Sepanjang perjalanan, fokus Jay bukan ke arah jalan raya di hadapan yang tak pernah lengang dengan kenderaan bertali arus. Sebaliknya menerawang jauh bersama perasaannya yang tak keruan.
Tak pernah disangka dia mampu merasa kesakitan sebegini. Bertahun cuba membekukan perasaan dalam usaha untuk melindungi diri, sia-sia cuma kerana ia langsung tak membuahkan hasil.
Kesilapan pertama bermula apabila dia membenarkan manusia lain menetap dalam hatinya sebagai seorang sahabat. Meletakkan mereka di tempat yang cukup penting. Tempat yang tak pernah dibuka untuk sesiapa pun kerana kekurangan dirinya yang tak pernah mampu untuk mempercayai.
Tindakan yang terbukti kini satu kesalahan. Bilalah dia nak sedar sebuah perasaan itu melemahkan?
Memarkirkan Streetfighter 848 merah pemberian abahnya siang tadi, dia terpacak sebentar di situ. Matanya meneliti motosikal 849cc itu di antara rasa percaya dan tak percaya.
Dengan kuasa 132 bhp, motosikal eksotik Itali tersebut merupakan definisi lengkap sebuah gaya dan kepantasan berkelas terbaik. Satu cabaran baru kerana Jay yakin seperti semua rekaan cantik yang lain, motosikal ini juga takkan menjadi sesuatu yang mudah dikawal.
Satu pilihan 'rasuah' yang baik, Tuan Haji.
Kena dengan personalitinya, Jay lebih gemar menunggang motosikal berkuasa tinggi seperti itu daripada memandu kereta. Sesuatu yang sering menimbulkan masalah antaranya dan Lily dahulu.
Wanita itu mungkin sukakan cabaran tetapi membonceng motosikal seperti ini tak pernah wujud dalam kamus hidupnya. Sesuatu tentang tak sesuai dengan penampilannya sebagai seorang gadis feminin lagi lemah lembut.
Hah, betul sangatlah tu!
Menekan butang lif, dia sekadar membalas senyuman seorang wanita yang baru menapak hampir bersama bagasi. Daripada uniformnya, Jay dapat meneka wanita itu seorang pramugari dan baru saja pulang dari bertugas.
"Tinggal sini juga ke? Tak pernah nampak pun?" ramah wanita itu bertanya.
Dan dia tak berminat untuk melibatkan diri dalam sebarang perbualan. Namun sebagai lelaki, harus diakui perempuan tersebut cantik, menarik.
"Tak, singgah rumah kawan," balas Jay.
"I, Nurin. You?" Mata Nurin tak lepas memandang wajahnya seperti juga senyuman mesra yang tak lekang dari bibir wanita itu. Sudah terasa seperti berada di dalam pesawat pula.
Apa cik pramugari ni tak penat ke selepas menempuh perjalanan panjang? Jay berfikir sendiri.
"Hurm, Jay Harmy," jawab Jay seraya mengeluarkan telefon bimbit daripada kocek jaketnya dengan sebelah tangan lagi mengepit helmet. Sengaja berpura-pura sibuk padahal dia sebenarnya cuba mengelak daripada perlu menjawab soalan lain daripada 'teman' barunya itu.
Cantik ke, tak cantik ke, dia tak berminat. Seluruh zaman remajanya dulu sudah digunakan untuk mengejar wanita-wanita seperti ini dan dia lebih matang, begitu juga cita rasanya.
Melangkah masuk ke dalam lif, sikit pun dia tak memandang ke arah pramugari tersebut. Berharap wanita bernama Nurin itu akan faham penolakan sosial halus sebegitu.
Sepuluh tahun terlambat, Cik Nurin. Dia sudah buat satu pilihan suatu ketika dulu dan pilihannya tetap sama kini.
"Girlfriend?" Nurin bertanya, membuatkan Jay tertanya seketika tak memahami. Dan apabila wanita itu menjuih ke arah telefon bimbit di tangan barulah dia mengerti.
Ting!
Jay menghela nafas lega. Terselamatlah dia daripada terus berdepan dengan soalan yang mungkin nanti lebih mendalam.
YOU ARE READING
ONCE UPON A TIME
RomanceTajuk: ONCE UPON A TIME Penulis: Inawza Yusof Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-49-5 Harga: RM29.00 (Semenanjung) // RM32.00 (Sabah & Sarawak) TERBITAN EKSKLUSIF - AKAN MULA DIJUAL DI EKSPO BUKU MALAYSIA 2016 bermula 14-18 Disember 2016...