"Kuzer ada datang jumpa awak?" Soalan itu membuatkan dahi Hajah Zanariah berkerut. Lantas dia mengalihkan tumpuan daripada buku di tangan kepada suaminya yang baru saja melabuhkan punggung di atas katil.
"Rindu anak ke? Kuzer kan masih bertapa kat Auckland, nak datang jumpa saya apanya."
Suaminya ketawa kecil, menggeleng beberapa kali menunjukkan yang dia tahu sesuatu berkaitan anak lelaki tunggal mereka itu.
"Lainlah kalau dia dah balik ke sini. Hmmm, apa yang awak tak beritahu saya ni?" Hajah Zanariah menanggalkan cermin mata, meletakkannya di atas meja lalu berjalan menghampiri katil. Wajah panasarannya menuntut penjelasan lanjut daripada si suami.
"Dia balik sini kelmarin. Agaknya dah penat lari daripada tanggungjawab kut," jelas Tuan Haji Juwaidi.
"Macam mana awak tahu tu? Jangan cakap awak suruh orang perhatikan Kuzer 24 jam. Tolonglah Juwaidi Harmy, dia tu anak kita, bukannya tahanan perang," ujar Hajah Zanariah. Riaknya jelas tidak senang dengan tindakan suaminya.
Meskipun Kuzer sering buat masalah, tapi tu tak bermakna mereka harus meletakkan anak mereka dalam kawalan radikal seperti itu. Namun, kepulangan anaknya merupakan satu berita yang baik walaupun tidak disangka.
Pening kepala menguruskan Kuzer yang sememangnya banyak kerenah sehinggakan apabila dia menghilang empat tahun dulu selepas melarikan diri daripada perkahwinan yang menerima persetujuan penuh daripada Kuzer sendiri tanpa sebarang paksaan, jantungnya hampir luruh.
Ikutkan hati, mahu saja diturut ke mana Kuzer pergi, mengheret anak itu pulang dan meluahkan segala kekesalan serta amarah kerana memalukan keluarga sebegitu. Tapi entahlah, naluri keibuannya melakukan yang sebaliknya. Memaksanya untuk menerima keputusan Kuzer dan memberi peluang kepada anak bujang itu mencari dirinya yang lebih baik dan benar.
Dia serta Juwaidi gagal untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak mereka dek kesibukan bekerja yang tak pernah surut. Jadi, sekurang-kurangnya apa yang dia boleh buat ialah membiarkan Kuzer mencari jalannya sendiri, jauh dari sini, jika itu dirasakan cocok.
"Ish, ke situ pula! Tak ada masa saya nak buat semua tu. Awak jangan lupa, orang tua ni yang tanggung semua perbelanjaan anak kesayangan awak tu sampailah sekarang. Tentulah saya tahu ke mana 'pelaburan' saya tu pergi." Tuan Haji Juwaidi menjeling tajam, sedikit kurang senang apabila dituduh melulu. Semuanya kerana insiden lama yang nampaknya masih segar dalam ingatan Hajah Zanariah.
Benar dia menyuruh orang untuk menyiasat tentang latar belakang bakal menantunya tapi itu lapan tahun dulu. Lagipun tak ada yang salah untuk seorang ayah mengambil jalan sebegitu semata-mata risaukan masa depan anaknya. Tambahan pula, Maira Sheila merupakan puteri sulung mereka, jadi dia tak boleh tersalah pilih. Manusia sekarang banyak tipu muslihat dan dengan perangai Kuzer yang sedikit pun tak membantu, dia perlukan seorang menantu yang betul-betul boleh dipercayai. Sayang sekali apabila tindakannya itu sampai ke telinga Hajah Zanariah, isterinya itu marah sakan.
Ah, perempuan memang takkan faham logik seorang lelaki! Cuba menjadi ayah yang baik tapi tiba-tiba bertukar menjadi penjahat di dalam rumah sendiri.
"Hairan, kenapa dia tak datang sini jumpa kita?" soal Hajah Zanariah.
"Bila bercakap tentang anak awak tu, tak ada yang menghairankan. Dia buat apa yang dia suka tanpa pedulikan orang lain."
"Eh, eh, Kuzer anak awak juga. Entah-entah perangai dia yang macam tu ikut perangai awak muda-muda dulu."
"Sekurang-kurangnya saya tak pernah kena gantung sekolah sebab rosakkan semua kertas jawapan ujian. Dan awak jangan lupa yang kerana Kuzer, seorang budak tak bersalah hampir dibuang sekolah. Aduh, kalau ingatkan balik apa yang dia dah buat, nak demam saya rasa! Yang penting sekarang, Kuzer dah balik dan berharaplah dia tak jadi lebih teruk daripada dulu," balas Tuan Haji Juwaidi, memejamkan matanya yang terasa semakin berat.
Seharian bekerja, badannya yang kini sudah mula dimakan usia memerlukan rehat yang cukup supaya mampu meneruskan rutin sama keesokannya.
Mendengar itu, Hajah Zanariah tersenyum.
"Mungkin dia takut kita marahkan dia lagi pasal dulu tu." Hajah Zanariah turut berbaring di sisi suaminya, menarik selimut sehingga ke paras dada.
"Ketakutan dia tu berasas." Acuh tak acuh Tuan Haji Juwaidi membalas, memikirkan sendiri berapa minit lagi perbincangan tentang Kuzer ini akan berterusan sebelum dia dibenarkan untuk tidur dengan tenang.
"Perkara tu dah lama. Lily pun dah bahagia sekarang. Mungkin Kuzer masih perlukan masa sebab tu dia tak beritahu kita yang dia dah balik. Saya tak nak paksa apa-apa dan bila..."
"Dia perlukan masa dan suami awak ni perlukan tidur. Jadi, selamat malam, Puan Hajah Zanariah."
Hajah Zanariah mencebik geram.
Perangai suaminya ni memang sama saja dengan perangai Kuzer, suka buat orang naik angin.
YOU ARE READING
ONCE UPON A TIME
RomanceTajuk: ONCE UPON A TIME Penulis: Inawza Yusof Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-49-5 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Disember 2016...