JODOH YANG TIDAK MENGERTI - 2

51 0 0
                                    

Dira adalah satu-satunya anak perempuan Mak Siti dan Pak Ya yang masuk universiti. Ibu bapa manalah yang tidak bangga. Anak-anak Pak Ya dan Mak Siti, 4 orang semuanya. 2 lelaki dan 2 perempuan. Yang lelaki, masing-masing sudah berkeluarga dan sibuk menyara keluarga.

Mak Siti masih tidak percaya. "Macam manalah Dira ni. Belajar di Universiti, tak kanlah tak ada satu lelaki pun yang berkenan kat dia."

Pak Ya menggelengkan kepala. "Awak ni. Hal jodoh macam ini, bukan kita yang tentukan."

Sukar untuk masuk ke dalam akal Mak Siti. Mana mungkin anak perempuan yang bijak dan punya rupa macam Dira tidak ada teman di universiti? Kalau diikutkan, Dira itu cantik juga orangnya. Meskipun tidak pandai di dapur, jika sekadar memasak untuk makan sendiri, tidak ada masalah.

"Kita tak pernah kita tolak pinangan orang sebelum ini. Apa kata orang nanti?

Sebelum ini, kita kan dah cakap. Kita tak setuju. Mengapa mahu datang juga!"

Mak Siti mula membentak. Selepas berbincang dengan Dira minggu lepas, mereka berdua sudah sepakat. Dira mesti beritahu pihak lelaki, bahawa mereka tidak mendapat persetujuan. Nampaknya pihak sebelah sana berdegil mahu datang juga.

"Tak apalah. Lagipun, mereka datang kan nak berkenalan saja? Bukannya nak meminang terus. Tetamu yang mahu datang, kita sambut sajalah."

Mak Siti masih tak puas hati. Semenjak kecil, Mak Siti tahu. Bukan mudah menjadi seorang mak tiri. Malah, menjadi adik-beradik tiri itu pun tidak mudah. Apatah lagi dengan Dira yang masih muda.

Dira berkelulusan tinggi. Bekerja pun belum tetap lagi. Sejak kecil Dira, merupakan antara anak yang paling kuat belajar. Berbanding dengan kakaknya Sara, Dira dikurniakan kelebihan dari segi akademik. Sara pula lebih banyak menolongnya dalam bab mengemas dan memasak.

"Bertuah kau Siti. Ada anak yang pandai." Itulah kata-kata kawan sekampung.

Waktu itu, anak masuk asrama dan masuk universiti, hebat umpama dilantik jadi Perdana Menteri. Dira memang seorang anak yang berdikari. Sejak kecil lagi, Dira memang satu-satunya anak yang mahu menang apabila bercakap. Berdebat itu, sudah macam kerja tetapnya.

Mak Siti masih termenung. Pokok kelapa yang tinggi melambai ditiup angin, seolah-olah kosong saja pada matanya. Angin yang bertiup tidak lagi terasa sejuknya. Langit yang biru tidak lagi indah . Petang yang redup itu, dirasakan panas seperti tengahari. Semuanya kosong bagi Mak Siti.

"Mak jangan risau. Kalau sampai umur Dira masuk 25 tahun, Dira tak ada calon, Mak kahwinkanlah saja Dira dengan sesiapa. Dira setuju."

"Ha...betul sangatlah tu. Sampai sekarang tak ada kawan lelaki ni macam mana?"

Mak Siti tahu. Dira anaknya itu, sudah memeta jalan hidupnya sendiri. Pernah Mak Siti berleter kepada Dira. Mana tidaknya. Anaknya yang seorang itu langsung tidak pernah bercerita tentang rancangan hidup. Yang diceritakannya hanyalah belajar, aktiviti universiti dan rancangan kerja.

Pengalaman hidup Mak Siti bukanlah satu rahsia pada anak-anak. Mak Siti masih ingat. Betapa sukarnya hidup tatkala dia mengandungkan anak pertama, dan pada masa yang sama ibu tirinya juga sedang menunggu hari bersalin. Menunggu kelahiran anak pertama.

Masih jelas dalam ingatan Mak Siti. Sukarnya dia mendapat masa untuk bersama ibu sendiri. Lantaran kesibukan ibunya melayan ayah tiri dan anak-anak tirinya yang lain, Mak Siti seolah diabaikan.

Mak Siti masih ingat. Perasaan rindu, cemburu, sedih, kecewa dan semuanya bercampur. Tatkala melihat adik-beradik tirinya sibuk bermain bersama, dia masih rasa terasing.

Bukan. Bukan dibiar dan disisih seperti dalam kisah 'Cinderella'. Bukan juga seperti 'Bawang Merah'. Tidak pernah Mak Siti diperlakukan seperti anak tiri. Ianya cuma rasa dan emosi diri. Ia tetap ada. Sentiasa melekat dalam fikirannya.

Hakikat menjadi seorang anak tiri, adik-beradik tiri tetap ada bezanya. Sukarnya melihat ibu kandungnya melayani keluarga baru, membuatkan Mak Siti bimbang akan masa depan Dira.

Bagaimana jika bakal anak-anak tiri Dira tidak menerimanya? Apa kata keluarga arwah isteri bakal suami Dira nanti? Jika ada perkara yang tak baik berlaku, Dira tentu akan bertanggungjawab kepada anak-anak tirinya pula.

Bolehkah Dira memanggung semua persepsi, kata-kata dan cabaran dalam keluarga baru? Bagaimana jika nanti Dira tidak boleh balik kampung? Apakah Dira akan berubah seperti ibunya nanti? Hanya sibuk melayan suami dan anak-anak tiri hingga lupakan keluarga sendiri?

DUNIA Yang Aku TahuWhere stories live. Discover now