SUDAH masuk dua pusingan Datuk Syed Muhammad Thaqif Al-Emran berjoging mengelilingi taman tasik itu. Nafasnya juga sudah mula tercungap-cungap. Kelajuan lariannya juga makin perlahan dan perlahan.
Beginilah rutin harian Syed Thaqif. Dia memang seorang yang kuat bersukan dan sangat menitikberatkan tentang penjagaan tubuh badan.
Kebiasaannya, Syed Thaqif akan turun berjoging tiga kali dalam seminggu manakala hari lainnya pula dipenuhi dengan sukan lain seperti tenis, badminton, renang dan gimnasium. Oleh sebab itulah dia memiliki tubuh badan yang sangat sasa, sado, tiptop dan macam-macam lagi la.
"Hai mister bujang terlajak laris." Sapaan seseorang mengejutkan Syed Thaqif yang sedang berlari anak itu. Bibirnya tersenyum panjang mendengar panggilan itu. Faris Hakimi atau teman baiknya itu memang selalu sangat memanggilnya dengan panggilan itu.
"Kau pun dua kali lima dengan aku, Is. Cuma kau ni bujang terlajak aje. Tak ada laris sebab kau tak laris macam aku. Hahaha," usik Syed Thaqif pula.
Pecah tawa besar Faris Hakimi mendengar gurauan temannya itu. Syed Thaqif kembali berjoging diikuti dengan Faris Hakimi yang turut berjoging di sisinya.
"Excuse me! Aku lagi dua bulan tau nak kahwin. Kau tu yang masalah sekarang. Entah bila la nak kahwin?" rungut Faris Hakimi.
"Ni dah kenapa? Datang-datang aje terus cakap bab kahwin. Kenapa lewat?" soal Syed Thaqif pula. Selalunya Syed Thaqif akan turun beriadah bersama teman baiknya itu cuma awal tadi Faris Hakimi ada memberitahu bahawa dia mungkin akan datang lewat sedikit. Ni tak lain tak bukan mesti asyik berkepit dengan tunang kesayangan dia, duga Syed Thaqif.
Faris Hakimi tersengih mendengar pertanyaan Syed Thaqif itu.
"Errr... Biasa la, Qif. Aku pergi cari barang hantaran tadi dengan Lisa. Aku bukan apa, disebabkan tak lama lagi aku bakal jadi suami orang, jadi aku pun nak kau turut sama jadi suami orang. Hahaha," ujar Faris Hakimi bersama tawa kuatnya.
"Habis tu kau nak aku kahwin dengan Lisa juga? Bermadu la kita, Is," seloroh Syed Thaqif.
Terus mati tawa Faris Hakimi. Wajah cerianya juga sudah bertukar kelat. Giliran Syed Thaqif pula menghamburkan tawa sebaik melihat muka kelat teman baiknya itu.
"Aku serius la, Qif. Kau ni sengaja kan nak buat lawak bodoh dengan aku?" ujar Faris Hakimi berbaur merajuk. Kita serius, dia boleh pula main-main.
Tawa besar Syed Thaqif sudah bertukar perlahan. Joging pun sudah hilang entah ke mana dan kini mereka hanya berjalan kaki mengelilingi taman tasik itu.
"Aku bergurau aje, Is. Kenapa yang kau nak aku kahwin sangat ni? Kau aje la yang kahwin dulu. Aku nanti-nanti la," balas Syed Thaqif.
"Aku tak nak kau keseorangan, Qif. Nanti masa aku lebih banyak dihabiskan dengan wife aku. So, kau akan sorang-sorang. Kau akan sedih, sepi dan aku takut kau akan gila tanpa aku di sisi kau," ucap Faris Hakimi dengan nada suara yang cuba dibuat sesedih mungkin.
Bahu Syed Thaqif juga dipeluknya kejap. Malah, kepalanya juga sengaja dilentokkan ke bahu Syed Thaqif. Mereka diibaratkan seperti sepasang kekasih yang tidak mahu berpisah tetapi terpaksa berpisah demi kebahagiaan masing-masing.
Syed Thaqif mengangkat sebelah keningnya. Bahu Faris Hakimi ditepuknya lembut seolah-olah sedang memujuk.
"Masalah sekarang ni kenapa kau curang dengan aku, Is? Kenapa kau pilih Lisa berbanding aku? Apa kurangnya aku, Is? Kenapa, Is?"
Tu dia... Giliran Syed Thaqif pula tunjuk bakat lakonannya di situ.
"Maafkan Is, Abang Qif. Is cintakan abang tapi Is lagi cintakan Lisa. Hahaha..." balas Faris Hakimi dengan riangnya.
Cut! Bagaikan mendengar jeritan cut daripada seorang director, Syed Thaqif serta-merta menolak jauh kepala Faris Hakimi dari bahunya. Ada beberapa pasang mata yang asyik merenung ke arah mereka. Nanti tak pasal-pasal orang cap yang kami ni gay pula. Dah la sengaja menunjukkan keintiman di khalayak ramai. Habis la imej aku lepas ni, kata Syed Thaqif dalam hati.
"Kau kahwin aje la, Is. Tak payah nak risaukan aku. Hujung tahun ni aku kahwin la," ujar Syed Thaqif kembali tetapi kali ini dengan wajah yang lebih serius. Terus hilang ke mana drama pendek mereka sebentar tadi.
"Eleh! Dah berapa kali hujung tahun kau cakap kat aku? Tapi sampai sekarang tak kahwin-kahwin pun. Kau ni lambat bertindak la, Qif. Cer masuk meminang terus puteri raja yang kau cinta sangat tu." Selamba Faris Hakimi berkata.
"Kau cakap senang la Is tapi aku ni yang nak menanggungnya. Aku ni cuma cinta dia diam-diam aje. Dia langsung tak sedar akan kehadiran aku. Inikan pula nak pergi masuk meminang. Tak pasal-pasal kena halau dengan bapa dia," jawab Syed Thaqif pula.
"Ada orang pernah cakap dekat aku, kalau nak anak kena tackle bapa dan maknya dulu. Cer kau try tackle bapa dia dulu. Mana tahu rezeki kau, kan? Tapi kan Qif, kenapa la kau cintakan orang yang tak pernah sedar pun kehadiran kau? Tak bosan ke bercinta sorang-sorang macam ni?" soal Faris Hakimi penuh hairan.
Sebenarnya dia mula mengenali Syed Thaqif sejak mereka sama-sama belajar di luar negara lagi. Pada mulanya dia merasakan Syed Thaqif memang seorang yang sangat kuat berahsia kerana dia tidak gemar menceritakan perkara peribadinya kepada sesiapapun.
Namun, bila makin lama kenal dengan Syed Thaqif, barulah dia tahu sedikit demi sedikit tentang keluarga dan kisah hidup Syed Thaqif. Apa yang dia boleh simpulkan, Syed Thaqif adalah seorang anak muda yang berjiwa kental dan sentiasa bersemangat dalam setiap perkara yang dia lakukan. Dia sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik dengan Allah S.W.T.
"Aku tak bercinta dengan orangnya tapi aku bercinta dengan Pencipta dirinya. Aku tak kesah sekiranya kehadiran aku tak dilihat, cukuplah Allah aje tahu niat aku yang sebenar. Aku serahkan pada ketentuan Ilahi, Is. Yang aku mampu hanyalah berdoa dan terus berdoa supaya pilihan yang aku buat ini adalah tepat dan diredai-Nya. Aku yakin akan sampai satu masa di mana Allah akan kabulkan semua permintaan aku itu. Insya-Allah," jawab Syed Thaqif dengan tenang.
Faris Hakimi hanya tersenyum mendengar kata-kata teman baiknya itu. Bila ditanya soal cinta dan jodoh, pasti inilah jawapan yang sering diberikan oleh Syed Thaqif. Semuanya atas ketentuan Ilahi.
"Insya-Allah, Qif. Aku yakin Allah dengar doa kau dan aku doakan supaya apa yang kau hajati akan termakbul. Amin," ujar Faris Hakimi.
Syed Thaqif tersenyum lebar mendengar kata-kata teman baiknya itu. Aku dah cukup beruntung ada teman baik macam kau, Faris, bisik hati Syed Thaqif.
"Thanks, Is. Dah la. Yang penting sekarang ni persiapan kau nak bergelar suami orang tu. Dah betul-betul bersedia ke? Kau bakal galas satu tanggungjawab besar tau," pesan Syed Thaqif.
Faris Hakimi mencebik bibirnya. Gaya Syed Thaqif bercakap dah macam dia pernah melalui alam perkahwinan pula. Padahal aku yang nak kahwin dulu, kutuk Faris Hakimi dalam hati.
"Aku takut sebenarnya, Qif." Pendek sahaja kata-kata Faris Hakimi.
"Apa yang kau takut sangat ni?" soal Syed Thaqif bersama kerutan di dahinya. Pelik pula kawan aku ni. Orang kalau menghitung hari nak kahwin ni tentulah gembira tak terkata, dia boleh pula rasa takut. Dah kenapa? Tertanya dia sendiri dalam fikirannya.
"Aku paling takut waktu nak lafaz akad nikah nanti. Takut tergagap. Nama Lisa panjang sangat. Tak pasal-pasal aku pergi sebut Lisa Surihani ke nanti? Aishhh... Takut la," beritahu Faris Hakimi.
Terburai ketawa Syed Thaqif mendengar luahan temannya itu. Ada ke pula takut nak lafaz akad nikah tu? Hahaha. Bila difikirkan balik, memang la takut juga sebenarnya, nervous pula tu. Tapi...
"Macam ni la, Is. Apa kata kau practice dulu siang malam? Hafal sebelum tidur. Confirm nanti sekali lafaz aje," cadang Syed Thaqif.
Faris Hakimi cuba tersenyum mendengar nasihat Syed Thaqif itu walaupun dalam hati hanya Allah yang tahu betapa gemuruh dirinya menunggu saat-saat bahagia itu.
YOU ARE READING
CALON MENANTU DADDY
General FictionTajuk: Calon Menantu Daddy Penulis: Una Unee Penerbit: karyaseni Isbn: 978-967-469-043-4 Harga: RM34.00 (semenanjung) // RM37.00 (sabah & Sarawak) Terbitan : Mac 2017 Kerana tekad untuk anak kesayangannya berubah, Tan Sri Megat Khalid telah mengambi...