Bab 6: Get Close To Me, Get Close To My Heart

12.7K 570 52
                                    

NADYA mengerling telefon yang bergetar di atas meja. Pantas tangannya menggapai dan mesej WhatsApp yang diterima segera dibuka.

Encik Zayd is here.

Bibir terkunci. Entah kenapa nama itu bagai aliran elektrik yang membuatkannya tersentak dan kaku. Darah terasa mengepam jantung dua kali ganda lebih cepat.

So?

Balasnya ringkas. Cuba mengawal keterujaan di dada.

Nothing, just nak let you know. Mana tahu nak tengok muka dia sebelum dia balik.

Mesej yang berbaur gurauan, namun cukup untuk membuatkan debaran di dada makin menggila.. Jarinya bagai kaku di skrin telefon dan mata merenung aksara yang membentuk kata-kata yang dihantar Jasmine. Hilang idea dan hilang kata untuk membalas mesej itu. Otak mula memutar memori di Golden Park beberapa hari yang lalu.

"Nadya."

Nadya yang sedang mengelamun jauh tersentak mendengar namanya dipanggil. Disengetkan kepalanya untuk menjengah ke dalam bilik Encik Hashim yang terbuka luas.

"Ya, Encik Hashm?"

"Tolong batalkan appointment saya dengan wakil Victor Enterprise petang esok. Reschedule balik meeting tu."

Suara Encik Hashim jelas kedengaran. Tangan Nadya pantas mencapai Ipad.

"Encik Hisham nak jadualkan miting tu semula bila?" Nadya sudah bangun dari kerusi dan kini sudah berdiri tegak di hadapan bilik Encik Hashim.

"Kalau Friday saya free, make it after sembahyang Jumaat. Tolong tengok jadual saya yang free on that time. Nanti remind kan saya balik pukul berapa."

Nadya mengangguk-ngangguk sambil membuka aplikasi kalendar di Ipad.

"Ada apa-apa lagi Encik Hashim?" Soalan itu ditanya apabila Encik Hashim tidak menyambung kata-kata. Mata Nadya lurus memandang si bos.

"Itu saja. It's lunch time now so, you boleh keluar lunch."

Nadya kembali ke meja kerjanya. Mata melirik ke arah jam di dinding. Sudah pukul 12:10 tengahari. Getaran di atas meja segera mengalihkan pandangan matanya serta-merta. Terpampang nama Azril di skrin telefon. Pantas dicapai telefon dan jari meluncur membuka paparan skrin.

"Hello." Nadya bersuara sebaik telefon dilekapkan di telinga. Menanti suara garau Azril menerjah pendengaran.

"Hello, my sweet darling." Suara Azril menyapa peluput telinga.

"Ada something lah tu." Hambur Nadya sinis mendengar kata-kata Azril dan serentak kedengaran ketawa di hujung talian. Terbayang wajah lelaki itu sedang ketawa.

"Belum cakap apa-apa dah sembur I macam tu." Ketawa Azril kedengaran semakin galak. Kuat sungguh naluri Nadya, yang dia tak mampu sangkal lagi.

"Bukan perli, realiti kan?" Nadya mencebik. Dia sudah tersandar tenang di kerusinya.

"I nak jumpa you ni."

Terdengar saja permintaan Azril itu, berkedut sedikit kulit di dahi Nadya. Sedikit cemas mendengar perkataan jumpa yang ditekan suara garau itu. Dia jadi serik sejak dibawa ke tempat yang membuatkan dirinya tak selesa seperti malam itu. Bertemu pula dengan orang yang tak sepatutnya, lagilah dia kecut perut.

"Jumpa dekat mana?" Dalam berbasa basi, Nadya bertanya.

"Ofis you."

Bagai mahu melompat Nadya dari kerusi dan hampir terlepas juga telefon yang tergenggam.

Once AgainWhere stories live. Discover now