Melihat kelibat Hanna yang semakin mendekat, laju sahaja Arissa melangkah ke arah kakaknya itu. Masam sahaja riak wajahnya kerana sudah terlalu lama dia berdiri di sini menanti kehadiran kakaknya itu."Kakak, kenapa lambat sangat ni?" Hampir terjerit Arissa. Kaki sudah naik lenguh menunggu.
Hanna tidak menjawab pertanyaan adiknya itu, hatinya masih mendongkol geram kerana dipermainkan oleh Subhan tadi. Dia hanya berdiam diri sambil menayangkan muka marahnya sahaja.
"Dah ni, kenapa diam aje? Muka masam pula tu. Abang Han mana?" Terjengah-jengah kepala Arissa dan Shirin mencari kelibat Subhan. Satu minit kemudian barulah Subhan muncul dari arah eskalator.
Memandangkan Hanna dalam keadaan marah, Arissa mengalih tumpuannya kepada Subhan pula. Dia tahu Hanna memang tidak akan melayannya jika tengah marah, buang masa sahaja jika dia terus menyoal kakaknya itu. Pasti tidak akan dapat jawapan pun.
"Abang pergi mana dengan kakak? Lama semacam?"
"Errr, tadi abang tengok barang kejap dekat bawah." Lancar sahaja Subhan berbohong. Iyalah, tidak mungkin lah dia mahu bercerita perkara sebenar. Nanti bertambah marak pula api kemarahan Hanna.
Seraya itu dia menoleh ke arah Hanna di sebelahnya, mukanya masih masam dan tidak langsung memandangnya. Nampaknya Hanna masih marah agaknya.
"Ingatkan korang pergi dating tadi." Sengaja Arissa mahu mengenakan mereka berdua. Dia dan Shirin terkekeh-kekeh ketawa, suka mereka mengkenen-kenenkan abang dan kakak mereka.
Ucapan yang lahir daripada mulut Arissa itu bagaikan menyimbah lagi minyak ke api yang sedang marak. Makin berasap Hanna dibuatnya. Tanpa mempedulikan mereka di situ, Hanna terus berjalan ke arah kaunter untuk membuat tempahan bilik. Rasanya tekaknya ini sudah tidak sabar mahu melontarkan vokalnya untuk melepaskan rasa geram yang berbuku di dada.
"Eh, Rissa. Kak Andrea tu okay ke tak? Nampak macam marah aje?" Risau Shirin melihat muka ketat yang ditayangkan oleh Hanna itu.
"Entah lah, tadi sampai-sampai dah macam tu. Nak tahu tanya Abang Han ni. Tadi kan dia dengan Abang Han." Arissa mengalih semua kesalahan di atas bahu Subhan.
Subhan yang sememangnya tidak memberikan tumpuan kepada dua gadis muda di hadapannya itu tercengang-cengang apabila namanya dibangkitkan oleh Arissa.
"Hah? Apa dia?"
"Abang ni kenapa? Mengelamun apa entah." Shirin memarahi abangnya.
Subhan tidak memberi respon dengan kemarahan adiknya itu, malas nak layan. Sebentar tadi matanya tidak lepas daripada memandang Hanna, macam mana dia nak fokus dengan apa yang dibualkan oleh dua orang gadis itu?
"Korang tanya apa tadi?"
"Kak Andrea tu kenapa?" Malas sahaja bunyi nada Shireen.
"Errr, entah. Abang mana tahu." Subhan mana mahu bercerita tentang perkara tadi. Nanti habis kecoh dibuat mereka, dia bukannya tidak tahu sikap kepoh adiknya dan adik Hanna itu.
"Lah, tadi bukan dia jalan dengan abang?"
"Iyalah, tapi mana abang nak tahu kenapa dia tiba-tiba moody aje? Orang perempuan, biasalah kalau mood swing. Period kut?" Pandai-pandai sahaja Subhan menjawab begitu, macam dia pula orang perempuan.
'Suka hati aje aku cakap macam tu. Kalau dengar dek Hanna tu mahunya dia mengamuk.'
Hanna yang masih berurusan di kaunter dijelingnya sekilas. Tiada tanda-tanda Hanna dengar apa yang mereka bualkan, selamat!
YOU ARE READING
Cairkan Hati Beku Dia (Versi Cetak)
RomanceVersi ni adalah versi yang telah diedit dan yang akan dicetak nanti akan guna version yang ni ya. Yang lama punya saya tak akan padam cuma akan unpublish yang mana patut sahaja, so korang still boleh baca dua-dua version Thanks for reading! Love ch...