Hujung minggu itu, Mak Siti dan Pak Ya sekeluarga menerima banyak jemputan kenduri. Maklumlah. Hujung minggu yang bersambung dengan cuti umum perayaan memang menjadi pilihan untuk mengadakan kenduri-kendara.
Empat hari berturut-turut, Mak Siti tidak perlu masak makan tengah hari dan malam. Budaya bergotong-royong menjalankan masjlis kahwin, masih menjadi satu kemestian. Jadi, bab makan tidak jadi masalah.
"Mak, dia nak datang juga petang ini. Katanya mahu singgah. Mereka sekeluarga pergi kenduri di Muar. Jadi mereka nak singgah juga." Perlahan sahaja Dira bersuara pagi itu.
"Hari ini Mak dengan Abah memang kena turun kenduri. Tapi tak apalah. Nanti mereka sampai, telefon Abah."
Pak Ya terus saja bersiap. Mak Siti diam saja. Kemudian, dicuitnya bahu anak bongsunya itu. "Betul ke dia nak datang juga?"
Dira angguk lemah. Mak Siti senyum saja. "Tak apalah. Orang nak datang. Ha, ada kuih atas meja tu. Nanti Dira hidang dululah kalau mereka sampai sebelum Mak dan Abah balik."
Dira mengangguk lagi. Mak Siti dan Pak Ya berpandangan. "Sudah. Kami pergi dulu ya." Begitulah suasana di kampung. Setiap kali ada kenduri, Mak Siti dan Pak Ya memang sibuk dipanggil orang.
Pak Ya menghidupkan motosikal tuanya. Motosikal lama itulah yang menjadi penghubung cinta Mak Siti dan Pak Ya. Sepanjang perjalanan itu, Mak Siti masih sempat termenung. Mak Siti masih takut dan bimbang.
Mak Siti masih ingat dengan jelas komen adik-beradik tirinya yang lain.
"Eh Kak Siti, kau biar betul? Dira nak dipinang duda anak tiga?"
"Kaya ke lelaki tu Kak? Kalau memang dia mampu tak apa."
"Betul Kak Siti. Lagipun zaman sekarang, budak universiti kalau kahwin lambat, memang susahlah nak dapat jodoh. Terima sajalah."
"Saya dengar pun sama. Zaman sekarang, kalau tak pilih betul-betul susah masa depan anak kita."
Mak Siti diam saja. Bertalu-talu macam bom meletup mulut adik-adiknya dalam hal ini. "Itulah. Saya pun tak tahu. Nak terima susah. Nak tolak, ada perkara lain pula yang timbul."
*********
Sebaik sahaja Pak Ya melambai-lambai, Mak Siti cepat-cepat berkemas. Mak Siti tahu. Mesti Dira sudah telefon ayahnya. Mesti tetamu yang ditunggu itu sudah sampai di rumah. "Hah, balik sekarang ke Abang?"
"Ya. Dira SMS. Katanya mereka dah sampai."
"Ramai?"
"Tak. Lelaki tu dengan Mak dan Bapanya saja."
"Saya dah cakap dengan ketua rewang. Saya kata, malam ini kita datang lagi."
Sampai sahaja di halaman rumah, Pak Ya dan Mak Siti saling berpandangan. Sebuah kereta Toyota Innova tersergam di depan laman rumah yang biasanya kosong. Kalau ada pun, dua tiga keluarga ayam yang selalu berlegar memenuhi ruang laman.
Nampaknya tetamu yang mahu berkunjung memang benar-benar sudah sampai. Kunjungan dari keluarga yang berhajat mahu berbesan.
"Assalamualaikum."
"Waaalaikumsalam." Pak Ya dan Mak Siti tenang sahaja duduk berbual dengan tetamu yang datang.
Lelaki itu, Rahman namanya. Orangnya tidak tinggi tidak rendah. Sederhana sahaja. Kulitnya putih bersih. Janggut sejemput disimpan rapi. Rahman rupanya bekerja sebagai pengurus bank. Sesuai sungguh dengan penampilannya. Duda beranak tiga. Katanya kematian isteri sudah lima tahun lalu.
Pak Ya mendengar dengan tekun. Orang mahu bercerita, Pak Ya menadah telinga saja. Ayah Rahman, Abdul Malik, seorang Guru Besar pencen. Lagaknya saja sudah membuatkan Pak Ya bersangka-sangka. Maklumlah, Abdul Malik datang dengan pakaian macam pegawai kerajaan. Tidak macam orang mahu pergi kenduri.
Ibu Rahman, Salmah pula seorang suri rumah sepenuh masa. Menurut Rahman, Salmah banyak menghabiskan masa pencen bersama ayahnya, Abdul Malik. Melancong keluar negara. Inilah masanya, kata mereka. Sementara hayat masih ada.
Pak Ya dan Mak siti banyak angguk-angguk. Maklumlah. Orang bandar dengan gaya datang ke rumah orang kampung biasa. Pak Ya berbual-bual juga. Mak Siti hanya banyak mendengar. Sesekali, Mak Siti mencelah juga.
YOU ARE READING
DUNIA Yang Aku Tahu
Short StoryIni ialah kompilasi kisah-kisah pendek yang saya tulis berdasarkan kehidupan dan situasi sekeliling dengan 2 tajuk JODOH YANG TIDAK MENGERTI HATI NAN SATU Kehidupan dan situasi yang berlegar seharian banyak menyentuh tentang kasih sayang dan k...