Cakap tak berlapik langsung.
"Kau ni. Kalau ya pun janganlah marah sampai macam tu sekali." Aku tampar perlahan bahu kiri Adibah.
"Biarlah dia. Dah betul, kan?"
Suka hatilah, Adibah. Malas aku nak campur. Baik aku terus buat kerja. Seperti dulu, aku tiada bahagian kerja yang khas. Semua aku kena buat. Kemas bilik, cuci cadar, bersihkan dalam homestay. Luar pun aku kena jaga. Tukang siram bunga pun aku juga. Tapi semua tu tak jadi masalah buat aku. Aku suka. Kecuali hal Kak Ema, yang lain aku tak jadi masalah.
"Wei..." Roza pula muncul. Roza sebaya aku tapi masa sekolah dulu aku tak berapa rapat sangat dengan Roza sebab aku hanya rapat dengan Hawa.
Dia datang peluk aku.
"Aku dah cakap, mesti kau tak tahan punya tinggal kat KL," kata Roza sambil peluk aku dengan erat.
Memang betul pun. Semua orang cakap macam tu masa aku ambil keputusan untuk bekerja di kedai bunga Kak Yan.
"Aku nak cari pengalaman saja," balasku perlahan.
"Apa lagi tu? Tak ingat nak buat kerja?" Kak Ema marah kami bertiga.
"Ada juga yang aku bagi makan racun tikus ni!" Adibah merungut perlahan.
"Memang pun." Roza membalas.
Aku tak jawab apa-apa sebab sudah faham benar perangai Kak Ema. Mahu diapakan lagi. Sudah perangai dia begitu.
Kami bertiga bersurai. Kembali kepada kerja masing-masing.
Ah! Gembiranya. Masa kerja di kedai bunga Kak Yan hari tu, aku jarang rasa gembira begini. Sekarang baru aku tahu, di sinilah tempat aku sebenarnya.
YOU ARE READING
Cik Sederhana Dan Encik Segak
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Cik Sederhana & Encik Segak Penulis: Airisz Muka Surat : 496 Penerbit: Penulisan2u Terbitan : November ISBN: 978-967-0992-44-0 Harga: RM21.00(Semenanjung) // RM24.00 (Sabah/Sarawak)