Sungguh, Hanna tertekan dengan peperiksaan akhir yang bakal menjelang pada minggu hadapan. Minggu ini adalah minggu belajar buat semua pelajar sebelum menempuhi peperiksaan akhir nanti.
Hidupnya seminggu ini sudah tidak ada gaya manusia langsung, sudah macam zombi sahaja. Bangun, belajar, tidur. Tidur, bangun, belajar. Buku-buku dan nota-nota pelajarannya memang sudah menjadi kekasih awal dan akhirnya. Bukan sahaja di atas meja belajarnya berselerak dengan nota-nota, di atas katil pun bersepah-sepah.
Dia tiada pilihan, dia harus berjuang sehabis mungkin. Dia mahu namanya masuk dalam dean list lagi semester ini, tidak mahu kecundang dan sekaligus menjatuhkan CGPAnya. Mahunya telinganya bernanah dibebel oleh mamanya jika dia tidak mendapat keputusan yang membanggakan.
"Arghhh, mengantuknya!" Hanna sudah mula menguap entah untuk kali ke berapa. Pen di tangannya dilepaskan, mukanya disembamkan di atas nota-nota yang berselerakan di atas meja belajarnya. Lelah betul dia hari ini, tepu dirasakan otaknya saat ini kerana disumbat dengan pelbagai jenis ilmu.
"Oh my goodness! This subject is freaking killing me!" Keluh Hanna perlahan.
Jujur dia katakan, subjek Hubungan Etnik sememangnya bukan subjek kegemarannya. Setiap kali membuka nota untuk subjek ini, baru baca lima minit matanya sudah kuyu, mengantuk! Subjek ini memang menguji mental dan fizikalnya, dia memerlukan kesabaran yang tinggi untuk menelaah subjek ini.
"Hanna..." Sarah memanggil Hanna yang sedang terlentok elok di atas meja belajarnya.
Sekali panggil, Hanna tidak memberikan sebarang respon. Berkerut dahi Sarah, baru lentok tak kan sudah tidur?
"Hanna, ooo Hanna!" Kali ini lebih kuat sedikit suara Sarah memanggil.
Terdengar suara Sarah menerpa halwa telinganya, Hanna lantas memanggung kepalanya dan berpusing ke arah teman biliknya itu. Matanya masih kuyu dek mengantuk.
"Kenapa kak?" Lemah sahaja suara Hanna.
"Aik, baru bukak buku dah tidur ke Hanna?" Sarah sudah ketawa.
Dalam beberapa hari ini begitulah keadaan Hanna. Jika yang dibukanya itu adalah buku Hubungan Etnik, pasti dia akan cepat sahaja terlentok di mejanya. Jika dia berada di atas katil, lagilah parah. Pelbagai gaya tidur akan dihidangkan kepada Sarah, geli hatinya melihat Hanna begitu. Hebat sungguh penangan buku Hubungan Etnik itu.
"Mengantuk lah kak. Hanna pun tak tahu lah kenapa, bila bukak aje buku tu mata ni automatik memberat aje." Hanna pantas bangun dan bergerak ke arah katilnya. Dia ingin berbaring sebentar, jika diteruskan membaca pasti tidak ada satu pun yang masuk ke dalam otaknya.
Sarah hanya mampu ketawa sahaja dengan keletah Hanna. Dia faham. Subjek seperti Hubungan Etnik, Kenegaraan dan TITAS memang seperti ubat tidur kepada mana-mana pelajar. Tidak kira lah lelaki mahupun perempuan, semuanya tidak dapat menahan rasa kantuk apabila membaca salah satu subjek ini. Memang jarang lah dia jumpa ada pelajar yang minat dengan subjek-subjek begini.
"Hmmm, akak nak tanya ni. Nanti Hanna turun kafe tak?"
"Turun kut, tapi petang-petang sikit lah. Kenapa? Akak nak pesan ke?" Hanna tetap memberikan jawapan walaupun matanya sudah terpejam.
"Ha'ah. Boleh?"
"Hmmm. Boleh. Kejap lagi akak pesan lain."
Selepas itu, Hanna terus terlelap. Tidak perlu lama, dia sudah tidur dengan agak nyenyak. Dia benar-benar letih. Namun begitu, baru lima belas minit Hanna melelapkan matanya, dia dikejutkan pula dengan telefon bimbitnya yang berdering nyaring. Masam sahaja mukanya apabila lenanya diganggu. Dia memang paling pantang jika ada yang mengganggu tidurnya.
YOU ARE READING
Cairkan Hati Beku Dia (Versi Cetak)
RomanceVersi ni adalah versi yang telah diedit dan yang akan dicetak nanti akan guna version yang ni ya. Yang lama punya saya tak akan padam cuma akan unpublish yang mana patut sahaja, so korang still boleh baca dua-dua version Thanks for reading! Love ch...