BAB 6

1.7K 55 5
                                    

Syazrina hairan saat menapak ke dalam kelas. Semua orang terlampau fokus membaca sesuatu dengan pelbagai gaya. Ada yang menyandar di kerusi, ada yang baca berdiri, ada yang membaca secara berkumpulan, ada yang baca berseorangan.

Hari ni ada peperiksaan ke? Ke ujian? Ada ke? Tak tahu pula. Emm. Bersama dengan perasaan hairan, perlahan-lahan Syazrina berjalan ke arah meja sendiri. Nora, teman sebelahnya, membulat mata. Bagai ternampak hantu apabila melihat Syazrina.

Kenapa Nora ni? Cuak semacam? Syazrina makin bingung.

"Kau baca apa?" Syazrina juga tertarik pada sehelai kertas yang dipegang Nora. Punggung dilabuhkan di kerusi kayu.

"Tak ada apa." Cepat-cepat Nora melipat kertas tersebut dan bagai lipas kudung, kertas tersebut dicampak masuk ke bawah meja.

"Kenapa?" Syazrina berkerut pelik dengan sikap Nora. Dia memandang ke sekeliling kelas.

Semua orang sedang memandangnya dengan pandangan yang semacam.

Tiba-tiba Syakeef berjalan masuk ke dalam kelas melalui pintu hadapan.

"Hai, Minah," sapa Syakeef sambil mengangkat tangan. Satu senyuman lain macam dihadiahkan buat Syazrina.

Mata Syazrina terkelip-kelip. Dia curiga dengan gerak laku Syakeef yang tiba-tiba. Apa hal duk tersenyum-senyum? Rasanya mereka belum menamatkan perjanjian jarak 30 meter mereka lagi.

"Dengar ya, kawan-kawan." Syakeef meminta perhatian rakan sekelas.

Syazrina melihat sekeliling kelas. Ajaib! Semua orang memberikan perhatian kepada Syakeef yang sedang berdiri di hadapan persis pengetua hendak menyampaikan ucapan.

"Ha'ah. Saya rasa saya sukakan dia." Syakeef membaca sesuatu di atas kertas yang dipegang.

Syazrina telan air liur. Kenapa dengan mamat poyo ni? Nak buat pengakuan sukakan aku ke? Biar betul.

"Saya sukakan dia sebab dia handsome, dia comel walaupun dia jahat, dia suka sakat saya. Kadang-kadang saya benci dia. Kadang-kadang saya suka dia. Perasaan saya kat dia, tak boleh saya terangkan dengan kata-kata."

Syazrina mulai berubah tak keruan. Punggungnya tiba-tiba terasa panas. Jantung pula terasa makin berdegup kencang. Ayat yang Syakeef baca itu...

"Tapi, disebabkan perjanjian jarak 30 meter saya dengan dia, kami dah makin jauh. Dia dengan hal dia, saya dengan hal saya dan jujurnya saya tak suka keadaan macam ni. Kalau boleh saya nak dia kacau saya. Macam selalu. Macam bodoh, kan? Bodohnya saya sebab sukakan dia. Walaupun saya tahu saya bertepuk sebelah tangan."

Syazrina pejam mata. Kesejukan mula menjalar di setiap urat nadi. Itu perbualan dia dengan...

"Apa khabar bawang merah aka Nur Syazrina?" sapa Syakeef yang mendekatkan jarak ke arah Syazrina.

Syazrina angkat kepala melihat Syakeef yang kini berdiri di hadapan. Mamat poyo itu selamba menghulurkan tangan ke muka Syazrina.

"Saya jejaka jerung aka Syakeef Akmal!" Syakeef menekankan suara ketika menyebut nama sebenarnya. Matanya terbeliak sinis membenam ke anak mata Syazrina.

Bam! Bagaikan halilintar, perkenalan itu membelah benak Syazrina. Matanya membulat kerana terlalu terkejut. Tak terduga, Syakeef dan jejaka jerung ialah orang yang sama!

"Aku cakap kau bodoh, kau marah. Tapi, kau memang betul bodoh. Langsung tak perasan yang shark, jerung, Syakeef orang yang sama. Kenapa kau bodoh sangat? Hah?" Bentakan Syakeef menyebabkan Syazrina makin terkesima.

Isteri Mr. TroublemakerWhere stories live. Discover now