Bab 15

7.2K 159 60
                                        

PUAN SRI HARLINA melangkah mendekati Syed Thaqif yang sedang duduk di ruang tamu rumah mereka. Anak lelakinya itu dilihat sedang termenung sahaja sejak dari tadi lagi. Di tangan Syed Thaqif pula ada sekeping gambar yang sentiasa menjadi penemannya.

"Muhammad Thaqif," panggil Puan Sri Harlina perlahan. Jauh sungguh anaknya mengelamun sehingga panggilannya juga tidak didengari.

Pegangan lembut di bahu Syed Thaqif mengejutkannya. Wajah manis Puan Sri Harlina dipandang lama. Cepat-cepat sekeping gambar di tangan disorokkan ke bawah pahanya. Air mata yang seakan-akan ingin menitis segera disekanya.

"Jauhnya anak mama ni mengelamun. Tengah fikirkan siapa ni?" soal Puan Sti Harlina sebaik melabuhkan punggung di sebelah anaknya itu.

Syed Thaqif cuba mengukir senyuman tipis.

"Qif teringatkan anak-anak. Rindu pula dekat dia orang. Lately ni Qif busy sangat sampai tak sempat nak jenguk mereka dekat sana," luah Syed Thaqif.

"Mama tengok Qif ni bekerja kuat sangat. Ambil la cuti sekali-sekala. Pergi melawat mereka dekat sana," cadang Puan Sri Harlina.

Syed Thaqif mula mengukir senyuman lebar.

"Tu la, ma. Qif ingat hujung minggu ni nak balik Kedah. Nak tengok dia orang tu," beritahu Syed Thaqif.

Puan Sri Harlina tersenyum panjang. Anak lelakinya ini kuat benar bekerja. Pagi petang, pagi petang asyik dengan kerjanya sahaja. Kalau tak sibuk dengan kerja, mesti sibuk dengan anak-anaknya pula. Sekejap ada aktiviti tu, sekejap ada aktiviti ni. Bila la agaknya dia nak dapat menantu? Kempunan dia nak tengok anaknya kahwin.

"Berapa hari Qif nak balik sana? Jangan duduk lama-lama sangat nanti mama rindu," luah Puan Sri Harlina.

Meletus ketawa kecil Syed Thaqif. Tersenyum panjang dia melihat wajah mama kesayangannya itu.

"Macam biasa la, mama. Mungkin tiga empat hari aje. Qif pun tak nak lama-lama nanti Qif akan rindu mama juga," ujar Syed Thaqif.

Giliran Puan Sri Harlina pula melepaskan tawa kecilnya. Terhibur mendengar kata-kata anaknya itu.

"Macam tu la anak mama. Sayang, esok dinner dengan mama tau. Mama jemput Datin Faridah dan anak perempuan dia Hanna, dinner dekat sini," cerita Puan Sri Harlina.

Syed Thaqif mula menarik wajahnya. Cepat sahaja wajahnya bertukar rupa. Rimas bila Puan Sri Harlina mula bercakap soal ini. Rajin sungguh mamanya ni jemput teman-temannya datang ke rumah.

"Hanna mana pula ni? Mama, Qif belum bersedia nak serius dengan mana-mana perempuan buat masa ni," balas Syed Thaqif. Puan Sri Harlina ni tak habis-habis nak kenalkan Syed Thaqif dengan anak kawan-kawan dia.

"Hanna tu baik tau. Sopan santun pula tu. Memang sesuai dibuat isteri. Mama tengok Qif dengan dia macam sepadan aje," kata Puan Sri Harlina.

"Qif tak kenal pun dia siapa. Lagipun, biar la Qif cari sendiri pilihan hati Qif."

"Masalahnya sampai sekarang mama tengok Qif tak pernah bawa balik mana-mana perempuan pun datang jumpa mama dan papa. Dua puluh empat jam asyik berkepit dengan kerja Qif dan anak-anak. Bila sayang nak fikir pasal kahwin ni? Tak kesian dekat mama ke?" Panjang lebar Puan Sri Harlina membebel.

"Tipu la kalau Qif tak pernah fikir pasal kahwin. Cuma mungkin masanya belum tiba lagi. Sabar ya, mama?" ujar Syed Thaqif bersungguh-sungguh.

"Cepat sikit tau Qif, cari calon isteri. Tak sabar mama nak ada menantu ni," usik Puan Sri Harlina.

"Don't worry, mama. Insya-Allah, dalam masa pertengahan atau hujung tahun ni mama akan dapat menantu," balas Syed Thaqif dengan begitu pasti.

Puan Sri Harlina turut tersenyum. Wajah anak lelakinya itu ditatap lama. Senyuman yang terukir di bibir anaknya itu seakan-akan dibuat-buat. Ada duka yang terpamer di sebalik wajah yang seakan-akan nampak ceria itu. Ubun kepala Syed Thaqif diusapnya tiba-tiba.

"Tak perlu nak sorokkan gambar tu dari mama. Mama dah tahu la, sayang. Qif rindu mereka, kan?" ujar Puan Sri Harlina tiba-tiba. Belakang tubuh Syed Thaqif diusapnya perlahan.

Syed Thaqif cuba tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Gambar yang disorok sebentar tadi segera dikeluarkannya. Lama matanya merenung gambar di tangannya itu. Di dalam gambar tersebut jelas terpancar kebahagian sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak mereka. Wajah empat beranak itu kelihatan tersenyum gembira.

Perlahan-lahan jari-jemari Syed Thaqif mengusap wajah lelaki, wanita dan kanak-kanak perempuan di dalam gambar tersebut. Air mata yang cuba ditahan mula bertakung kembali di kelopak mata sendu itu. Sungguh, dia begitu rindukan mereka.

"Umi... Abi... Adik... Qif rindu semua," ujar Thaqif perlahan.

Puan Sri Harlina turut sebak melihat anaknya itu. Kepala Syed Thaqif dibawa rapat ke dadanya.

"Shhh... Sabar, sayang. Banyakkan berdoa untuk arwah umi, abi dan adik Qif. Insya-Allah, mesti mereka tengah tersenyum dekat sana. Lagipun, mama dan papa kan ada dekat sini," pujuk Puan Sri Harlina.

Syed Thaqif tersenyum tipis. Dia tahu Puan Sri Harlina cuba untuk menenangkannya. Syukur alhamdulillah kerana Allah telah kurniakan dia sepasang suami isteri yang begitu menyayanginya.

Thaqif ini hanyalah orang luar, mama. Langsung tiada talian persaudaraan mahupun talian darah di antara mama dan papa tetapi mama dan papa tatang Thaqif bagaikan minyak yang penuh. Hantar Thaqif ke sekolah, beri pendidikan kepada Thaqif, beri kemewahan yang tak berbelah bagi untuk Thaqif. Namun, semua itu tidak membuatkan Syed Thaqif lupa akan asal usulnya yang sebenar. Syed Thaqif asalnya hanya seorang anak kecil yatim piatu yang ditinggalkan di rumah kebajikan. Tanpa Mama Harlina dan Papa Mukhriz, siapalah dia ini? Syed Thaqif mula bermonolog sendirian dalam hati.

Walau bagaimanapun, mana kan sama keluarga angkat dengan keluarga kandung. Jauh di lubuk hati ini dia sentiasa merindui keluarga kandungnya yang terlebih dulu pergi menghadap Ilahi. Dua puluh tahun mereka telah pergi meninggalkannya dan dua puluh tahun ini jugalah dia berusaha menanggung rindu yang tidak dapat diungkapkan dan dilafazkan dengan kata-kata.

Namun, sedalam mana pun rindu yang sudah ditanggung tidak akan mampu dizahirkan kerana yang telah pergi tidak akan kembali. Hanya doa yang dapat dia titipkan untuk mereka di sana.

SYED THAQIF baru sahaja selesai menghabiskan bacaan surah Yasinnya. Perlahan-lahan buku surah Yasin ditutup dan dikucupnya penuh sayu. Batu nisan di hadapan diusap lembut. Rumput-rumput yang baru hendak menjalar keluar segera dicabutnya.

"Mommy Zu..." ujar Syed Thaqif dengan suara seraknya.

"Tak lama lagi Qif akan jumpa dengan anak mommy. Dia dah besar panjang sekarang ni. Cantik pula tu. Senyuman dia saling tak tumpah macam mommy," cerita Syed Thaqif seolah-olah dia sedang bercakap dengan seseorang di hadapannya.

"Dah lama Qif tunggu saat ni. Qif janji akan kotakan janji Qif dengan mommy sebelum ni. Qif tak pernah lupa..."

"Emran?" Belum sempat Syed Thaqif menghabiskan katanya, satu suara yang tiba-tiba menyapa mengejutkan Syed Thaqif. Bayang seseorang sudah pun berada di sisinya. Perlahan-lahan kepalanya didongak ke atas.

"Errr... Uncle," katanya ringkas.

Tan Sri Megat Khalid memandang anak muda di hadapannya itu dengan seribu kedutan di dahi.

"Apa Emran buat dekat sini?" soal Tan Sri Megat Khalid. Masih bingung dirinya apabila melihat Syed Thaqif berada di hadapan pusara arwah isterinya. Pelbagai persoalan mula terlintas dalam benak fikirannya.

"Sa... Saya... Saya ziarah kubur mom... Errr... Aunty..." ucapnya perlahan.

"Errr... Saya janji akan jelaskan semuanya pada uncle lepas ni. Sekarang, saya tunggu uncle dekat kereta dulu," ujar Thaqif apabila melihat wajah kebingungan Tan Sri Megat Khalid. Dia yakin pasti Tan Sri Megat Khalid sudah mula berfikir macam-macam dalam benak fikirannya.

Tan Sri Megat Khalid yang masih kelihatan bingung hanya mampu menganggukkan kepalanya. Harapnya Syed Thaqif akan menjelaskan perkara ini nanti.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 16, 2017 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

CALON MENANTU DADDYWhere stories live. Discover now