Bab 9

8.5K 217 11
                                    

AKU sampai homestay petang Isnin. Paginya aku sempat melawat mak lang. Mak lang sudah mula sedarkan diri. Keadaan mak lang juga mula stabil. Tiada apa yang hendak dibimbangkan. Mak lang hanya risaukan majlis yang bakal berlangsung sahaja. Pandai-pandailah mak lang selesaikan nanti.

"Lelaki bajet bagus tu dah balik?" soalku kepada Adibah. Tak tahulah kenapa soalan itu yang aku tanya terlebih dahulu. Serupa penting sangat.

"Apa pasal? Kau rindu dia ke?" Adibah soal aku balik.

"Rindu gila!" Aku jawab selamba. Adibah ketawa. Kuat dia ketawa selepas itu seolah-olah lucu benar.

"Yalah, orangnya segak, kan. Siapa yang tak rindu gila," kataku lagi. Geram sudah. Boleh lagi Adibah cakap macam tu. Tapi aku pun salah sama. Yang aku gatal tanya pasal orang tu dah kenapa?

"Dia balik tengah hari tadi. Siap tanya kau dah balik ke belum. Yang peliknya, dua tiga kali jugalah dia tanya pasal kau."

"Dia tahu ke aku pergi mana?"

"Tahu, aku yang bagi tau."

"Yang kau bagi tau kenapa?"

"Dah dia tanya."

"Sibuk saja nak ambil tahu hal aku."

"Macam suka kau saja," usik Adibah.

"Huh! Tak ada maknanya nak suka aku."

"Manalah tahu, cinta pandang pertama." Adibah ketawa lagi. Suka pula dia menyakat aku.

"Kalau jatuh cinta bukan macam tu caranya."

"Siapalah yang tak jatuh cinta dengan gadis macam kau kan. Seksi gila!"

"Wei... Agak-agaklah!"

"Yalah, body sedap mata memandang. Pakej lengkap."

"Dah, dah. Aku nak balik. Menyesal pula aku datang jumpa kau." Aku ambil keputusan untuk pulang ke rumah saja. Dari mendengar Adibah merepek yang bukan-bukan.

"Minggu depan dia datang lagi tau."

"Datang lagi?"

"Dia cakap dia ada beli tanah kat sini. Tak tau nak buat projek apa."

"Itu pun kau tanya?" Sibuk betul Si Adibah ni. Hari tu marah bukan main. Ini lain pula. Cepatnya manusia berubah hati.

"Aku tak tanya, lelaki tu yang beritahu aku. Rasanya macam nak suruh aku bagi tau kau saja." Adibah meneka. Kemudian dia senyum-senyum. Serupa mahu kenakan aku saja.

"Aku minggu ni banyak kali kena hantar bunga. Jumaat aku turun KL lagi. Hantar bunga untuk majlis perkahwinan."

"Orang KL tak ada ke?" Dari senyum-senyum muka Adibah bertukar muram.

"Orang KL ada masalah peribadi. Jadi, aku kena turun selalu."

"Mengada-ada betullah. Suruh ajelah Kak Yan buang kalau dah selalu sangat bagi masalah kat orang."

Aku tak jawab sebab aku nak balik rumah. Lagipun aku tak ada hak untuk buat macam tu. Sebelum tu aku hantar van terlebih dahulu ke kebun.

Masa aku jalan kaki nak balik rumah, telefon bimbit aku berbunyi. Hafiz telefon aku? Apa pula yang dia nak? Nak bagi tau mak lang dah tak ada ke? Janganlah. Penat bawa van belum hilang lagi. Tadi keadaan mak lang baik saja.

Tapi kalau ada apa-apa berlaku pada mak lang, aku rasa pak ngah yang akan telefon aku terlebih dahulu. Hafiz takkan telefon. Ini apa kes Hafiz yang telefon?

"Apa hal?" soalku pada Hafiz sebaik sahaja jawab panggilannya.

"Mak aku nak cakap dengan kau," kata Hafiz. Maknanya mak lang masih ada. Dan kalau boleh bercakap tu maknanya mak lang memang benar-benar sudah sihat.

"Ni mak lang nak cakap sikit," kata mak lang selepas itu. Suara mak lang kedengaran seperti orang tidak sakit saja. Garang seperti selalu.

Adakah masalah yang mak lang hadapi tidak sedikit pun menginsafkan mak lang? Bukankah sakit itu penghapus dosa kecil dan satu peringatan dari Tuhan?

Bilalah mak saudara aku seorang ini mahu insaf?

"Ya..." balasku. Aku sedang mendengar apa yang mak lang hendak beritahu aku.

"Mak lang nak kamu gantikan tempat tunang Hafiz. Majlis kahwin tu kena langsungkan juga. Itu saja caranya untuk tutup aib mak lang."

Terhenti langkah kakiku. Nampaknya apa yang aku ramalkan bakal berlaku juga.

"Mak lang dah buat semua persediaan. Sudah jemput ramai tetamu. Kalau majlis tu tak jadi, mana mak lang nak letak muka? Nak tak nak, majlis tu kena langsungkan juga." Mak lang mendesak. Seolah-olah aku ini anak patung. Masa suka ambil, masa tak suka campak macam tu saja.

"Maaflah, mak lang. Saya tak dapat nak tolong. Saya bukan anak patung, sesuka hati buat saya macam tu. Kali ni saya tak dapat nak setuju dengan permintaan mak lang. Dulu saya terima Hafiz sebab arwah nenek, tapi sekarang nenek dah tak ada. Jadi, tak ada sebab kenapa saya nak setuju dengan permintaan mak lang. Bodohlah saya kalau saya setuju." Aku jawab dengan penuh keyakinan. Selepas ni nak jadi apa, jadilah. Aku memang sudah tidak peduli lagi.

"Kamu mesti terima Hafiz juga. Itu saja cara nak selamatkan maruah mak lang."

Sedapnya mak lang bercakap. Dia nak lepaskan diri dia dan biarkan aku pula yang tersepit. Jangan harap.

"Saya tetap tidak berganjak dengan keputusan saya. Mak lang nak cakap apa sekalipun, keputusan saya muktamad. Mak lang carilah orang lain."

"Kamu ni memang anak saudara jenis tak mengenang budi." Mak lang mula memarahi aku.

"Mak lang, kawal perasaan mak lang. Mak lang baru saja sedar. Saya takut mak lang tak sedar diri semula." Aku hanya nasihatkan saja. Kalau jadi apa-apa pada mak lang, aku tak mahu namaku dikaitkan sama.

Satu lagi, budi apa yang mak lang taburkan kepadaku? Seingat aku, pak ngah yang banyak membantu aku selepas ayah meninggal. Mak lang tak bantu apa-apa. Senang-senang saja tuduh aku tak kenang budi. Budi apa yang hendak aku kenang?

Mak lang matikan telefon macam tu saja. Aci lawan apa pun, kejap lagi mesti mak ngah pula yang akan serang aku. Mak ngah akan sebut perkara yang sama. Jadi aku kenalah siap sedia.

Belum apa-apa, telefon berbunyi semula. Bukan mak ngah, tapi Hafiz. Aku jawab juga sebab aku sudah bersedia.

"Apa lagi ni?" soalku kasar.

"Eh, perempuan tak guna..."

"Aku ke tak guna, kau yang tak guna?" Aku juga soal Hafiz.

"Berani kau tolak permintaan mak aku. Kau ingat kau siapa nak bantah keputusan mak aku?"

Kalau dekat memang aku bagi penampar saja mulut Hafiz tu.

"Cakap tu pakai otaklah sikit. Simpan sikit bodoh kau tu. Jangan nak tunjuk semua. Aku ada hak nak tolak sebab aku pun tak nak bersuamikan jantan bodoh macam kau!" Ambil kau, Hafiz. Siapa suruh cari pasal dengan aku? Selama ini aku diamkan saja sebab aku malas nak melawan. Tapi sekarang, kau jangan harap aku diamkan saja.

"Mulut kau jangan kurang ajar sangat. Aku jumpa kau, siaplah!"

"Ingat aku takut sangat ke dengan kau? Aku dah cakap dulu kan, kau tu jenis lelaki yang tak layak buat suami. Mungkin bakal isteri kau tu dah nampak apa yang tak kena pada diri kau. Takkan dia nak tanggung biawak hidup? Dah dapat lelaki yang lebih bagus daripada kau takkan dia nak lepaskan macam tu saja." Bukan mahu sakitkan hati Hafiz, tetapi aku cakap yang betul. Gadis mana pun kalau sudah tahu siapa Hafiz yang sebenarnya pasti akan buat keputusan yang sama.

"Tak payahlah nak sakitkan hati sangat. Perempuan tu yang bodoh. Tak sedar diri."

"Yalah, orang saja yang bodoh. Kau bodoh tak sedar pula? Kalau beginilah perangai kau, aku percaya tak seorang perempuan pun yang akan suka dengan kau. Tak payahlah kau nak salahkan orang lain. Salahkan diri kau tu terlebih dahulu."

Hafiz matikan panggilan macam tu saja. Bermakna Hafiz benar-benar marah. Tapi peduli apa aku? Dia nak marah ke, dia nak apa ke, itu dia punya pasal. Nama nak jadi kambing hitam, tidak sama sekali. Pandai-pandailah mereka selesaikan masalah mereka. 

Cik Sederhana Dan Encik SegakWhere stories live. Discover now