BAB 5

2.1K 48 0
                                        

Ketukan bertalu-talu di pintu membuatkan Zaed Akram yang baru saja melangkah keluar dari bilik mandi sedikit kalut. Menyumpah sendiri, dia terkocoh-kocoh menyarungkan seluar.

Baru saja cadangnya nak melelapkan mata dan merehatkan tubuh yang lesu setelah seharian menempuh perjalanan memenatkan. Nampaknya niat itu terpaksa ditangguhkan dulu meskipun matanya mungkin tak akan bersetuju.

"Kejap!" laung Ed dari dalam bilik.

Rambutnya yang basah dilap sekali lalu dengan tuala sebelum tuala tersebut dicampak ke dalam bakul baju kotor yang hanya menanti masa untuk dihantar ke dobi. Tidak peduli lagi untuk melihat refleksinya di cermin, dia bergerak ke almari lalu mencapai sehelai T-shirt dan melangkah ke ruang tamu dengan hati yang membara.

Ketukan tersebut semakin kuat dan galak, membuatkan darah Ed mendidih.

Sama ada sesiapa saja yang berada di luar sana tak dengar laungannya tadi atau memang sengaja mahu mencari pasal seawal jam 2 pagi begini.

Dia mendengus. Pintu ditariknya dengan kasar.

"Bahagian mana tentang 'kejap' yang kau tak..." Kata-katanya dimatikan oleh rasa tak percaya yang menggunung. Hilang terus rasa mengantuknya, terbang melayang entah ke mana. Effect yang lebih hebat daripada secawan kopi mahu pun Nescafe.

Matanya digosok beberapa kali untuk memastikan dia benar-benar tak bermimpi.

"Helo, Ed." Lelaki tinggi lampai tersebut tersenyum nakal. Senyuman yang selalu dikenakan apabila dia sedang memikirkan sesuatu yang bakal membawa masalah, senyuman yang membuatkan Ed teringat terus kepada berpuluh-puluh rancangan jahat yang pernah mereka jalankan bersama.

Tapi kali ini, senyuman itu mungkin kerana lelaki itu sedar usaha kecilnya untuk menaikkan darah Ed tadi berjalan dengan penuh jayanya.

"Well, I'll be damned. Kuzer Harmy is back." Ed ketawa, menggeleng seolah-olah masih tak percaya dengan kepulangan teman baiknya itu.

Jay turut sama ketawa.

"The one and only. Boleh tak sekarang kau benarkan aku masuk atau kau nak tengok kad pengenalan aku dulu?" ujar Jay, mendepakan tangannya seakan-akan sudah bersedia untuk diperiksa.

"Maaflah, bro. Aku masih lagi terkejut. Kau tahu kau ada kesan macam tu ke atas orang. Masuklah, buat macam rumah aku." Ed bergerak beberapa tapak daripada muka pintu untuk memberi ruang kepada Jay menapak masuk.

Menutup pintu, dia berjalan membuntuti Jay ke ruang tamu.

"Oh... By the way, kau pakai baju terbalik," komen Jay dengan bersahaja seraya menghenyakkan punggungnya di atas sofa.

Matanya dibiarkan melata di sekeliling ruang rumah Ed yang tampak kemas dan cantik dekorasi dalamannya. Bersesuaian dengan personaliti temannya itu yang amat mementingkan penampilan.

Sesuatu yang membezakan mereka berdua sebenarnya.

Kuzer Harmy lebih ringkas dengan hanya mengenakan jean serta jaket, manakala Zaed Akram pula takkan dapat dipisahkan daripada Bottega Veneta atau pun Christian Louboutin untuk melengkapkan imejnya sebagai anak seorang naib canselor merangkap penganalisis kewangan.

Penampilannya dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki sentiasa kemas dan rapi. Rambutnya tak pernah dibiarkan panjang walau seinci, wajahnya tak pernah dibiarkan tak bercukur dan pakaiannya sentiasa padan sehingga kadang-kadang Jay terfikir tentang modul apa yang diterapkan di rumah oleh bapa Ed, Profesor Madya Datuk Dr. Zakiy Hassan.

"Bila kau balik?" soal Ed.

"Dua hari lepas. Ed, aku harus cakap yang aku bangga dengan kau. Dah ada syarikat sendiri, rumah sendiri. Aku sentiasa tahu kau berbakat besar."

ONCE UPON A TIMEWhere stories live. Discover now