Masuk sahaja ke dalam rumah separa papan, separa batu itu, Syazrina meliar mencari kelibat ayah. Mana agaknya ayah? Kasut ada, tapi tuannya tiada. Dia mendekati emak yang baru keluar dari bilik air.
"Mak, ayah mana?" Terus dia menyoal.
"Kat dalam tandas," balas maknya, Mak Cik Syihah.
Syazrina membulat bibir. "Bila ayah balik?"
"Pagi tadi." Mak Cik Syihah berjalan menuju ke bilik tidur yang terletak di sebelah dapur, bertenTang dengan bilik air.
Syazrina membuntuti langkah maknya. "Ayah balik naik apa? Siapa hantar? Lepas ni pergi lagi tak?"
"Esh. Banyak tanyalah along ni. Ayah keluar nanti tanya ayah. Mak nak pakai baju ni. Keluar." Tubuh Syazrina ditolak keluar dari bilik lalu pintu ditutup rapat.
"Studi ke?" sapa Pak Cik Ibrahim saat melihat anak gadisnya sedang berteleku di atas meja belajar.
Syazrina berpaling wajah melihat ayahnya. Satu senyuman terukir di bibir. "Belum studi. Lambat lagi nak exam. Buat kerja sekolah."
Bahu anak gadisnya itu terus ditepuk-tepuk.
"Belajar rajin-rajin. Jangan jadi macam ayah. Belajar malas. Sekarang kerja tak tentu. Tak boleh nak senangkan keluarga kita." Nada suara ayahnya kendur, penuh dengan kesalan yang memberat.
"Yalah. Ayah jangan risau. Along janji along belajar rajin-rajin. Nanti, ayah dengan mak tak payah susah-susah lagi," ikrar Syazrina bersama senyuman yang tak putus.
"Ayah dengan mak nak along berjaya. Biar along senang. Mak dengan ayah tak apa macam mana pun," tukas Pak Cik Ibrahim.
"Apa ayah cakap macam tu? Kalau along senang mestilah ayah pun senang. Mestilah mak pun senang," sangkal Syazrina sambil memuncung bibir. Tanda dia sentap dengan pernyataan ayahnya.
Pak Cik Ibrahim tersengih menampakkan gigi yang sudah beberapa batang rompong dek faktor usia yang makin melanjut. Sambil-sambil dia menyambar jaket hijau tua yang tersangkut di paku dinding belakang meja belajar Syazrina lalu disarungkan ke tubuh kurus keringnya.
"Nak pergi mana, ayah?" Kepala Syazrina tertoleh mengikuti langkah Pak Cik Ibrahim.
"Nak keluar jumpa kawan ayah," jawab orang tua itu sambil langkah kakinya diatur meninggalkan Syazrina keseorangan.
Berpeluh-peluh kebasahan baju sekolah Syazrina dan Nora kerana terpaksa berjalan kaki ke pekan yang jauhnya dua kilometer hari ini. Semuanya disebabkan kelas tuisyen subjek kimia.
Syazrina terlepas bas Pak Mie. Dah terlepas, terpaksalah dia ke stesen bas di pekan untuk naik bas MARA. Bas Pak Mie memang taklah akan menunggu dia hingga ke petang. Aduhai. Penat, penat, bebelnya dalam hati.
"Wei, kita singgah CC tu dulu," ajak Nora tiba-tiba.
Langkahnya dihentikan betul-betul menghadap bangunan bercat biru yang lebih kurang 50 meter dari tempat mereka berdiri.
Syazrina mengalih pandang, memberi fokus ke arah bangunan yang dikatakan. Belum sempat dia memberikan sebarang respons pada ajakan Nora, sahabatnya itu terlebih dahulu menyeretnya ke bangunan tersebut.
"Wei, nak buat apa pergi cyber cafe tu?" soal Syazrina tak faham motif Nora.
Soalan Syazrina tidak diendahkan Nora. Sebaliknya, dia terus menyeret Syazrina ke arah pintu CS Cyber Cafe. Hendak ataupun tidak, Syazrina mengikut langkah Nora.
"Cepat buka kasut. Jom masuk." Nora terus menolak daun pintu selepas kasut sekolahnya disusun di atas rak kasut.
Tak mahu bertelagah apa-apa, Syazrina menurut sahaja.
YOU ARE READING
Isteri Mr. Troublemaker
RomanceTAJUK: ISTERI MR. TROUBLEMAKER PENULIS: ZANY EZATIE ISBN: 978-967-365-270-9 HARGA: RM27.00 / RM30.00 UNTUK MELANGGAN WHATSAPP 0196128069 (PENERBITAN FAJAR PAKEER) Kisah dua hati yang pada awalnya saling membenci. Syakeef si Troublemaker yang asyik m...