BAB 6

1.6K 33 0
                                    

Matahari yang masih terlindung di sebalik awan mula mewarnai alam dengan serakan cahayanya, menandakan permulaan satu lagi hari baru. Burung-burung sudah dahulu bangun menceriakan sekeliling dengan kicauan tanpa henti, mencipta satu kedamaian yang terlalu dekat dengan jiwa.

Rata-rata orang sedang sibuk bersiap sama ada untuk ke tempat kerja mencari rezeki ataupun ke sekolah menuntut ilmu. Semua tak terlepas daripada tanggungjawab yang menjanjikan sebuah kehidupan lebih baik.

Bagi Maira Sheila, dia lebih selesa menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Mendedikasikan seluruh harinya kepada dua orang anak serta suami tercinta. Selama sembilan tahun dia menguruskan keluarga di rumah, tak pernah sekali pun dia menyesal kerana meninggalkan kerjayanya meskipun papa serta mamanya pernah berkeras tak bersetuju.

Walaupun dia tak pernah mengutarakannya tapi Sheila sebenarnya tak mahu menjadi seperti ibunya. Sentiasa sibuk mengejar dunia kerjaya sehingga mengabaikan keluarga. Seawal usia lima tahun lagi dia sudah belajar menjaga diri sendiri serta adik-adiknya. Berkongsi cerita dengan pembantu rumah yang bertukar ganti berbanding kedua-dua ibu bapanya yang sepatutnya sentiasa berada di sisi.

Sheila menuang kopi yang masih berasap ke dalam cawan suaminya. Matanya dilirik ke arah si kembar yang sedang mengunyah roti bakar, berbisik sesama mereka dan kemudian tertawa.

"Terima kasih," ucap Umar yang kini turut tertarik dengan gelagat kedua-dua anak mereka. Dia memandang Sheila tapi isterinya sekadar mengangkat bahu.

"Apa senyum-senyum ni?" Umar bertanya.

Si kembar tersebut saling berpandangan, berkongsi satu sengihan nakal lalu menggeleng. Gelengan yang Umar dan Sheila sendiri tahu bermakna sesuatu bukan tak ada apa-apa.

"Saya dengar adik awak dah balik." Tumpuan Umar beralih semula kepada Sheila yang baru duduk di sisi.

Sheila mengerutkan dahi.

"Baru semalam angah beritahu dia balik sini minggu depan. Hmmm... Ada perubahan jaduallah tu."

"Bukan adik awak yang itulah. The infamous Kuzer Harmy."

Hampir tersedak Sheila mendengar nama itu disebut. Cepat-cepat dia mengambil tisu lalu mengelap mulutnya.

Adik lelakinya yang tak pernah peduli untuk membalas e-mel mahu pun panggilan telefonnya. Memilih untuk mendiamkan diri sepenuhnya seolah-olah kalau mungkin, memutuskan semua yang menghubungkan dia dengan kehidupannya di sini.

Kalau sudah setekad itu, kenapa pulang sekarang?

Meskipun mama melarang tapi Sheila tak pernah berputus asa untuk memujuk Jay supaya kembali ke sini. Satu usaha yang sia-sia tapi sekurang-kurangnya dia mahu adiknya itu tahu yang dia tak pernah bersendirian dan ada orang yang menyayanginya selalu.

Dan walaupun Jay dulunya tak pernah berhenti menyusahkan hidup Umar, tak sudah-sudah mencipta masalah antara mereka, tapi Sheila yakin Jay mampu menjadi seseorang yang lebih baik.

"Took him long enough. Mana abang tahu?"

Umar menyudukan nasi goreng ke dalam mulut, mengunyah beberapa ketika. Sengaja pula membiarkan isterinya itu tertanya-tanya sendiri.

"Abah beritahu semalam. Dia tinggal kat hotel."

"Kenapa dia tak balik rumah saja? Pelik-pelik sungguh budak tu."

"Duit banyak sangat kut sampai tak tahu nak buat apa. Oh, he's staying at a competitor's hotel, I might add." Untuk itu, satu tamparan hinggap ke lengannya.

Umar sekadar tersengih.

"Hari ni biar saya hantar budak-budak ke sekolah. Hafiz, Haikal, salam mama. Jom, nanti jalan sesak." Air kopinya diteguk untuk terakhir kali sebelum bergerak ke pintu.

ONCE UPON A TIMEWhere stories live. Discover now