Bab 11

8.6K 211 2
                                    

AKU pergi semula ke homestay sebab Adibah nak suruh aku rasa kek yang dia masak. Maklum, sejak asyik kena kompelin, Adibah mula hilang keyakinan nak masak kek. Kesian dia. Walhal kek yang Adibah masak sedap-sedap semuanya. Orang tak ada cita rasa saja cakap kek Adibah tak sedap.

Baru nak suap kek dengan rasa nikmat dan bahagia di kafeteria, kelam-kabut Kak Ema datang. Aku memang tak boleh tengok Kak Ema ni. Rasa geram saja. Dia punya kepala mengalahkan Kak Yan. Kak Yan pun tak macam dia. Bajet bos betul. Semua orang di homestay kena ikut arahan dia.

"Eh, apa pasal kau ni suka sangat buat masalah? Buat kerja macam tu pun tak boleh? Cakap bukan main pandai!" Kak Ema mula tinggikan suara. Aku dah agak. Kak Ema mesti bising pasal kes kehilangan T-shirt lelaki tu. Tapi aku buat tak dengar. Terus minum.

"Aku bercakap dengan kau sekarang ni. Yang buat tak dengar tu kenapa?!" jerkah Kak Ema. Marah gamaknya sebab aku buat dia serupa bercakap dengan kerusi saja.

"Macam ni ajelah. Apa kata, Kak Ema yang ambil alih tugas saya jaga guest tu. Saya akan masuk kebun esok. Saya dah call Kak Yan, Kak Yan setuju dengan cadangan saya. Jadi, lepas ni Kak Ema yang uruskan dia." Senada saja tutur bicaraku. Tak ada langsung tanda-tanda mahu melawan. Tapi aku rasa, aku cakap macam tu pun sudah cukup buat Kak Ema berapi satu badan.

"Apa pula aku..." Aku nampak muka cuak Kak Ema. Padan muka. Tahu pun takut.

"Kalau akak nak tau lebih lanjut, sila telefon Kak Yan. Saya dah buat apa yang sepatutnya. Lebih-lebih memang saya tak tahu." Dengan aku jangan banyak cakap. Aku tak simbah muka tu dengan air sudah cukup baik. Ingat aku takut ke dengan Kak Ema? Silap banyaklah kalau aku nak takut.

"Kau ni kan memang menyusahkan orang. Kaki bodek!"

"Memang pun..." Aku mengaku saja. Lagi senang. Kalau orang tuduh aku kaki bodek, aku iakan saja. Kalau orang cakap aku anak emas Kak Yan, aku akan buktikan aku betul-betul anak emas Kak Yan. Jadi, janganlah main-main bab ni. Mesti ada yang makan hati dengan aku.

Kak Ema terus tinggalkan aku. Aku tahu dia memang tak puas hati dengan aku, tapi peduli apa aku. Aku tak takut dengan dia.

"Apa hal Kak Ema tu?" Adibah datang menghampiriku sambil bawa muk. Aroma teh strawberry singgah hujung hidung. Sangat menyegarkan.

"Apa lagi, cari pasal la. Kalau tak cari pasal, dia nak cari apa lagi? Macam tak kenal dengan perempuan tu."

"Kali ni apa kes?"

"Dia marah-marah aku pasal guest bajet bagus tu la."

"Hurm..." Adibah hirup air dia.

"Habis, kes T-shirt mamat tu macam mana?"

"Tengoklah macam mana."

"Jadi ke kau nak balik Sierra Leone?"

"Eh, mestilah jadi..." Aku ketawa. Adibah pun ketawa selepas itu. Bila aku angkat muka, terus aku terpandang lelaki bajet bagus seperti sedang menghala ke kafeteria.

"Habis aku macam ni. Baik aku blah dulu..." Aku bisik pada Adibah. Adibah terus toleh belakang.

"Fuh! Handsome gila," kata Adibah.

"Handsome la sangat!" Aku mencebik. Entah di mana datang handsomenya, aku pun tak tahu. Hilang ingatan gamaknya kawan baik aku ni. Boleh lagi sebut handsome gila. Kalau setakat segak tu boleh tahan lagi.

Aku atur langkah dengan laju tinggalkan kafeteria. Kalau boleh tak mahu bersemuka dengan lelaki handsome gila tu. Tak pasal nanti aku yang gila.

"Rissa!" Kak Ema jerit panggil aku. Apa lagi minah sorang ni? Ada saja yang tidak kena. Aku baru nak main acara lari-lari, dia sudah panggil.

"Guest VVIP tu mintak kau sediakan minuman petang dia," arah Kak Ema.

Aku geleng. "Saya dah letak jawatan. Mulai sekarang, semua hal dia, Kak Ema yang kena uruskan. Saya lepas tangan..."

"Kau jangan nak mengada."

"Baru tadi Kak Ema cakap saya tak pandai buat kerja. Sekarang ni Kak Ema buatlah semua sebabnya Kak Ema kan pandai dalam semua hal!"

"Kau jangan fikir kau pekerja kesayangan Kak Yan, kau boleh buat sesuka hati!"

"Tak dengar, tak dengar." Aku terus tinggalkan Kak Ema. Tak ada masa aku nak layan dia. Nasib dialah.

AKU kemas kain baju. Selama lelaki tu ada di sini, aku tak boleh balik rumah. Mesti nanti dia dapat cari aku. Jadi, aku nak menumpang di rumah Hawa. Hanya itu saja caranya. Harap-harap tak lamalah dia di sini. Kalau lama memang masak aku dibuatnya.

"Serius ke masalah kau tu?" Hawa tanya ketika aku sampai di rumahnya. Masa tu dah remang-remang senja. Hawa serupa tak percaya pun ada. Yalah, selalu sangat bawa masalah bukan-bukan, mana kawan tu nak percaya.

"Kalau dah sampai nak menyaman, memang seriuslah." Seram sejuk bila ingat balik. Aku mana boleh dengar perkataan saman.

"Kenapa? Dia tak puas hati pasal servis ke?"

"Tak, dia tuduh aku curi T-shirt dia."

"Pasal T-shirt sampai nak menyaman bagai. Apa pasal, T-shirt dia tu benang emas ke? Sakit pula hati aku bila dengar." Hawa tumpang merungut.

"Kau ni Rissa, macam-macam masalah. Kesian mak cik tengok." Mak Cik Halimaton turut sama bercakap. Mak Cik Halimaton ni sebenarnya aku dah anggap macam mak aku sendiri. Aku pernah kenenkan dengan arwah ayah, sebulan Hawa tak tegur aku. Rupanya jangan nak memandai kenenkan mak dia dengan mana-mana duda. Ayah Hawa pun sudah lama meninggal. Tak silap aku masa dia darjah satu lagi. Hawa empat beradik. Dua abang dan seorang kakak. Kakak dan seorang abang dia dah kahwin. Tinggal seorang yang kerja askar tu. Yang itulah Hawa nak kenenkan aku, tapi aku tolak dengan alasan aku tak nak beradik iparkan Hawa yang garang macam singa. Aku cakap lagi, kalau aku jadi kakak ipar dia, pasti hubungan kami tak akan seakrab ini. Aku tak mahu hilang sahabat semata-mata bertukar status. Jadi kes kenen-mengenenkan senyap macam tu saja.

"Habis tu dengan tidur rumah aku ni, boleh membantu ke?" Hawa tanya semula. Memang aku rasa serupa tak membantu apa-apa pun walau aku tumpang tidur rumah sesiapa. Kalau orang tu nak saman, dia saman saja.

"Boleh kut asal dia tak jumpa aku. Aku rasa dia macam nak cari pasal dengan aku saja." Itu yang aku rasa sejak kebelakangan ini. Ada saja yang tidak kena.

"Macam-macam manusia ni..." Mak Cik Halimaton kedengarannya tumpang bersimpati. Dia beredar tinggalkan kami selepas itu. Mungkin tak mahu masuk campur hal orang muda.

"Entah-entah lelaki tu syok kat kau tak?"

Hawa ni karang mahu kena juga dengan aku. Aku sudahlah susah hati, dia boleh cakap macam tu.

"Kirim salam nak syok kat aku. Kalau syok bukan macam tu caranya."

"Mungkin tu cara dia syok kat kau. Eh, pokok takkan bergoyang kalau tak ada angin." Hawa ketawa-ketawa. Rasa menyesal pula aku datang rumah Hawa ni. Tak membantu langsung.

"Ah! Jangan merepeklah. Tak ada maknanya dia nak minat kat aku."

"Tak percaya sudah. Kau tengoklah nanti. Firasat aku selalunya betul."

Ah! Malas nak layan.

"Orangnya macam mana? Naklah kenal lelaki yang berkenan kat kau tu." Hawa tolak bahuku.

"Biasa saja. Nampak macam segaklah juga orangnya."

Eh, macam mana aku boleh terpuji orang tu?

"Wah, menarik ni. Kau tunjuklah aku orangnya."

"Gila. Aku pun nak menyorok dari dia, takkan nak tunjuk muka pula?"

"Kau tunjuk dari jauh saja. Tak payah depan-depan."

"Tak nak aku. Tak nak cari pasal."

"Eleh, lambat laun nanti aku kenal juga. Kau tengoklah nanti. Orang kata, kalau jodoh tu pasti tak ke mana."

Ah! Merepek pula Si Hawa ni. 

Cik Sederhana Dan Encik SegakWhere stories live. Discover now