Satu malam yang dirasakan terlalu panjang perjalanannya. Hembusan angin menerobos masuk melalui tingkap bilik yang sengaja dibuka bagi memberi peluang kepada ketenteraman malam bertandang. Tiada taburan bintang menghiasi langit hitam pekat itu malam ini, memberi petanda mungkin hujan akan turun membasahi bumi bila-bila masa nanti. Satu rahmat daripada Sang Pencipta.
Lily Nadira berteleku di tepi tingkap, matanya merenung sesuatu yang tak pasti di kejauhan sana. Dirinya mungkin di rumah, cuba memperdayakan jasad dengan pelbagai pujukan supaya berehat padahal fikirannya tak berada di situ.
Tak habis-habis teringatkan Kuzer Harmy. Mesej Lily, dua puluh kesemuanya dan tanpa menerima sebarang balasan. Membuatkan hatinya bertambah gundah.
Terkenang kembali suatu ketika dulu apabila Jay melakukan hal yang sama. Mengasingkan diri daripada semua orang selepas satu pertengkaran besar dengan bapanya. Seminggu berlalu tanpa sebarang panggilan atau pun mesej sehingga dia dan Ed benar-benar risau.
Di seluruh tempat mereka mencari sehingga akhirnya menemui lelaki itu separa sedar di rumah salah seorang manusia yang tak layak dijadikan teman. Manusia yang membenarkan anak-anak muda bermasalah seperti Jay terus tenggelam dengan bantuan pil-pil khayal yang hanya menjahanamkan.
Keadaan Jay ketika itu cukup menghancurkan hati, tapi Lily tak pernah terfikir sekali pun untuk meninggalkannya. Sudahlah lelaki itu tak punya sesiapa yang benar-benar peduli. Kalau dia juga pergi, kepada siapa lagi Jay nak berharap?
Sekarang, dia risau jika perkara yang sama berulang. Jay tak boleh dipercayai untuk menjaga dirinya sendiri.
Ah, sampai bila dia harus membiarkan lelaki itu memanipulasikan perasaannya dengan kerisauan sebegini?
Telefon bimbit yang diletakkan di atas meja solek bergetar, mengejutkan Lily daripada satu perjalanan memori yang masih lagi menyakitkan. Perlahan dia bergerak ke situ, duduk di atas kerusi bulat membelakangi cermin tinggi. Enggan melihat pantulan kesugulan wajahnya sendiri.
Telefon tersebut didekapkan ke telinga. Desahan nafas berat yang kedengaran sebaik saja panggilan itu berjawab seolah-olah memberitahu Lily akan perkhabaran tidak baik yang bakal disampaikan.
"Ed." Dia memanggil lembut, seolah-olah cuba memujuk.
"I've lost him. Aku dah hilang kawan baik aku." Perlahan Ed berkata.
Lily memejamkan mata. Tangannya yang berlabuh di dada mencengkam kuat baju tidur yang dipakai, umpama dapat merasakan dengan jelas kesakitan di dalam sana.
Salah mengatur langkah dan harganya kini adalah sebuah persahabatan.
Kenapa kau terlalu pentingkan diri, Lily? Dia sepatutnya lebih tahu. Apa yang ada dalam benak ni ketika dia menerima lamaran keluarga Ed dulu?
Imaginasinya melampau kalau dia fikir dia mampu hidup bahagia dengan kawan baik kepada lelaki yang pernah disayanginya... Masih disayanginya. Kebahagiaan yang tak mungkin akan hadir tanpa dia menghancurkan hati sesiapa.
"Jay akan lakukan banyak kesilapan kalau dia marah. Aku yakin dia tak bermaksud apa-apa. Persahabatan kau orang cukup penting buat dia." Lily berkata.
"I thought our friendship could withstand anything, but I thought wrong." Diam sejenak seakan-akan Ed cuba meyakinkan diri sendiri dengan kenyataan tersebut. Kemudiannya lelaki itu mengeluh. Kecewa benar kedengarannya.
"Tak apa, aku masih ada kau. Itu pun dah cukup untuk aku."
Kata-kata yang buat hati Lily tersentuh. Kata-kata yang lantas mengikatnya lebih dalam bersama Zaed Akram. Tak ada ruang lagi kini untuk berpatah balik. Dia tak boleh meninggalkan lelaki itu kini.
YOU ARE READING
ONCE UPON A TIME
RomanceTajuk: ONCE UPON A TIME Penulis: Inawza Yusof Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-49-5 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Disember 2016...