Kepala dijenguk ke kiri dan ke kanan jalan. Mencari-cari Cik Seo Yeon yang sudah tak nampak bayang. Mana pula minah ni pergi? Tadi ada kat sini. Baru sahaja aku pergi tandas sekejap. Takkan dah hilang? Misteri betul pemandu pelancong aku ni. Hem.
"Aduh." Dia memegang bahu yang tiba-tiba dilanggar orang.
Orang itu jelas seorang lelaki. Kemungkinan besar merupakan penduduk tempatan daripada gaya dan penampilannya. Lelaki itu menundukkan kepala tanda memohon maaf.
Syazrina angkat tangan kanan. Tanda dia tidak apa-apa. Lelaki itu terus melintas jalan sementelah lampu jalan masih berwarna hijau.
Syazrina menggigit bibir. Rasa geram mula menggigit-gigit hati. Mana Cik Seo Yeon ni? Tinggalkan aku seorang diri kat sini. Dia ingat aku tahu ke jalan sini? Jalan balik ke hotel pun aku tak ingat lagi. Waaa. Mana dia ni? rengek Syazrina dalam hati.
Tiba-tiba Syazrina terasa begnya diregut orang. Matanya terbeliak kerana terlalu terkejut.
"Hei, tolong. Tolong! Tolong!" Dia menjerit meminta tolong. Sambil-sambil kakinya melangkah mengejar si pencuri tersebut.
"Tolong. Ahhh." Dia menutup mulut. Mana ada orang nak faham bahasa Melayu kat sini. "Help me. Please help me!"
Peragut itu makin menjauh daripadanya. Syazrina pula makin semput. Makin malang, dia tersadung kaki sendiri lalu terjatuh sendiri. Syazrina menangis sambil memegang kakinya.
"Kenapa ni cik?" tegur seseorang dalam bahasa Melayu.
Syazrina capat-cepat angkat kepala, tertarik dengan bahasa seseorang itu. Daripada suaranya Syazrina tahu, seseorang itu berjantina lelaki dan berbangsa Melayu. Namun, dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah lelaki itu disebabkan mata yang berkaca dengan air mata.
"Ada orang ragut beg saya." Jari telunjuknya ditala ke arah lorong di mana peragut itu melarikan begnya.
"Cik tunggu sini. Saya kejar dia." Lelaki itu terus berlari pergi.
Syazrina sekadar mengangguk kepala berkali-kali. Terima kasih Allah. Saat getir begini Kau hadirkan seseorang untuk membantu. Syazrina membelek-belek kaki yang bersarung stoking. Nampak lebam. Mungkinkah terseliuh?
"Ni, beg awak." Seseorang menghulurkan beg ke muka.
Syazrina angkat kepala. Pertama sekali, dia melihat beg tangan warna merah hati miliknya. Kedua, barulah dia mengangkat kepala lebih tinggi, kepada seseorang yang telah menghulurkan beg tangan tersebut.
"Awak okey?" Lelaki itu melutut di hadapannya.
Syazrina angguk kepala. "Okey." Beg tangan miliknya disambut lalu diletakkan ke tepi paha.
"Kaki awak bengkak. Mungkin awak terseliuh," tegur lelaki itu kelihatan risau apabila terpandangkan kaki Syazrina. Spontan, dia cuba memegang kaki Syazrina.
Syazrina cepat-cepat menarik kakinya, tanda tak selesa bersentuhan dengan lelaki tersebut.
"Maafkan saya. Saya terlalu kaget tadi," pohon lelaki itu, pandai berbahasa.
"Tak apa," balas Syazrina. Dek rasa segan yang bersarang di hati, dia tidak dapat nak menatap wajah lelaki itu. Wajahnya ditundukkan.
"Awak tunggu sini. Saya cuba minta tolong orang lain angkat awak. Kita ke klinik. Saya takut nanti teruk kaki awak." Terus lelaki itu bangun, mencari orang untuk meminta bantuan.
# # # # #
mereka berjalan keluar dari pintu automatik klinik. Syazrina berjalan tercapik-capik, beriringan dengan lelaki yang menjadi adiwira kepadanya hari ini.
YOU ARE READING
Isteri Mr. Troublemaker
RomanceTAJUK: ISTERI MR. TROUBLEMAKER PENULIS: ZANY EZATIE ISBN: 978-967-365-270-9 HARGA: RM27.00 / RM30.00 UNTUK MELANGGAN WHATSAPP 0196128069 (PENERBITAN FAJAR PAKEER) Kisah dua hati yang pada awalnya saling membenci. Syakeef si Troublemaker yang asyik m...