Tadpole - Dunia Benjy (2)

786 30 10
                                    


Jam dua suku petang, kereta Honda City  putih Encik Lokman parking  betul-betul di hadapan klinik Doktor Rafiq di Pekan Semerak. 

Tubuhku diangkat penuh hati-hati oleh Encik Lokman dan dibawa masuk ke dalam klinik.

Faiz dan ibunya mengekori di belakang. Kelihatan ibuku pun ikut sama, mungkin untuk menenangkan aku andai resah gelisah diperiksa tuan doktor dan pembantunya nanti.

Dengan lemah lembut, Kak Tirah, pembantu Doktor Rafiq memegang tengkukku lalu dijinjing dan diletakkan di meja stainless steel  berlapikkan tuala putih bersih.

Aku meronta-ronta cuba melepaskan diri kerana takut akan meja itu. Di situlah aku pernah disuntik dan disembur cecair busuk untuk membunuh kutu-kutu pada bulu gebuku.

Ibuku dengan spontan mengiau dan resah bila melihat aku yang menggelepar tatkala dibaringkan di atas tuala itu. Naluri keibuannya tak sanggup melihat anak sendiri diperlakukan sedemikian.

Mungkin dia fikir aku sedang dipengapakan dan disakiti. Namun, aku tahu tiada sesiapa pun yang berniat dengan sengaja nak menyakiti aku.

"Doktor, boleh ke Benjy berjalan cam abang dan kakak dia?" tanya Faiz. 

Sebenarnya dia dah tahu akan jawapan sang doktor, namun itulah rutin pertanyaannya setiap kali di klinik ini.

Doktor berkulit hitam manis itu hanya tersenyum, tak menjawab. Mungkin dia dah jemu menuturkan jawapan yang sama pada pertanyaan itu.

"Faiz, dah berapa kali doktor cakap. Kaki Benjy tak boleh sembuh. Kita kena le jaga dan uruskan ape yang Benjy nak. Benjy akan sentiasa mengharapkan kita untuk ke sana-sini." 

Akhirnya Encik Lokman bersuara sambil mengusap mesra rambut anaknya.

"Hari ni, kita tak akan deticking * dan deworming * Benjy, cuma bagi vaksin je, okey? Tak nampak pun kutu kat bulu dia. Perut pun tak buncit dan bulu dia bersinar je. Tandanya tak ade cacing," ujar sang doktor, mesra seraya mengusap bulu bawah leherku.

"Tapi mak dia Cik Embun akan disembur ubat kutu sebab nanti takut dia akan bawak kutu luar masuk ke rumah menjangkit kat anak-anak dia," tambah Doktor Rafiq lagi.

•••♦◄♥►♦•••

Petangnya aku terbaring kesakitan dek bekas suntik tadi masih terasa. Aku tak marah pada sesiapa pun walau dicucuk jarum kerana itu semua untuk kebaikan aku juga. Faiz dan ibu bapanya sayang padaku dan lawatan ke klinik itu membuktikannya.

Tadi, kami sempat singgah di taman tasik yang indah menghijau. Udaranya nyaman dan cahaya mentari membuatkan aku segar-bugar.

Dan kini, duniaku pun bersambung kembali di dalam bilik, di tepi tingkap cermin ini. Mendiami rumah indah ini membuatkan aku penuh syukur tatkala mengingati kaum sama spesies denganku di luar sana yang terpaksa kais pagi makan pagi.

Diherdik, dicerca dan disepak terajang sesuka hati hanya kerana mengintai secebis lauk juga segenggam nasi di pinggan manusia.

Entah bila kehidupan mereka akan seberuntung aku. Aku cuba bayangkan diriku yang lumpuh dan tak berdaya ini di tempat mereka.

Akan dapatkah aku bertahan walau sehari untuk menikmati udara segar dan memandikan diri dengan cahaya mentari pagi?

TAMAT SUDAH


"Cerpen ini didedikasikan khas bersempena Hari Kucing Sedunia, dengan pesanan penuh humble  dari lubuk hatiku, sama-samalah kita menyayangi haiwan unik ini. Jangan diabaikan dan dianiaya akan makhluk lemah lagi fragile  ini. Bukan hanya kucing, tapi juga haiwan-haiwan lain berhak diperlakukan sebaik mungkin oleh kita"


Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


PANDUAN / GLOSARI

*deticking – (English) memberi ubat membunuh atau mencegah kutu kepada haiwan

*deworming - (English) memberi ubat membunuh atau mencegah cacing kepada haiwan



• THUmis | 30032017 | 1,921 words | 11 minutes •

• t𝒶dpole •Where stories live. Discover now