BUNYI bising samasa ketiaadaan guru kelas menambahkan serabut di kepala Syazrina yang memang sudah sedia berserabut. Dia memegang kepala yang tiba-tiba berdenyut. Kejadian ayahnya ditangkap semalam masih bermain di kotak fikiran.
Berbagai perasaan berbaur mengacau jiwa yang sedia kacau. Marah, sedih, malu, kecewa semua bertaut jadi satu, menzahirkan perasaan yang tak keruan. Ah, kenapalah keadaannya mesti seperti ini? Ibarat dirobek dan dirobek perasaannya. Umpama dikhianati saja lagaknya.
Dia menyangka kisah hidup penuh liku ini hanya terzahir di kaca TV. Tapi sekarang... Siapa sangka? Dia salah satu watak cerita.
“Allah.” Hanya itu mampu terluah refleksi daripada kekacauan jiwa.
Perlahan-lahan, Syazrina bangun daripada duduk lalu lambat-lambat melangkah ke pintu belakang kelas. Dia nak mencari ketenangan hati. Ada di mana? Biar langkah ini membawa diri.“Pergi mana, Minah?”
Sapaan satu suara yang amat-amat dikenalinya itu menyebabkan langkahnya terhenti. Sementelah pula mamat tu sedang mendepa tangan, menghalang tubuhnya di muka pintu.
“Kau nak apa?” Terus nada suara Syazrina menginjak tinggi.
“Dahlah, aku tak ada mood nak layan kau,” tuturnya agak lemah.
Syakeef tergelak sinis. “Kenapa tak ada mood?”“Bukan masalah kau.” Syazrina cuba menerobos halangan Syakeef.
“Hei, hei...” Tapi lelaki itu lebih dahulu menghalang langkahnya.
Syazrina menghela nafas menyampah. Mamat ni! Ada juga nak makan penampar sulung aku ni.
“Bagi taulah aku. Kenapa kau tak ada mood? Ada masalah?”
Angin kus-kus Syazrina mula melonjak naik ke kepala.
“Esh, dia nilah. Macam orang bodoh aje. Tak faham orang cakap ke apa?” Nada suara kini menginjak tinggi. Kesabaran yang tinggal sedikit kini melayang pergi.“Apa? Kau cakap aku bodoh?” Syakeef juga mulai naik hantu. Senang sungguh mulut mungil itu membodohkannya. Memang kurang ajar.
“Ya! Aku cakap kau bodoh. Tak faham bahasa aku. Kau tak puas hati?” Syazrina menyinga.
“Oh. Aku bodoh? Kau tu pandai sangatlah?” balas Syakeef, sinis.
“Pandailah sikit daripada kau,” bidas Syazrina tak mahu mengaku kalah.
Syakeef pantas angkat tangan. Ringan sahaja tangan itu nak melayangkan penampar ke muka Syazrina.
“Kau nak tampar aku? Tamparlah. Tampar!” cabar Syazrina sambil mendekatkan pipinya ke muka Syakeef.“Woi, kau orang. Janganlah bergaduh.” Nora yang sedari tadi menjadi saksi pergaduhan cuba menenangkan keadaan.
Syakeef menurunkan tangan. Dia tiba-tiba tergelak sinis. “Sekurang-kurangnya aku bodoh aje. Tak macam kau. Ayah kau penagih dadah!”
Syazrina terpempan. Kelu lidahnya mendengar kata-kata hinaan daripada Syakeef. Bagai nak pitam di situ juga. Lagi-lagi apabila dia mendengar bisikan-bisikan daripada kawan-kawan kelas. Ekor matanya melihat riak jelek mereka semua.
“Hei, kawan-kawan. Untuk pengetahuan kau orang, ayah dia sebenarnya penagih dadah. Semalam baru kena tangkap dengan polis. Aku saksinya,” tambah Syakeef.Tanpa sedar dia telah merobek-robek hati dan perasaan Syazrina.
“Huh. Anak penagih dadah ada hati...”
Pang! Satu tamparan kuat Syazrina hadiahkan buat Syakeef. Hampir-hampir lelaki itu tersembam ke meja kayu kerana kuatnya tamparan itu.
“Kau ni memang manusia tak ada hati perut!” jerit Syazrina melampias amarah yang meluap-luap.
Syakeef memegang pipinya yang kebas. Bebola matanya yang bernyala api kebencian meluap-luap merenung mata Syazrina.
“Memang, memang aku manusia tak ada hati perut. Sekurang-kurangnya aku tak macam bapak kau, tak ada akal. Bodoh, sebab memperhambakan diri dengan dadah!”
Syazrina mahu menampar Syakeef sekali lagi, tetapi...
“Apa yang kau orang bising-bising sampai ke luar dengar ni?” Tiba-tiba Cikgu Mohamad Awal, guru disiplin muncul dari belakang kelas.
* * * * * *
PEN yang berwarna biru diletakkan di atas diari. Sudah diterjemahkan perasaan sedih dan pilu mengenai kisah hidup di atas lembaran diari tersebut. Sudah bertahun-tahun diari itu berjasa, berkongsi rasa suka dan duka.Syazrina meletakkan diari itu di atas tilam. Dia menarik lutut ke dada, lalu dipeluk lutut sendiri. Air mata tiba-tiba mengalir di tubir mata. Setiap kali dia mengenangkan nasib diri, air mata ini tak dipinta, terus mengalir dan terus mengalir berantai di pipi.
Syazrina mengelap air mata yang mengalir dengan belakang tangan. Tangan kanan yang berbekas air mata dicerlung dalam. Kisah beberapa hari lalu kembali menjelma di ingatan. Inilah tangan yang sama yang telah menampar lelaki bernama Syakeef Akmal.Jahat. Tuduhan ini memang layak dikalungkan ke hati manusia seperti Syakeef Akmal. Lelaki durjana itu sungguh dia sanggup menginjak derita orang lain sewenang-wenangnya tanpa sekelumit perasaan bersalah atau kasihan.
Malu, dia teramat malu. Kerana Syakeef Akmal, semua orang memandang jelek kepadanya. Mereka jijik hendak berkawan dengannya. Malah Nora, kawan baiknya sendiri juga sanggup angkat kaki.
Kerana mulut lelaki itu juga, semua orang menjatuhkan hukuman kepadanya seolah-olah dialah pesalah yang disabitkan kesalahan. Diari, salah akukah? Kalau ayah ditangkap polis, salah akukah? Kalau ayah terlibat dengan dadah, salah akukah?
Tubuhnya bergetar. Bagai hendak ditampar-tampar wajah lelaki itu sepuas-puas hatinya. Biar berbalas rasa sakit yang tak tertanggung ini. Aku benci kau, Syak! Benci!
Tok! Tok! Tok!
“Along,” panggil emaknya dari luar.
Panggilan itu mematikan layangan perasaan benci Syazrina terhadap Syakeef. Perlahan-lahan dia angkat kepala lalu melirik ke pintu bilik yang diperbuat daripada kayu. Dia diam. Tidak terniat di hatinya hendak menyahut panggilan emaknya itu.
“Along,” panggil Mak Cik Syihah sekali lagi selepas beberapa lama tidak bersahut.Syazrina terus buat pekak, seolah-olah bunyi ketukan dan panggilan emaknya tidak langsung terdengar dek telinga.
“Along?”
Panggilan Mak Cik Syihah yang dah berpuluh kali masih tidak dihiraukan.
“Along, buka pintu ni.” Nada suara maknya itu kedengaran separa merayu.
Syazrina masih terus memandang pintu bilik yang hampir-hampir roboh dek ketukan Mak Cik Syihah dengan pandangan kosong.
Maafkan along, mak. Sungguh. Sungguh, along masih tidak punya kekuatan hendak membuka pintu itu. Hati ini ralat hendak menghadapi dunia di balik pintu tersebut. Biarlah along di bilik kecil ini. Biar along balut luka hati yang masih segar berdarah. Biarlah along rawat kekecewaan hati ini. Kebenaran ini terlalu perit hendak along tanggung.
Semuanya sebab ayah! Kerana ayah, masa depannya kini hancur. Kerana ayah melakukan kesilapan, dia yang terbeban dengan dosa tersebut.Bagaimana hendak along hadap hari-hari yang berlalu ini? Bagaimana along nak angkat kepala memandang orang lain dengan wajah yang berlumuran dengan dosa-dosa ayah? Beritahu along, ayah, bagaimana?
Argh... Batinnya menjerit pilu. Air mata merembes semakin lama semakin laju. Siksanya menanggung perasaan malu ini, ya Allah.
“Along, mak nak pergi jumpa ayah kat balai ni. Along tak nak jumpa ayah ke? Sebelum ayah kena hantar pergi pusat. Ayah nak jumpa along dengan adik-adik. Jomlah ikut,” ajak emaknya, entah ke berapa belas kali.
YOU ARE READING
Isteri Mr. Troublemaker
RomanceTAJUK: ISTERI MR. TROUBLEMAKER PENULIS: ZANY EZATIE ISBN: 978-967-365-270-9 HARGA: RM27.00 / RM30.00 UNTUK MELANGGAN WHATSAPP 0196128069 (PENERBITAN FAJAR PAKEER) Kisah dua hati yang pada awalnya saling membenci. Syakeef si Troublemaker yang asyik m...