HATI NAN SATU - 5

35 0 0
                                    

"Mak, hari ni ada aiskrim lagi tak?" laju sahaja anak kecil itu berkata sebaik sahaja duduk di dalam kereta ibunya.

Jariah senyum. "Sarah agak, boleh tak kita beli aiskrim hari-hari?"

Sarah diam. Jari telunjuknya digerakkan ke kiri dan ke kanan. "Tak boleh!" Katanya sambil menggerakkan jari telunjuknya dengan lebih laju.

Terkekek-kekek Jariah ketawa melihat anaknya itu. Memandu dari taskan anaknya ke rumah, hanya sekitar 300 meter sahaja. Namun, waktu yang singkat itulah yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh Jariah bersama Sarah.

Maklumlah, bekerja dan mempunyai anak kecil begitu, memerlukan tenaga yang banyak Jarah sendiri sudah berbincang dengan Hisham. Sehinggalah Sarah mencecah umur 6 tahun, baru dia mahu memikirkan tentang anak kedua.

Jariah tahu. Hidup sebagai orang kedua, bukan mudah. Malah, Hisham bukanlah mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara sebuah lagi keluarga. Kebetulan sahaja isteri pertama suaminya, Sabariah dari kalangan orang berada. 

Sara yang masih sibuk menyanyi lagu 'Twinkle Twinkle Little Star' terus menyanyi dengan riang. Ke kiri dan ke kanan badannya digoyangkan. Jariah menggosok-gosok kepala anaknya.

Gaji bulanan Jariah tidaklah besar. Bekerja sebagai seorang eksekutif, membolehkan dia dibayar RM2500 sebulan. Cukuplah untuk menampung dirinya dan anaknya nan seorang itu. Hisham pula, bergantung kepada keadaan.

Ramai juga saudara mara yang tidak bersetuju dengan keputusan Jariah bernikah dengan Hisham. Sudahlah suami orang, tidak punya harta pula. Namun, jodoh itu Allah juga yang berkuasa. 

Pertemuan mereka dalam satu sesi penerangan program jualan langsung berpanjangan kepada hubungan rakan menjual yang baik. Lama-kelamaan, kerja-kerja menjual dalam kumpulan itu, memberikan mereka berdua peluang mengenali antara satu dengan yang lain.

Hidup di bandar, bekerja sepenuh masa tidak menjanjikan pendapatan yang mencukupi. Mahu tidak mahu, Jariah juga adalah antara mereka yang tergolong dalam kategori 'miskin bandar'. Maka, menyertai program jualan langsung adalah antara yang paling mudah dapat dilakukannya.

Satu-satunya kuasa yang Jariah ada, ialah membuat keputusan. Dan dia, bersetuju meskipun tahu, Hisham mungkin tidak dapat menyara dan memberinya nafkah. 

"Abang, saya sudah sedia tahu. Apa yang saya perlu, ialah seorang suami. Tentang rezeki, makan pakai, apa yang Abang mampu, saya terima." Itulah antara lafaz keramat yang diucapkannya apabila hatinya tekad membuat keputusan.

6 tahun lalu, itulah yang berlaku. Ya, Allah sahajalah yang tahu.

DUNIA Yang Aku TahuWhere stories live. Discover now