JODOH YANG TIDAK MENGERTI - 1

215 4 2
                                    



"Abang setujukah dengan pilihan Dira tu?"

"Entahlah. Abang pun bingung."

"Awak bukan tak tahu perangai Dira. Kalau putih katanya, putihlah."

Pak Ya menarik nafas dalam-dalam. Mak Siti termenung panjang. Perbualannya dengan Pak Ya, suaminya petang itu, masih berkisar tentang isu yang sama. Semenjak 3 hari lepas, perbincangan mereka belum selesai. Ia menjadikan fikirannya bercelaru. Mak Siti semakin runsing.

"Saya tak setuju, Abang. Bukan apa. Cukuplah perkataan 'tiri' dalam hidup saya. Tak sanggup saya nak mengulangi semua itu."

Pak Ya, suami Mak Siti diam saja. Bukan dia tak tahu. Dia adalah orang yang paling faham tentang Mak Siti. Perkahwinan mereka yang sudah mencecah 40 tahun, sudah cukup membuatkan Pak Ya mengetahui isi hati Mak Siti.

Mak Siti masih memandang kepada pokok-poko kelapa yang tegak berbaris sepanjang jalan. Nampak gah. Sesekali, terliuk juga daun kelapa itu ditiup angin petang. "Jadi anak tiri, kakak tiri, ada adik-beradik tiri, hidup dengan mak tiri, semuanya tu saya dah puas rasa, Abang."

Sejak berkahwin, pangkin itulah yang menjadi saksi suka duka hidup berumahtangga mereka berdua. Hampir setiap petang, Mak Siti dan Pak Ya akan berbual dan berbincang dengan tenang di situ.

Pak Ya masih ingat kisah yang diceritakan oleh arwah ayah mertuanya. Katanya, ibu Mak Siti seorang perempuan kaya. Siti Fatimah namanya. Siti Fatimah, ibu kepada Mak Siti dinikahkan dengan Mohd Noh, ayah Mak Siti atas persetujuan kedua orang tua masing-masing.

Arwah Mod Noh, ayah mertuanya dulu, merupakan antara lelaki kacak dalam kampung. Walaupun tidak banyak harta, arwah ayah mertuanya dulu terkenal sebagai lelaki yang rajin bekerja.

Siti Fatimah balik semula ke pangkuan keluarganya akibat berselisih faham dengan Mohd Noh. Kata orang kampung, Siti Fatimah anak orang berada. Tidak dapat sesuaikan diri dengan cara hidup sederhana Mohd Noh.

Khabarnya, sebaik sahaja Mak Siti dilahirkan, Mak Siti dibawa oleh ibunya tinggal dirumah ibu Siti Fatimah. Genap sahaja usia Mak Siti dua bulan, Mohd Noh datang ke rumah ibu mertuanya.

Dipendekkan cerita, Mak Siti diserahkan bulat-bulat kepada Mohd Noh dengan penerimaan lafaz talak yang sah. Bermulalah sejarah hidup Mak Siti ditinggalkan ibunya. Maka keseoranganlah Mohd Noh, ayah Mak Siti membesarkannya.

Atas sebab itu, ayah Mak Siti cepat-cepat berkahwin lagi. Katanya, tidak sampai sebulan Mak Siti dibawah jagaan ayahnya itu, ada anak dara sudah dipilih sebagai ibu baru.

Mohd Noh berkahwin dengan Rosnah. Seorang perempuan muda yang serta-merta berstatus ibu kepada seorang anak tiri berusia 3 bulan. Zaman itu, bukan zaman bawang merah bawang putih lagi. Mak tiri sudah umpama mak kandung juga. Bermulalah episod hidup Mak Siti bergelar anak tiri yang hidup bersama ibu tiri muda.

Pada masa yang sama, ibu kandung Mak Siti, Siti Fatimah juga berkahwin lagi. Berkahwin dengan duda anak tiga. Maka, Mak Siti secara automatik, mendapat seorang ayah tiri dan adik-beradik tiri.

Semasa berumur lima tahun, sekali sekala memang Mak Siti akan dihantar untuk tidur semalam dua di rumah ibunya itu. Khabarnya, apabila Siti Fatimah mempunyai anak sendiri bersama suami barunya, Mak Siti juga sudah jarang ke sana.

Pak Ya faham benar. Mak Siti tidak mahu kesukaran yang dilaluinya berulang. Apatah lagi sekiranya ia berlaku dikalangan anak-anaknya sendiri. Kehidupan dalam lingkungan keluarga tiri, tidaklah seburuk yang sering diceritakan.

Namun, kehidupan memang begitu. Ada suka dan duka. Ada susah dan senangnya. Situasi keluarga yang bertambah, berubah dan berkembang menjadi pengalaman hidup masing-masing. Pak Ya tahu. Adakalanya, Mak Siti rasa tersisih meskipun tiada sesiapa yang menyisihkannya.

Berada dirumah ibunya sendiri sekalipun, Mak Siti sudah jadi sangat asing. Berada dirumah ayahnya sendiri, juga terasa asingnya.

Pak Ya tahu kebimbangan isterinya itu. "Dira itu orang terpelajar. Anak kita yang paling pandai."

"Memanglah, Abang. Kalau belajar tinggi pun, kita ini yang sudah banyak makan garam!" Mak Siti masih tidak puas hati.

DUNIA Yang Aku TahuWhere stories live. Discover now