Hisham dan Jariah saling berpandangan. Jariah, memandang wajah Sabariah dan suaminya, silih berganti. Dadanya turun naik.
Meskipun ruang tamu itu sejuk dengan udara dari penghawa dingin, Jariah masih berpeluh. Tangannya juga semakin basah, tiba-tiba. Jariah senyum sambil menundukkan sedikit kepalanya sambil memandang wajah Sabariah.
Sampai sahaja Hisham dan Jariah, dan duduk di ruang tamu itu, meja itu sudah lengkap tersusun. Memang sudah ada terhidangkan kopi O bersama beberapa potong kek pisang yang sedia dimakan.
Entah mengapa, Jariah begitu berat mahu bertentang mata dengan Jariah.
Sabariah menarik nafas dan berkata, "Saya sudah beritahu Abang Hisham. Dalam usia begini, saya hanya mahu kasih sayang. Cukuplah dengan kehilangan anak-anak. Biarlah ada suara hilai tawa dan kegembiraan dalam rumah ini."
Jariah memegang erat beg tangan kecil berbunga merah. Kelihatan jelas zipnya yang sudah hampir tertanggal. Sabariah terus memandang wajah perempuan itu tanpa berkelip. Melihat Jariah diam, Sabariah menyambung, "Apa, Jariah tidak percaya?"
Jariah masih diam. Sabariah mengalihkan pandangan kepada Hisham yang menggeleng-gelengkan kepalanya perlahan.
"Saya tidak mahu memaksa. Tapi, Jariah pun ada masalah nak cukupkan belanja dapur rumah kan? Sewa rumah lagi..."
Hisham tunduk. Jariah diam. Jari-jemari Jariah masih terus memintal-mintal kepala zip beg tangan berbunga merah itu.
"Setahu saya, belanja sekolah dan kos jagaan Sarah sahaja mencecah RM1000 sebulan." Sabariah menyambung.
Sopan sahaja Sabariah berkata, "Jemput minum." Sabariah mengambil cawan putih berbunga merah di hadapannya. Dihirupnya air kopi yang masih berwap itu perlahan-lahan.
Setelah meletakkan semula cawan kopi itu, Sabariah menyambung, "Saya tidak ada masalah. Saya memang bersedia bila-bila masa sahaja untuk Jariah, Sarah dan Abang Hisham tinggal bersama di rumah ini."
Hisham diam. Jariah masih terus memintal kepala zip beg tangan kecil berbunga merah tanpa sebarang kata-kata.
YOU ARE READING
DUNIA Yang Aku Tahu
Short StoryIni ialah kompilasi kisah-kisah pendek yang saya tulis berdasarkan kehidupan dan situasi sekeliling dengan 2 tajuk JODOH YANG TIDAK MENGERTI HATI NAN SATU Kehidupan dan situasi yang berlegar seharian banyak menyentuh tentang kasih sayang dan k...