Bab 6

4.8K 89 1
                                    

JAM loceng di sisi katil mengejutkan Eleya. Tanpa menunggu lama terus matanya dibuka luas. Cepat sahaja dia bangun hari ini. Tidak pula liat seperti semalam dan hari sebelum ini. Mana taknya hari ini kan merupakan hari istimewanya. Hari ini genap usia Eleya dua puluh empat tahun.

"Daddy... El dah bangun!" jerit Eleya sepenuh hati. Cepat sahaja dia mencapai tuala dan menuju ke bilik air. Wajah cerianya memang tidak boleh disembunyikan lagi. Tidak sabar rasanya untuk mengetahui hadiah istimewa daripada daddynya tahun ini.

Tan Sri Megat Khalid yang sedang bersarapan tersenyum panjang mendengar jeritan kuat anak perempuannya itu.

"Kak Nab tengok la anak bertuah saya tu. Boleh pula dia bangun awal hari ni. Sebelum ni bukan main liat dia nak bangun, tambah-tambah lagi kalau hari bekerja macam ni," ujar Tan Sri Megat Khalid kepada Mak Nab yang merupakan pembantu rumah mereka.

"Kalau Tan Sri nak tahu, dari semalam lagi El tu beria-ia suruh saya kejutkan dia awal pagi hari ini. Tak sabar sungguh dia nak tunggu hari ini," cerita Mak Nab.

Meletus ketawa kecil Tan Sri Megat Khalid.

"Dah besar pun anak saya tu kan, Kak Nab? Sebelas tahun dia hidup tanpa kasih sayang seorang ibu. Mujurlah ada Kak Nab yang tolong jagakan dia untuk saya. Terima kasih, Kak Nab," ucap Tan Sri Megat Khalid.

Sejak pemergian arwah isterinya, Tan Sri Megat Khalid tidak pernah pun berniat untuk mencari ibu baharu buat Eleya. Cukuplah hanya dia yang menjaga anaknya itu. Dia tidak mahu kasih sayangnya dibahagikan nanti.

Sebak pula Mak Nab mendengar ucapan luhur majikannya itu.

"Apalah sangat jasa akak untuk keluarga ni. Kak dah cukup berterima kasih Tan Sri dan arwah Puan Sri ambil kak dan Abang Mat bekerja dekat sini. Lagipun, kak dah anggap El tu macam anak kak sendiri. Dari kecil lagi kak jaga dia," jawab Mak Nab.

Ya, sudah lama pun dia bekerja dengan majikannya itu. Hampir dua puluh lima tahun dia menjadi pembantu rumah di situ. Semuanya bermula apabila arwah Puan Sri Zulaika menawarkan pekerjaan untuk dia dan suaminya.

Asalnya dia hanyalah seorang peniaga nasi lemak manakala suaminya pula hanyalah bekerja sebagai buruh kasar. Mereka memang hidup susah. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Arwah kerap datang membeli nasi lemak darinya sehinggalah akhirnya arwah menawarkan pekerjaan untuk mereka berdua. Layanan daripada Tan Sri sekeluarga memang cukup baik. Malah, Tan Sri dan arwah Puan Sri juga turut menampung semua perbelanjaan untuk anaknya sambung belajar. Dia sekeluarga yang seharusnya berterima kasih kepada Tan Sri Megat Khalid dan arwah Puan Sri Zulaika.

"Saya pun dah anggap Kak Nab dan Abang Mat macam ahli keluarga saya. Mikail tu dah macam anak saya sendiri," balas Tan Sri Megat Khalid dengan senang hati.

Tersenyum lebar Mak Nab mendengar kata-kata Tan Sri itu. Alhamdulillah. Ya Allah, Engkau kurniakanlah pahala yang berlipat ganda kepada Tan Sri sekeluarga, murahkanlah rezekinya dan berkatilah rezeki yang Engkau berikan itu. Amin, doa Mak Nab dalam hati.

"Daddy..." Eleya yang baru sahaja turun dari tingkat atas terus memeluk Tan Sri Megat Khalid dari arah belakang. Sebuah ciuman manja turut melekap di pipi daddynya.

"Morning, Mak Nab," sapa Eleya kepada Mak Nab pula. Tubuh Mak Nab dipeluk manja.

"Cerianya wajah anak Mak Nab pagi ni. Ada apa-apa ke?" ujar Mak Nab. Tan Sri Megat Khalid pula tidak berkata apa-apa. Hanya menikmati sarapan di hadapannya.

"Mak Nab dah lupa la tu. Hari ni kan birthday El," beritahu Eleya penuh dengan senyuman di bibir.

"Tentu la Mak Nab ingat. Selamat hari lahir, sayang. Mak Nab doakan semoga El jadi anak yang baik, dengar cakap daddy, berjaya dalam hidup, bertambah cantik dan ceria selalu," ucap Mak Nab.

CALON MENANTU DADDYWhere stories live. Discover now