BAB 10

1.2K 19 0
                                    

Zaed Akram tersenyum sendirian bagai orang tak betul lagaknya. Dia mencapai laptop di atas kaunter dan berlalu ke ruang tamu manakala sebelah tangan lagi menggenggam telefon bimbit.

Baru saja dia melabuhkan punggung di atas sofa, bunyi kunci dimasukkan ke dalam lubang kunci menarik perhatiannya. Menunggu barang sehingga wajah Jay terjengul di muka pintu tanpa sebarang emosi membuatkan Ed berminat untuk merenung kerana dia tahu sahabatnya itu tak bergerak seperti yang dirancangkan.

"Apa laporan penyiasatan hari ni, detektif?" Sengaja Ed bertanya.

Sekadar mengangkat bahu, Jay tak cuba untuk memberikan jawapan. Sebaliknya lelaki itu bergerak mematikan televisyen dan membatu seketika di hadapan kotak empat segi tersebut dengan penuh misteri.

Tindakan yang buat Ed tertanya-tanya.

"Jay?"

"Ed."

Mereka berdua saling berpandangan.

Jay tetap diam memeluk tubuh tapi aura beku yang dibebaskannya sudah menerangkan serba sedikit tentang keadaan sebenar kepada Ed.

Lelaki itu baru tahu sesuatu yang tak menyenangkannya dan apa yang Ed ingin tahu kini ialah 'sesuatu' yang mana satu. Masalah dengan menyimpan terlalu banyak rahsia ialah dia mudah keliru dan paranoid.

Apa yang perlu dilakukannya sekarang ialah berlagak normal dan bertenang. Bermacam-macam bahagian Kuzer Harmy yang sudah dia tengok dan terpaksa berdepan. Salah satu daripadanya bukan hal besar.

Kuzer Harmy tak menakutkannya!

"Satu soalan. Kenapa?" Jay memulakan tapi masih tak memberi sebarang klu tentang subjek bicara mereka.

"Aku perlukan kau untuk lebih spesifik lagi. Kenapa apa?"

Temannya itu ketawa, mendatar tanpa sebarang nada. Namun, cukup kasar di pendengaran Ed kerana dia tahu lelaki itu sedang mengejeknya. Sedikit pun tidak percaya dengan lakonan kelas pertamanya tadi.

Tentu saja, penipu handal takkan mudah tertipu.

"I could play this game all night, Ed. You know how much I love games."

"Macam mana aku nak beritahu kalau aku tak tahu apa kau cakapkan ni? Soalan kau yang tergantung tu memerlukan penjelasan, reti tak?"

"Aku nak tahu kenapa kau suruh Aidil ikut aku sepanjang hari?!"

Phewww...

Ed menghela nafas lega walaupun dia tak sepatutnya berasa lega kerana tindakannya itu jelas menaikkan kemarahan Jay. Tapi, keadaan mungkin lebih buruk lagi kalau Jay sedang bercakap tentang soal lain. Jadi, sesungguhnya dia bersyukur.

"Ah, patutlah aku telefon Aidil tadi dia tak angkat! Rupa-rupanya kau dah cakap dengan dia," balas Ed, kembali tenang.

"Aidil Marwan, poetry to nerdy? Tolonglah Ed, kau boleh upah orang yang lebih baik daripada tu," komen Jay.

Ed tersenyum, menggaru-garu keningnya.

"Let me get this straight. Kau marahkan aku sebab suruh Aidil yang ikut kau, bukan kerana privasi kau diceroboh?" Sengaja dia menekan nama Aidil kerana mahu memprovokasi respons daripada Jay. Tangannya mencapai kotak rokok di atas meja, mengeluarkan sebatang lalu menyalakannya. Asap rokok tersebut disedutnya dalam-dalam sebelum membenarkan kepulan asap itu menghiasi ruang udara lalu menghilang beberapa saat kemudian.

Mengecilkan matanya, Jay merenung Ed di atas sehingga ke bawah. Dirasakan temannya seperti seorang model yang keluar terus dari salah satu muka surat majalah Men's Health atau pun GQ.

ONCE UPON A TIMEWhere stories live. Discover now