Subhan mengangkat tangan mahu merenggangkan segala otot badannya yang terasa sengal akibat duduk terlalu lama. Tapi pergerakkannya terbatas kerana beban yang berada di bahunya. Lupa pula yang kepala Hanna masih setia di bahunya itu.
Tidak semena-mena Subhan tersenyum sendiri. Polos benar wajah Hanna ketika gadis itu sedang tidur. Perlahan-lahan, tangannya naik dan mengoyangkan bahu Hanna untuk mengejutkan gadis yang sedang dibuai mimpi itu.
"Hanna, bangun."
Cubaan pertama kalinya nyata gagal. Hanna masih tiada tanda-tanda mahu bangun.
"Hanna, bangun! Dah sampai ni." Subhan mencuba sekali lagi. Kali ini lebih kuat sedikit suaranya.
Terasa seperti bahunya digoyang-goyang, Hanna perlahan-lahan membuka matanya. Laju jarinya naik dan memisat-misatkan mata yang terasa pedih apabila cahaya menerobos masuk ke dalam penglihatannya. Sebaik sahaja matanya terbuka, dia lihat muka Subhan begitu hampir dengan mukanya. Dia dapat merasa deru nafas Subhan menerpa lembut ke wajahnya.
Terlopong luas mulut Hanna dengan keadaan itu, jantungnya berdegup kencang. Secara spontan tubuh Subhan ditolaknya kuat dan laju dia angkat kepalanya menjauhi bahu lelaki itu. Memerah mukanya akibat malu dengan kejadian itu.
"Errr, kita dah sampai ni. Jom lah turun." Subhan bersuara perlahan dan terus bangun dari tempat duduknya tanpa menunggu Hanna.
Sebetulnya Subhan juga terasa malu dan kekok dengan keadaan mereka sebentar tadi. Dia langsung tidak perasan yang mukanya begitu hampir dengan Hanna. Dia hanya tersedar apabila terasa Hanna menolak tubuhnya. Dia sebenarnya terpaku dengan wajah Hanna yang polos dan begitu dekat dengannya. Jantungnya juga berdegup kencang tanpa amaran.
Hanna bangun setelah kelibat Subhan sudah hilang dari pandangan matanya. Dia masih malu dengan kejadian sebentar tadi, tidak sanggup matanya memandang Subhan di hadapannya itu.
Setelah turun daripada bas, Hanna pergi ke bahagian menyimpan beg di tengah bas untuk mengambil begnya. Kepalanya menjengah ke sekeliling untuk mencari kelibat Subhan.
Mana lelaki yang bajet gentleman sangat tadi? Kalau bagus sangat mesti dia tolong juga aku keluarkan beg ni kan? Hanna sudah mengomel sendiri di dalam hati.
"Biadab punya mamat, boleh dia tinggalkan aku dekat sini. Tadi depan family bukan main lagi dia berlagak gentle." Hanna menggumam sendiri apabila matanya menangkap kelibat Subhan sudah selamat sedang berdiri di tangga bergerak untuk naik ke tingkat atas. Tahu dah! Dia ni memang bajet aje tadi!
Dengan perasaan mendongkol, Hanna cepat-cepat keluarkan beg berodanya. Terkial-kial juga dia dibuatnya untuk mengeluarkan beg berodanya yang tidak kurang juga beratnya itu.Walaupun berat dan sukar diangkat tetapi Hanna tetap mengagahkan diri untuk melajukan pergerakkannya. Di belakangnya ramai lagi orang yang ingin turut mengeluarkan beg mereka. Kalut sahaja tingkahnya.
Hanna menarik nafas dalam-dalam apabila dia sudah selamat berdiri di atas tangga bergerak, lega. Nasib baik sekarang perhentian terakhir bagi semua bas adalah di Terminal Bersepadu Selatan dan bukan lagi di Puduraya. Sekurang-kurangnya di TBS ini segala-galanya mudah dan selesa. Kalau masih di Puduraya, makanya hanya mampu bertabah hati sahaja untuk mengangkat bebanan beg yang berat-berat begitu semasa memanjat tangga.
Setelah sampai di tingkat atas, Hanna lantas mencari telefon bimbitnya. Dia ingin bertanyakan rakannya si Qalef itu. Awal-awal lagi Qalef sudah berjanji untuk mengambil dia di sini dan tadi sebelum tertidur, dia memang sudah memaklumkan pada Qalef sekali lagi. Kalau ikutkan, rasanya mesti Qalef sudah sampai.
Hanna ligat berbalas mesej Whatsapp dengan Qalef. Sambil dia berjalan, langsung dia tidak pandang sekeliling. Tanpa dia sedar, rupanya langkahnya dari tadi sedang diperhatikan seseorang. Tiba-tiba sahaja tanpa amaran lengannya ditarik, membantutkan terus langkahnya.
YOU ARE READING
Cairkan Hati Beku Dia (Versi Cetak)
RomanceVersi ni adalah versi yang telah diedit dan yang akan dicetak nanti akan guna version yang ni ya. Yang lama punya saya tak akan padam cuma akan unpublish yang mana patut sahaja, so korang still boleh baca dua-dua version Thanks for reading! Love ch...