BAB 7

1.4K 28 0
                                    

Lily tersenyum puas. Hari yang berjalan dengan lancar dan boleh dikatakan, satu pencapaian membanggakan. Sehingga Nizarif yang lokek dengan senyum itu pun terpaksa menyerah kalah dan menghadiahkan kata-kata pujian yang membuatkan hatinya berbunga.

Sedari semalam lagi Lily tak berhenti membuat persiapan untuk perjumpaannya dengan Datin Hana pada pukul 2 petang tadi. Perjumpaan yang turut disertai oleh encik bos, Nizarif, yang turut membuatkan Lily cuak dan risau. Dengan hanya dua jam tidur dan memandu ke ofis bagaikan zombie, mujurlah dia tak melakukan perkara-perkara bodoh yang boleh memalukan dirinya lalu menjejaskan kredibiliti DesignHouse.

Jikalau dulu dia menyangkakan kerjaya sebagai pereka dalaman sesuatu yang mudah dan glamor seperti selalu ditonton di televisyen, tapi kini ternyata sangkaannya itu sedikit tersasar. Terdapat skop yang lebih besar tentang kerjaya pilihannya ini dan yang tentu, ia tidak hanya berkisar kepada memilih warna cat yang sesuai untuk bilik atau pun memastikan susun atur perabot kena dengan ruang.

Menjadi pereka dalaman sebenarnya lebih memerlukan skil sosial serta negotiation di samping kesabaran tinggi kerana semua urusan kerja melibatkan pihak lain seperti pembekal dan klien. Ia bukan sekadar membenarkan kreativiti bekerja tetapi juga menguruskan setiap perincian bagi memastikan progress projek berjalan lancar supaya memberikan hasil terbaik dan 99% sempurna.

Dan tadi, syukur perjumpaan mereka berjalan dengan baik.

Pemilihan warna serta fabrik yang dirasakan sesuai untuk ruang tamu tersebut sudah dibuat. Walaupun Datin Hana tak suka dengan perabot-perabot yang dicadangkan oleh Lily dari bilik pameran DesignHouse, tapi wanita itu tertarik dengan kerusi dan beberapa lagi aksesori daripada katalog yang diunjukkan kepadanya. Manakala untuk skim warna pula, mereka bersetuju untuk memberi penekanan utama kepada lampu meja eksklusif serta kusyen.

Namun, kerja masih belum selesai. Banyak yang perlu dilakukan lagi seperti mencadangkan beberapa dekorasi tambahan untuk melengkapkan ruang tamu tersebut dan setelah menghabiskan hampir dua jam bersama Datin Hana, Lily rasa dia lebih memahami cita rasa wanita itu.

Insya-Allah, kalau tak ada aral, pesanan boleh dibuat minggu ini juga.

Sebuah kejayaan kecil diraikan oleh Lily dengan mengunjungi pasar raya sebaik saja selesai tugasan di ofis untuk membeli barang keperluan harian kiriman ibunya dan juga beberapa barangan lain untuk dirinya sendiri.

Membuat nota mental untuk membelek beberapa brosur yang dibawa pulang dari pejabat, tangan Lily pantas mencapai sebungkus biskut lalu dimasukkan ke dalam troli.

Hmmm, mungkin juga dia boleh mendapatkan inspirasi daripada sumber-sumber di Internet.

"Lily Nadira sebagai pembantu di DesignHouse. Macam tak percaya." Suara garau tersebut membuatkan seluruh urat di dalam tubuh Lily tegang.

Dia mengetap bibir.

Sepatutnya dia tahu sebaik saja lelaki ini kembali, hidupnya takkan sama lagi. Selamat tinggal hidup yang aman dan bebas gangguan.

"Kalau aku kenal Lily yang dulu, dia bukan jenis yang suka menerima arahan apatah lagi bekerja di bawah orang." Jay menghentikan langkahnya bersebelahan Lily dengan senyuman sinis yang sememangnya menjadi tanda pengenalan buat lelaki itu.

"Junior designer." Lily membetulkan, kembali menolak troli dengan hati yang bengkak.

Jay menuruti langkahnya.

"Apa kau buat kat sini?" soal Lily.

"Kebetulan," jawab Jay sepatah.

Lily tergelak.

"Hah, 'kebetulan' Kuzer Harmy tak boleh pakai."

"Tepat sekali, jadi kenapa kau tanya lagi?" Ringan saja tangan Jay memasukkan beberapa bungkus makanan ringan ke dalam troli, tidak mengendahkan jegilan Lily. Sengaja mahu menyakat.

ONCE UPON A TIMEWhere stories live. Discover now