SEMUA mata tertumpu pada susuk tubuh yang baru sahaja melangkah masuk melalui pintu utama bangunan Golden Empire. CEO Golden Empire itu tampak segak sekali dengan sut hitam yang tersarung kemas di tubuhnya.
Aura Datuk Syed Muhammad Thaqif Al-Emran sudah cukup membuatkan semua mata tidak lepas memandangnya termasuklah kakitangan lelakinya. Cepat-cepat mereka menunduk hormat sebaik lelaki itu melintasi mereka.
"Selamat pagi, Datuk."
"Assalamualaikum, Datuk." Beberapa suara mula menyapanya.
Datuk Syed Thaqif tersenyum membalas setiap sapaan para pekerjanya. CEO Golden Empire ini memang seorang yang sangat merendah diri dan merupakan seorang majikan yang sentiasa menjaga kebajikan para pekerjanya. Raut wajahnya yang putih berseri itu sentiasa tenang dan penuh dengan senyuman.
Sekali pandang Datuk Syed Thaqif ni macam ada kacukan orang Arab sikit. Dua kali pandang macam ada kacukan mat salih tapi kali ketiga pandang, memang nampak pure Melayu tu. Kira kalah la semua hero yang ada dekat Malaysia ni kalau nak dibandingkan dengan Datuk Syed Thaqif.
"Handsome la bos hari ni," bisik beberapa orang staf wanita saat melihat Datuk Syed Thaqif yang baru sahaja melintasi mereka. Datuk Syed Thaqif yang mendengar tersenyum lebar sebelum menghentikan langkah dan berpaling ke arah beberapa staf wanita di situ.
"Bukan setiap hari saya handsome ke?" ujarnya bersama senyuman panjang. Sempat dikenyitkan sebelah matanya sebelum kembali mengatur langkah ke bilik pejabatnya. Apa lagi, mula la kedengaran jeritan kecil daripada beberapa staf wanita di situ sebaik Datuk Syed Thaqif meninggalkan mereka. Mana-mana wanita pun pasti akan menjerit kesukaan sekiranya ditegur lelaki setampan Datuk Syed Thaqif itu.
"Morning, bos!" ujar Amar ceria sekali sebaik melihat kelibat bosnya. Setiausaha kepada Datuk Syed Thaqif itu telah berkhidmat hampir lima tahun di syarikat tersebut malah dia cukup kenal benar dengan sikap CEO Golden Empire a.k.a Datuk Syed Muhammad Thaqif Al-Emran.
"Morning, Am," balas Datuk Syed Thaqif sebaik tiba di hadapan meja setiausahanya itu.
Tanpa dipinta, Amar terus mengekori Datuk Syed Thaqif masuk ke biliknya. Datuk Syed Thaqif akui dia sangat selesa dengan Amar dan kagum dengan prestasi kerja yang ditunjukkan oleh setiausahanya itu. Amar memang seorang pekerja yang boleh dipercayai.
Lagipun, Amar la setiausahanya dan Amar jugalah yang merangkap pembantu peribadinya. Inilah kelebihannya jika jawatan setiausaha diberikan kepada lelaki. Senang sikit nak arah buat macam-macam.
"Pukul sepuluh nanti bos ada meeting dengan wakil dari Megah Holdings berkaitan dengan sponsorship tu dan pukul dua bos ada lagi satu meeting dengan wakil dari Vistana Holdings Berhad berkaitan dengan projek penubuhan Kolej Yayasan Al-Fateh," beritahu Amar sebaik sahaja Datuk Syed Thaqif melabuhkan punggung di atas kerusi besarnya.
"Aku akan hadir meeting dengan Megah Holdings tu tapi boleh tak kau suruh Razak gantikan aku untuk meeting pukul dua nanti?" balas Datuk Syed Thaqif. Beberapa fail di atas meja mula dibeleknya.
"Baik, bos."
"Make sure after meeting kau suruh Razak update dengan aku," ujar Datuk Syed Thaqif lagi. Amar hanya mengangguk laju mengeyakan kata-kata bosnya itu.
"Tapi bos, sampai bila bos nak mengelak dari jumpa dia orang?" soal Amar dengan berani.
Sebenarnya jarang sekali dia mendengar bosnya ini menolak untuk hadir mana-mana meeting tetapi bila dengan Vistana Holdings pasti Datuk Syed Thaqif berusaha untuk tidak menghadirinya. Padahal dia bukannya sibuk dengan kerja lain pun. Asyik hantar orang tengah aje untuk handle semua mesyuarat. Tak ke pelik namanya tu? bebel Amar dalam hati.
"Belum sampai masa lagi aku nak jumpa dia orang. Nanti-nantilah," balas Datuk Syed Thaqif.
Amar masih belum berpuas hati dengan jawapan bosnya itu.
"Ni mesti sebab princess bos tu, kan?" soal Amar lagi. Datuk Syed Thaqif mengangguk lemah akhirnya. Wajahnya diraup beberapa kali.
"Isy... Isy... Bos ni semua benda hebat. Tapi bab cinta failed. Sampai bila la bos nak sembunyikan diri dari dia? Tak takut nanti disambar orang lain ke?" bebel Amar panjang lebar.
Dah memang betul bosnya itu memang lambat sikit bab cinta ni. Bukannya dia tidak tahu bahawa Datuk Syed Thaqif sudah lama memendam perasaan terhadap seorang perempuan yang sering kali dipanggilnya sebagai princess itu. Sampai bila dia nak bersembunyi dari perempuan tu? fikir Amar dalam hati.
"Kau ni la. Tak habis-habis nak takutkan aku. Aku tahu la apa yang aku buat. Tengok aje la nanti," balas Datuk Syed Thaqif bersahaja.
"Tengok-tengok dia dah kahwin dengan orang lain. Padan muka bos. Melepas la. Buat penat aje bos memendam rasa bertahun-tahun." Selamba sahaja Amar berkata.
Otak Datuk Syed Thaqif ligat memikirkan sesuatu. Sebenarnya, ada betul juga kata-kata setiausahanya itu. Sampai bila dia nak memendam rasa begini? Sudah berbelas tahun rasanya dia memendam perasaannya ini. Aku perlu lakukan sesuatu, ucapnya dalam hati.
"Cinta diam-diam ni tak best la, bos. Nak saya ajarkan bos tak?" ujar Amar bersungguh-sungguh.
Meletus ketawa kecil Datuk Syed Thaqif mendengar kata-kata setiausahanya itu.
"Kalau kau pandai sangat bab cinta ni, kenapa sampai sekarang kau tak kahwin-kahwin lagi?" Giliran Datuk Syed Thaqif pula yang memerli rapat setiausahanya itu. Amar tersengih panjang di hadapan Datuk Syed Thaqif.
"Errr... Saya tunggu bos la. Lepas bos kahwin, baru saya kahwin," jawab anak muda yang berusia dua puluh enam tahun itu.
"Calon dah ada?" soal Datuk Syed Thaqif lagi.
Amar cepat-cepat menggaru kepalanya yang tidak gatal itu. Niat dalam hati nak kenakan bos tapi aku pula yang terkena, kata Amar dalam hati.
"Errr... Calon... Errr... Mak saya tolong carikan nanti," balas Amar pendek. Ingatannya tiba-tiba teringatkan sesuatu.
"Baru saya teringat bos, tadi Puan Sri ada call sini. Dia pesan suruh bos dinner dekat rumah malam ni. Dia nak kenalkan bos dengan anak kawan dia, Datin Rashidah," beritahu Amar.
Datuk Syed Thaqif mula membuat muka bosannya. Mama pun satu. Tak habis-habis nak kenalkan aku dengan anak kawan-kawan dia, omel Datuk Syed Thaqif dalam hati.
"Kesian dekat Puan Sri. Dah lama teringin nak ada menantu tu. Bos ni cepat la sikit cari isteri," sambung Amar bersama ketawa kecil di hujung katanya. Datuk Syed Thaqif menjeling geram.
"Tunggu aje la kad jemputan aku kahwin pertengahan tahun ni," balas Datuk Syed Thaqif.
Amar tersenyum panjang mendengarnya. Harap betul la apa yang diperkatakan bosnya itu.
"Amin! Harap-harap menjadi ya, bos? Saya tengok ramai aje perempuan yang beratur panjang nak isi borang jadi isteri bos. Tapi bos ni jual mahal sangat. Tak payah la tunggu princess tu. Dia ingat pun tidak dekat bos." Panjang lebar Amar berkata. Dah macam seorang kaunselor pun ada. Tak habis-habis menasihati bosnya itu.
Datuk Syed Thaqif hanya tersenyum mendengarnya. Bagus betul ada setiausaha yang tak jemu-jemu nak nasihat aku ni, desisnya dalam hati.
"Daripada kau nasihatkan aku, better kau cari calon isteri kau yang belum muncul-muncul lagi tu. At least, aku dah ada calon. Cuma tunggu masa yang sesuai aje. Aku takut kau yang jadi bujang terlajak pula nanti," jawab Datuk Syed Thaqif bersama gelak tawa kecilnya.
Amar memuncungkan bibirnya. Balik-balik aku juga la yang kena. Susah la bercakap dengan orang atasan ni, bebel Amar dalam hati.
"Saya keluar dulu la, bos. Makin lama, makin terbakar pula saya duduk dalam ni," ujar Amar sebelum mula mengatur langkah untuk keluar dari bilik itu.
Datuk Syed Thaqif menghantar pergi kelibat setiausahanya itu dengan gelak tawa besarnya. Pasti ada sahaja gelagat Amar yang mencuit hatinya.
YOU ARE READING
CALON MENANTU DADDY
General FictionTajuk: Calon Menantu Daddy Penulis: Una Unee Penerbit: karyaseni Isbn: 978-967-469-043-4 Harga: RM34.00 (semenanjung) // RM37.00 (sabah & Sarawak) Terbitan : Mac 2017 Kerana tekad untuk anak kesayangannya berubah, Tan Sri Megat Khalid telah mengambi...