JODOH YANG TIDAK MENGERTI - 3

40 0 0
                                    


Macam-macam perkara buruk mula masuk dalam fikiran. Mak Siti jadi semakin bimbang. Sebenarnya, jauh dalam hati Mak Siti dia sendiri keliru. Antara pengalaman diri sendiri dengan masa depan anaknya itu.

Rasanya, tidak adil menyamakan apa yang dia telah lalui dengan apa yang bakal Dira lalui. Mak Siti tahu. Dira seorang anak yang baik. Tabah, bijak dan mampu membina hidupnya sendiri. Namun sebagai ibu, Mak Siti juga mahu yang terbaik buat anaknya.

"Bagaimana jika suami Dira kelak mati dulu?"

"Ish awak ni! Fikirlah perkara yang baik-baik. Kan kita semua tahu. Ajal dan maut ditangan Tuhan. Bukan urusan kita." Pak Ya menjawab tenang saja. Sesekali dia geli hati juga dengan apa yang Mak Siti katakan.

"Cuba Abang fikir. Beza umur mereka berdua tu 23 tahun. Jauh sangat bezanya! Awak tahu apa Dira cakap dengan saya?"

"Apa dia?"

"Katanya, beza umur kita berdua pun jauh juga."

Mak Siti mendengus. Kali ini, Mak Siti semakin mencuka. Mak Siti bukan tidak tahu perangai anak perempuan bongsunya itu. Dira memang suka berdebat. Ada sahaja jawapan yang diberikan jika berbincang.

Mak Siti masih bimbang. "Dulu lain, Abang. Zaman kita dulu, memang zaman orang tua menyusun dan memilihkan pasangan. Sekarang tak macam dulu."

Pak Ya angguk-angguk. Betul juga. Kebimbangan Mak Siti ada asasnya. Dira sendiri khabarnya tidak kenal sangat dengan lelaki yang kematian isteri itu.

Mak Siti masih termenung. Kakinya menguis-nguis tanah kering yang ditutup rumput hijau. Pangkin itu memang dibuat rendah. Jadi, sesiapa yang duduk, kakinya tepat-tepat mencecah tanah.

"Abang cuba cakap lagi dengan Dira." Mak Siti tahu. Dira lebih banyak bercakap dengan ayahnya. Berbanding dengan dia sebagai ibu, Dira lebih rapat dengan ayahnya. Meskipun cara percakapan Dira sesekali kedengaran agak kasar, Dira masih tetap menunjukkan hormat kepada orang tua.

Kadang-kadang, Mak siti risau juga. Jika berkahwin dengan lelaki tua pula, agaknya, macam manalah degilnya Dira nanti. "Abang selalu menangkan Dira. Ha, tengoklah apa dah jadi sekarang!"

Suaminya, Pak Ya pula, selalu berlapang dada dengan Dira. Setiap kali Dira mula bercakap dan mengeluarkan hujahnya, Pak Ya angguk-angguk dan senyum saja.

"Ada betul juga apa yang Dira beritahu kita. Biarlah mereka datang. Kemudian kita buat keputusan. Lagipun, Dira setuju dengan apa juga keputusan kita."

Mak Siti masih tidak puas hati. Dia masih bimbang. Bagaimana jika Pak Ya berubah hati dan setuju dengan lelaki pilihan Dira itu? Mak Siti faham benar dengan perangai suaminya, Pak Ya.

Adakalanya, Pak Ya sering mengambil mudah banyak perkara. "Asal perkara baik, kita mudahkan sajalah." Bagi Pak Ya, berumahtangga itu perkara baik. Usah disusahkan urusannya. Jika mana yang tidak wajib itu, tidak buat pun tidak mengapa.

Mak Siti pula, seperti biasa banyak berfikir. Maklumlah. Baginya, ini bukan sekadar hal berkahwin dan kenduri makan-makan. Ia melibatkan maruah dan keturunan. Bukan mudah untuk melayari hidup berumah tangga. Lebih sukar apabila berkahwin dan terus bergelar ibu. Ibu tiri pula!

Mak Siti masih ingat janji Dira. Dia berjanji untuk meneruskan cita-cita. Selepas belajar, mahu terus membina kerjaya. Katanya, dia tidak mahu hanya sekadar belajar dan tamat begitu saja. "Mak jangan risau. Dira belajar tinggi ni pun, Dira akan pastikan Dira menyumbang kepada masyarakat."

Pernah Mak Siti menempelak anaknya itu. "Itulah, dulu Mak dah cakap. Ambil saja kursus perguruan kat maktab. Tak mahu. Nanti, lepas belajar kalau tak dapat kerja, jangan banyak komplen!"

Meskipun semuanya sudah diberitahu dengan jelas, Mak Siti masih tidak yakin. Pak Ya yang banyak diam, memberikan sepenuhnya kuasa kepada isterinya untuk mengetuai perbincangan.

DUNIA Yang Aku TahuWhere stories live. Discover now