PAGI yang cerah. Pagi yang indah. Beberapa hari ni cuaca sangat baik. Hujan sesekali sahaja. Lepas sarapan, aku siap-siap nak pergi kebun bunga. Elok aku buka pintu, sudah tercegat Encik Ziyad sambil pandang tepat ke arahku. Menipulah kalau aku tak terkejut. Memang masa sarapan tadi aku ada terfikirkan tentang dia tapi tak sangka pula dia berdiri di hadapan rumah pagi-pagi macam ni.
Aku nak sangat tahu apa kerja dia sampai dia boleh sesuka hati saja datang sini. Atas urusan apa dia datang?
"Selamat pagi," ucapnya perlahan. Muka nampak macam orang senang hati saja.
"Selamat pagi," balasku dan aku terus pakai kasut ala-ala Phua Chu Kang, tapi warna hitam.
"Awak nak pergi kerja ke?" soalnya.
"Encik ni dah kenapa tanya saya soalan macam tu? Saya nak pergi kerjalah. Takkan nak pergi shopping pula?"
"Boleh tak kalau..."
"Kalau apa?" soalku laju. Nak ikut aku pergi tengok calla lily?
"Boleh tak kalau awak cuti kerja? Temankan saya hari ni?"
Amboi, sedapnya bercakap. Ingat aku tak ada kerja nak buat? Boleh lagi dia ajak aku temankan dia.
"Mana boleh. Kerja saya pun banyak nak buat." Kalau kerja tak banyak pun tak nak aku temankan dia. Buat bergaduh saja.
"Saya dah nak balik lepas uruskan kerja saya. Jadi rasa macam tak ada masa nak jumpa awak."
Nak saja aku tanya, perlu ke dia jumpa aku? Tapi tak manis pula kalau aku tanya begitu. Sudahnya aku balas dengan angguk sahaja. Tanda aku faham.
"Kalau macam tu, boleh tak kita sarapan bersama?" Dia seperti takut-takut mahu suarakan hasratnya.
"Saya dah sarapan tadi. Lagipun sekarang ni saya kena pergi kebun. Banyak kerja saya nak buat." Aku tolak dengan baik.
"Tak apalah. Lain kalilah kita sarapan bersama." Nada seperti kecewa. Kesian pula aku tengok.
"Lain kali, ya..." Terpaksalah aku pujuk. Aku nampak dia senyum tawar. Benar-benar kecewa.
"Tak apalah."
Siap pakai kasut, aku dah sedia nak ke kebun.
"Sebelum tu..." Dia pandang aku semula.
"Ya?" soalku.
"Awak memang betul-betul tak ingat saya ke?" soalnya.
Aku kerut dahi. Macam paksa suruh aku ingat dia saja.
"Memang tak ingat. Kenapa? Kita pernah jumpa ke?" Aku pula menyoal. Cuba juga ingat kalau-kalau aku ada jumpa dia.
"Ya, kita pernah jumpa. Cuba awak ingat semula."
Kan dah cakap. Memang dia paksa aku ingat dia.
"Serius tak ingat."
"Awak ingat tak, awak pernah pinjamkan duit pada seorang lelaki di perhentian bas?"
Kejap. Aku nak ingat balik. Pinjamkan duit pada lelaki di perhentian bas. Hah! Baru aku ingat. Pada hari kematian nenek.
"Encik ke?" soalku. Terkejut amat. Terus aku pegang dahi.
"Yalah, sayalah lelaki tu. Sampai hati awak tak ingat saya. Saya ingat awak siang dan malam. Sebab nak jumpa awak, saya selalu pergi perhentian bas tempat kali pertama kita jumpa. Tapi tak pernah langsung jumpa awak."
Memanglah tak jumpa sebab aku pun selepas tu tak pernah pergi perhentian bas tu. Aku dah balik Cameron Highlands.
"Serius, saya memang tak ingat encik langsung." Padanlah seperti ada tak kena saja dengan lelaki ni. Rupanya dia pernah kenal aku. Tapi cara dia tu yang tak betul. Kalau dari mula lagi dia berterus terang, aku rasa kami akan menjadi kawan baik.
YOU ARE READING
Cik Sederhana Dan Encik Segak
RomanceBACAAN BAB AWAL SAHAJA Tajuk: Cik Sederhana & Encik Segak Penulis: Airisz Muka Surat : 496 Penerbit: Penulisan2u Terbitan : November ISBN: 978-967-0992-44-0 Harga: RM21.00(Semenanjung) // RM24.00 (Sabah/Sarawak)