MINGGU pun berganti. Majlis kahwin Hafiz benar-benar tak jadi. Rasanya mak lang tak jumpa siapa-siapa untuk dijadikan isteri Hafiz. Seperti yang aku jangka, mak ngah memang ada telefon aku. Mak ngah sebut perkara yang mak lang sebut, tapi aku nekad kali ni. Walau mak ngah maki hamun, aku tetap tak berganjak.
Sudah tertulis, Hafiz bukan berjodoh denganku. Orang kata kalau memang sudah tiada jodoh, tetap juga takkan ada jodoh.
Aku tak jadi turun ke KL minggu ni sebab pekerja yang biasa ambil bunga sambung bekerja semula. Kerja aku lebih kepada kerja-kerja di homestay.
Yang jadi masalahnya sekarang ni, terpaksa hadap lelaki tu. Dia datang petang semalam kata Adibah. Masa tu aku dah habis kerja dan lepak rumah Hawa.
Macam mana aku nak mula cerita pasal lelaki seorang ni? Aku pun tak ingat sejak bila aku boleh ada masalah dengan dia. Tapi rasanya paling ketara pagi ni.
Minggu lepas, tak ada masalah apa-apa yang besar. Biasa-biasa saja. Suruh aku tukar cadar saja. Bercakap pun yang penting-penting. Dia, tetap juga dengan gaya kerek dia. Sombong!
Muka dia? Bagi aku boleh dikatakan ada rupa jugalah. Walau nampak sombong, tapi muka dia bersih. Nampak tenang dan kalau bagi sesetengah orang, dia boleh masuk kumpulan lelaki pendiam disebabkan kurangnya bercakap.
Tapi itu untuk minggu sebelum ini. Memang dia pendiam dan buat hal dia sendiri. Kebetulan aku pun pergi KL. Taklah nampak sangat perangai pelik dia.
Pagi tadi, dia mula memperdengarkan suara dia dengan nada yang tak berapa seronok untuk didengar. Itu salah, ini salah. Pendek kata semua salah. Aku pun tak tahu kenapa yang selalu jadi mangsa dia hanyalah aku. Adibah dan pekerja lain tak pula dia cari pasal.
Pelik sangat, tiba-tiba saja dia tak suka aku. Apa salah aku pada dia? Kalau aku ada menggatal dengan dia bolehlah dia layan aku macam tu. Aku memang tak ada buat apa-apa pun. Jauh sekali nak mengurat dia. Kirim salam la. Pinggan tak retak, nasi tak dingin! Hakikatnya, lelaki memang makhluk yang susah sangat untuk difahami. Kalau suka, suka gila. Kalau dah benci, benci gila.
Tak sangka kali ni aku benar-benar bermasalah dengan dia hanya kerana sehelai T-shirt yang aku rasalah layak buat kain lap kaki saja. T-shirt dia hilang dan dia tuduh aku curi. Memang kecoh dibuatnya sampai dia nak saman homestay. Kedengaran seperti tidak masuk akal. Hanya disebabkan sehelai T-shirt lelaki pelik tu nak saman homestay.
Kak Yan pesan, aku jangan jawab apa-apa. Tadah saja orang tu nak cakap apa pun asalkan dia tarik balik keputusan nak saman homestay. Pelanggan tetap betul walaupun memang terang-terang salah. Aku pun pelik kenapa Kak Yan sayang sangat dengan guest yang satu ni. Bila aku tanya Adibah, rupanya ini regular guest homestay Kak Yan. Padanlah. VVIP guest rupanya.
"Awak ni sengkek sangat ke sampai baju saya pun awak nak curi?" Betul-betul dia marah aku. Muka garang habis. Aku sumpah, kalau aku jumpa baju tu memang aku gunting-gunting. Tak dapat gunting mulut tuan baju, dapat gunting baju dia pun jadilah. Ingat aku lapar sangat nak baju dia? Ingat aku miskin sangat sampai baju dia aku nak jual? Buat kain buruk pun fikir dua tiga kali. Tau la dia banyak duit, tapi janganlah sombong sangat.
"Ke awak nak buat kenangan? Maklum, tak dapat tuan, dapat tuan baju pun jadilah."
Sakitnya hati. Ini jenis kalau aku jumpa dia dengan ular tedung, mahu aku ketuk dia ni dulu, baru aku ketuk ular tu.
"Saya ganti baju encik nanti." Aku beranikan diri menjawab sebab dah tak tahan dengar dia ulang ayat yang sama hampir setengah jam aku tercegat di sini. Daripada cara dia ulang ayat tu, aku tau dia ni bukan bagus sangat. Lemah dalam perbendaharaan kata. Entah berapa kali dia ulang perkataan sengkek. Dia yang lagi kerek tak sedar.
YOU ARE READING
Cik Sederhana Dan Encik Segak
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Cik Sederhana & Encik Segak Penulis: Airisz Muka Surat : 496 Penerbit: Penulisan2u Terbitan : November ISBN: 978-967-0992-44-0 Harga: RM21.00(Semenanjung) // RM24.00 (Sabah/Sarawak)