*sorry sebab dah lama tak update pasal syaz dan syak ni. busy tahap dewa terutamanya awal-awal persekolahan ni. sibuk dengan pendaftaran dan sebagainya. Di kesempatan ini saya nak ucapkan terima kasih kepada pembaca-pembaca isteri mr. Troublemake. Melebihi 1k. wau! siapa sangka, kan. terima kasih banyak-banyak. Dan selamat membaca dan teruslah support karya zany ezatie k! muaks cket!*
Love, zany ezatie.
Lapan tahun kemudian
"Wei, apa yang kau suka pasal Korea?"
Pertanyaan daripada Nasuha, kawan serumah, merangkap kawan baik sehidup sematinya itu buat Syazrina berhenti menaip. Kepala ditoleh mengarah ke sebelah kanan, ke arah Nasuha yang juga sedang menghadap komputer riba.
"Kau tahu kan, aku tak suka Korea. Aku lebih suka Spain, Perancis atau Dubai," bidas Syazrina. Malas lagi hendak melayan pertanyaan Nasuha, dia kembali meneruskan kerja.
Nasuha menjuih bibir tanda merajuk. "Alah. Aku nak kau bagi sebab. Aku nak hantar penyertaan percutian ke Korea ni. Bukan untuk kau. Untuk aku. Tolong. Bagilah alasan yang relevan dan baik. Untung-untung aku boleh pergi sana. Percuma kut."
Syazrina kembali memberikan fokus kepada Nasuha. Riak muka rajuk kawannya itu ditatap dalam. Syazrina mengangkat sebelah kening, tanda berfikir kononnya. "Emm..."
"Emm..." Nasuha tak sabar nakkan jawapan dari mulut Syazrina.
"Aaa. Aku nak pergi Korea sebab aku nak tengok setakat mana cantik sangat Korea tu sampai kawan aku ni tergila-gilakan sangat nak ke sana." Syazrina tersengih lebar seusai menyatakan alasannya.
"Lor. Main-main." Muncung Nasuha makin memanjang.
Syazrina tergelak terkekek-kekek. "Gurau sahajalah. Okey, sekarang serius."
"Saya nak ke Korea kerana saya adalah orang yang paling layak untuk ke sana. Selain saya, siapa lagi yang tahu kebanyakan jenis makanan Korea? Saya lebih tahu budaya Korea daripada orang Korea itu sendiri. Tapi, saya belum berkesempatan untuk ke negara kegemaran saya itu. Jadi, saya hendak merasai sendiri kehidupan masyarakat di sana. Boleh bagi alasan macam tu?"
"Wah!" Nasuha angkat kedua-dua ibu jari, tanda dia teruja dengan jawapan Syazrina. Sepantas kilat, dia menaip 'jawapan' tersebut di papan kekunci komputer riba.
Syazrina hanya mampu menggeleng kepala dengan kegilaan sahabatnya itu. "Suha, Suha..."
Terus dia menyambung kerja semula.
# # # # #
"Cik, saya tak nak pergi Korea," terang Syazrina.
"Kawan saya ni yang nak pergi. Bagi dialah," pohon Syazrina bagi pihak Nasuha.
Dia tidak berpuas hati dengan kemenangan percutian ke Korea yang diberikan oleh pihak penganjur kepadanya.
"Maaf Cik Syazrina. Cik yang jadi pemenang untuk pertandingan ini. Jadi, cik yang kena pergi. Ini atas nama cik." Pegawai pertandingan yang bernama Mastura itu menerangkan kepada mereka dengan wajah yang tenang serta tutur yang lembut.
Syazrina mengemam bibir. Dia mengetuk kepala beberapa kali sebelum memberi perhatian semula kepada Mastura. "Tapi, masalahnya kawan saya yang daftar penyertaan. Saya tak ada kena-mengena."
Sambil-sambil itu dia menjeling Nasuha di sebelah. Geram betul dia dengan Nasuha. Pandai-pandai sangat gunakan namanya untuk hantar penyertaan kepada pihak penganjur.
Nasuha telan air liur melihat jelingan tajam Syazrina. Dia memandang Mastura. "Ha'ah. Cik, bolehlah. Cik tukar atas nama saya. Sebab hari tu saya hantar dua penyertaan atas nama saya dan nama dia. Dia tak nak pergi, gantilah dengan saya. Bolehlah, Cik Mastura."
Kawannya itu separa merayu. Dia mesti membetulkan keadaan yang sudah kelang-kelibut dek sikap memandai-mandai.
"Maaf, cik. Tak boleh tukar. Semuanya dah didaftarkan atas nama Cik Syazrina. Mahu tak mahu Cik Syazrina kena juga pergi. Kalau tak dia kena tanggung kos ganti rugi sebanyak 10 ribu ringgit," jelas Mastura.
"Apa? 10 ribu ringgit?" Syazrina ternganga tak percaya. Aduh, bala! Tak pasal-pasal teraniaya macam ni. Jelingannya kepada Nasuha makin menajam.
"Sorry." Nasuha menjuih bibir dengan muka kasihan.
"Tak boleh nak buat apa-apalah ni?" Syazrina cuba lagi untuk berdiplomasi.
Mastura menggelengkan kepala. "Tak boleh, cik. Cik kena juga pergi pada tarikh yang dah tertera kat surat tu."
# # # # #
"Kau ni kan. Pepandai letakkan nama aku kenapa?" leter Syazrina sambil langkahnya laju menuju ke tempat letak kereta.
Memang panas hati betul dengan Nasuha. Bertambah-tambah dengan keadaan cuaca yang sememangnya panas hari ini.
Nasuha terkedek-kedek membuntuti langkah Syazrina. "Wei, sorry. Aku tak sangka kau nak menang. Padahal, ayat yang aku tulis tu ayat main-main sahaja."
Syazrina menekan butang penggera kereta. Pintu dibuka lalu dia meneroboskan diri ke dalam Myvi biru kesayangannya.
"Sorry, sorry. Dah tak ada makna sorry kau tu. Aku kena juga pergi Korea. Pasal kau. Kau faham tak?" Sayzrina menyambung leter. Sambil-sambil tangannya menarik tali pinggang keledar lalu dipasang ke tubuh.
Nasuha mencebik muka. Macam kanak-kanak dimarah ibu sahaja lagaknya. Sambil-sambil dia memasang tali pinggang keledar ke tubuh sendiri. "Aku..."
"Aku nak kau ganti buat kerja aku. Dengan nak menghadap Dato' Shamsul tu nak ambil cuti. Seminggu lebih kut. Kau ingat senang ke? Dato' cerewet tu nak bagi? Dengan kerja melambak-lambak kat pejabat. Sekarang ni siapa nak tanggung semua beban-beban ni? Hah?" pintas Syazrina, masih terus-menerus meluahkan rasa tak puas hatinya.
Nasuha angkat tangan. "Akulah buat semua. Salah aku."
Antara rela dan tidak, dia menyatakan kesanggupan.
YOU ARE READING
Isteri Mr. Troublemaker
RomanceTAJUK: ISTERI MR. TROUBLEMAKER PENULIS: ZANY EZATIE ISBN: 978-967-365-270-9 HARGA: RM27.00 / RM30.00 UNTUK MELANGGAN WHATSAPP 0196128069 (PENERBITAN FAJAR PAKEER) Kisah dua hati yang pada awalnya saling membenci. Syakeef si Troublemaker yang asyik m...