Bab 12

9.2K 226 6
                                    

PROJEK calla lily Kak Yan menjadi juga akhirnya. Aku pun dengan tak semena-mena terjatuh cinta dengan bunga nan satu ini. Nanti-nanti, aku nak minta jadi tukang kebun saja. Malaslah nak kerja di homestay. Banyak masalah kalau berurusan dengan manusia ni. Macam-macam perangai. Buat sakit hati saja.

Calla lily pula tak pernah beri masalah lagi setakat ni. Cukup air, cukup cahaya matahari, hiduplah benda alah ni. Kalau manusia, selagi tak puas hati, memang ada saja yang tak kena.

"Apa pasal nak kerja kat kebun pula?" Pak Saad tanya.

"Saja, tukar angin!" balasku nak tak nak.

"Tukar angin ke, sebab buat salah kat homestay?"

Inilah salah satu masalah manusia. Dia dah tahu aku ada masalah, lagi nak tanya. Aku ingat Pak Saad ni orang tua saja, kalau setakat sebaya Azrai memang tak menang mulut aku sembur.

"Pak Saad memang suka cari pasal, kan?" Aku marah sekali.

"Taklah. Pak Saad bukan nak cari pasal, tapi tadi Pak Saad pergi homestay. Ada sorang guest tu mengamuk cari Rissa. Si Adibah cakap, Rissa dah berhenti kerja. Itu yang Pak Saad hairan sikit." Pak Saad ketawa perlahan. Ketawakan akulah tu.

"Orang tu mengamuk?" soalku sambil pandang muka Pak Saad yang suka buat lawak.

"Ya. Habis semua staf homestay dia marah. Suruh cari Rissa sampai dapat."

"Memang gila betul orang tu." Geramnya.

"Pasal baju dia saja, kan?" soal Pak Saad.

"Itulah pasal."

"Tadi Pak Saad tengok dia marahkan Ema. Menangis jugalah Ema lepas tu."

Wah, kenapa aku suka sangat dengar berita ni? Boleh tak kalau aku tepuk tangan? Baru dia rasa apa yang aku rasa.

"Kak Ema pun kena? Apa kes pula?"

"Dengar cerita salah bagi hidangan."

Memang peliklah lelaki tu. Aku rasa macam dia baru terlepas dari mana-mana hospital bahagia saja.

"Entah-entah lelaki tu gila tak?" soalku.

"Ada la yang tak kena tu sampai dia boleh buat perangai. Tapi Pak Saad rasa, mesti dia cari Rissa ni. Ke dia dah suka pada Rissa? Apa orang cakap, jatuh cinta pandang pertama?" Pak Saad usik lagi. Dah dua orang sebut perkara yang sama.

"Merepek saja Pak Saad ni. Suka-suka hati cakap macam tu." Bengang juga aku mendengarkan kata-kata Pak Saad.

"Pokok takkan bergoyang kalau tak ada angin. Dari cerita Adibah, Pak Saad rasa..."

"Pak Saad ni memang suka bergosip, kan?" Aku potong cakap Pak Saad. Suka sangat dengar cerita Adibah. Lepas tu cakap macam-macam.

"Bukan bergosip. Siapa lagi orang tua di sini kalau bukan Pak Saad? Jadi, dengan Pak Saadlah mereka meluah rasa, minta pendapat." Pak Saad bela diri. Itu memang betul. Aku pun mengaku, Pak Saad saja tempat kami mencurah rasa, berkongsi pendapat dan minta pandangan. Masalahnya kadang-kadang bab bawa cerita pun boleh tahan juga orang tua ni.

Aku senyap selepas tu sehinggalah Azrai datang kacau.

"Apa pasal ni?" soal Azrai. Tak tahu dia tanya siapa, dia tanya aku atau tanya Pak Saad. Jadi, aku ambil keputusan untuk diam saja. Sah-sahlah aku jadi bahan sekejap lagi.

"Ada orang nak larikan diri," balas Pak Saad.

"Siapa?" soal Azrai.

"Ada la. Dengar cerita, kecoh pasal T-shirt salah seorang VVIP istimewa hilang." Pak Saad sambung bercerita.

Cik Sederhana Dan Encik SegakWhere stories live. Discover now