Nama aku Benjy, panggilan manja.
Tak perlulah aku beritahu nama sebenar aku, biar yang pendek ini saja, barulah mesra, kan?
Aku tinggal bersama ibuku, Cik Embun dan juga abang serta kakakku.
Bapa?
Hmm, aku tak berbapa.
Maksud aku, aku tak kenal siapa bapa aku. Sedar saja di dunia ini, dia dah tak ada. Bapakah itu kalau tak mengendahkan anaknya?
Ibuku tak pernah ceritakan tentang bapaku dan aku pun tak mahu bertanya akannya. Mungkin juga bapaku telah lari meninggalkan kami sekeluarga. Atau dia sudah mati, mampus terkejang di mana-mana lorong.
Ah, aku tak kisah semua itu. Ada ibu dan adik-beradik yang lain pun sudah kira beruntung. Lama-kelamaan aku dah tak hiraukan pasal bapa.
Kami beruntung diambil untuk tinggal bersama satu keluarga yang amat budiman lagi berperikemanusiaan setelah bersimpati melihat ibuku yang hidup bergelandangan di lorong-lorong di tengah bandar.
Waktu itu aku belum lahir lagi. Aku dilahirkan setelah ibuku duduk tinggal dengan keluarga yang budiman itu. Mungkin nasib aku tak seberuntung ini andai kami masih lagi hidup di lorong-lorong kotor tersebut.
Ibu dan adik-beradikku yang lain amat mengambil berat akan diriku. Makan minumku cukup terjaga setiap hari. Tiada apa yang kurang.
Tak pernah sehari pun dalam hidup aku ini aku menangis kelaparan. Begitu beruntungnya aku ada ibu yang amat prihatin dan bertanggungjawab.
Hidup aku penuh dengan keriangan, maklumlah, aku anak bongsu. Aku mendapat sepenuh kasih sayang dari ibu serta abang dan kakakku.
Aku dilayan penuh mesra oleh mereka, bahagianya hidup aku.
Namun, hakikat sebenarnya aku derita.
Aku lumpuh.
Ya, lumpuh.
Dua kakiku tak mampu berfungsi sebagaimana layaknya. Lumpuh sejak aku dilahirkan lagi.
Tak pernah aku rasai kenikmatan berjalan secara normal seperti anak-anak lain. Walaupun sering aku bermimpi akannya. Berlari riang ke sana-sini, bermain dengan anak-anak jiran.
Pergerakanku amat terbatas. Hanya mampu mengesot untuk ke sana-sini. Tiada apa yang dapat aku lakukan, cuma mengharapkan ihsan insan lain andai ingin keluar mengambil angin.
Mujurlah tubuh aku tak besar seperti anak-anak lain. Ini menyenangkan sesiapa yang ingin mengangkat atau menggendong aku ke sesuatu tempat tujuan.
Duniaku hanyalah di sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah berkembar di sebuah pekan kecil. Di situlah aku membesar dan mengenali dunia Tuhan yang maha luas ini.
Walaupun pandangan aku terhad pada sekitaran tingkap cermin, namun keletah manusia di luar sana dapat dengan jelas aku perhatikan.
Sejujurnya, itulah satu bentuk ketenangan dan hiburan yang dapat menceriakan hati gundahku.
Rumah kuhuni ini kebetulan berdekatan dengan sebuah sekolah rendah. Jadi, cubalah korang bayangkan betapa riuh-rendah dan hidupnya suasana tatkala pagi juga di tengah harinya.
Memang hiruk-pikuk dengan gelagat bebudak sekolah yang riang gembira menikmati kehidupan mereka yang normal.
Tidak sebagaimana aku.
YOU ARE READING
• t𝒶dpole •
Short Story• Sebuah himpunan cerpen fiksyen perihal persahabatan & survival remaja sepanjang meniti kedewasaan. Dikisar & dibumbui dengan misteri, seram, petualangan remaja, humor, adventure, fantasi, saspens juga drama. Tiada watak utama yang melebihi usia en...