Kedua-dua belah tangan Hajah Zanariah menekup mulut, diselubungi rasa terharu dan tak percaya. Sedaya upaya dia cuba menahan air matanya yang mula membanjiri tebing mata daripada mengalir.
Pantas saja ditarik tubuh tinggi lampai itu ke dalam pelukan eratnya, lama. Menghilangkan segala rasa rindu yang memenuhi ruang hati tiap tidur dan jaganya. Rindu seorang ibu kepada anak yang lama menjauh.
Namun begitu, pelukannya tidak berbalas. Anak bujangnya itu hanya membatu tanpa sebarang reaksi lantas mewujudkan kebekuan yang Hajah Zanariah sedar selalu hadir antara mereka.
Pelukannya dilepaskan. Kali ni matanya dibiarkan meneliti anak itu daripada rambut sehingga ke hujung kaki. Menyimpan kemas segala perincian tentang Kuzer Harmy ke dalam ingatan tuanya. Bekalan sekiranya ini adalah pertemuan terakhir mereka dan Jay sekali lagi pergi jauh.
Sudah dewasa anaknya ini. Semakin juga menjauh daripada kedua-dua ibu bapanya. Naluri keibuannya tersentuh.
Sedih apabila mengenangkan masa bersama anak-anak yang dibiarkan berlalu begitu saja. Tak peduli untuk melihat mereka membesar dek kelekaan Juwaidi bekerja dan berusaha untuk menyediakan sebuah kehidupan sempurna buat keluarga mereka.
Dalam pada itu, dia lupa akan tanggungjawabnya sebagai seorang ibu. Gagal menguruskan keluarganya dengan baik dan dia faham kalau Sheila, Athira atau pun Kuzer berasa marah. Mereka berhak untuk punya perasaan sebegitu setelah dia tak mempedulikan hak mereka sebagai seorang anak.
"Lama mama tak jumpa Kuzer. Sihat?" Tapak tangannya menekap wajah anak itu, matanya melimpah dengan kasih dan rindu.
Satu emosi yang buat Jay rasa janggal dan aneh, seperti dalam drama pula. Tak benar dan lakonan cuma. Dadanya terasa sesak.
26 tahun dan baru sekarang nak tunjukkan kasih sayang. Bukankah dah terlalu lambat untuk itu?
"Sihat. Bersedia untuk terima apa juga bentuk hukuman yang mama dan abah nak jatuhkan." Dia menapak ke belakang menjauhi ibunya sambil mendepakan tangan. Pulang juga dia ke rumah ini yang selama 22 tahun menjadi tempat dia berteduh. Itu pun setelah penat berdebat dengan ketidakrelaan yang merupakan penghalang utama kepada kakinya untuk melangkah ke sini.
Hajah Zanariah menyeka air matanya seraya menggeleng. Bibirnya mengukir senyuman tulus, menjentik tangkai hati Jay.
Namun semudah perasaan itu hadir, semudah itu jugalah Jay menepisnya. Tak perlu dibiarkan berbunga-bunga, kelak bila lakonan ini berakhir, sakitnya dia juga yang menanggung. Terlalu lama mengharapkan kasih yang sebegini daripada mamanya dan kesudahannya, dia juga yang kecewa sendiri.
"Perkara lama. Benda dah jadi pun. Tak ada siapa perlu dihukum atau dipersalahkan," ujar Hajah Zanariah seraya menghulurkan tangannya kepada Jay. Teragak-agak sebentar si anak sebelum hulurannya itu disambut.
Mereka beriringan bergerak ke ruang yang begitu menyerlah dengan dekorasi gabungan moden dan juga vintage. Hasil cetusan idea seorang pereka hiasan dalaman terkenal.
"Abah rasanya tengah hari nanti balik. Makan tengah hari sama-sama?" Hajah Zanariah bertanya dengan penuh pengharapan.
Mungkin masih ada waktu untuk memulihkan semula keluarga mereka. Dia sudah mencubanya dengan Athira dan kemajuan itu ada walaupun terlalu kecil untuk diukur.
Apa lagi yang boleh dilakukannya apabila setiap kali dia mengusulkan untuk mereka menghabiskan masa bersama, ada saja alasan Athira untuk mengelakkan diri. Berlainan pula dengan Sheila yang sentiasa gembira apabila dia berkunjung ke rumah. Banyak ragam anak-anak.
Jay menuntaskan mata ke jam di tangan.
Dia masih punya waktu dan dia seratus peratus pasti rancangannya hari ini akan berjalan dengan lancar. Tak ada apa yang lebih membuatkan hatinya senang selain memikirkan itu.
![](https://img.wattpad.com/cover/92411692-288-k141241.jpg)
YOU ARE READING
ONCE UPON A TIME
RomantikTajuk: ONCE UPON A TIME Penulis: Inawza Yusof Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-49-5 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Disember 2016...